Opinion

Masalah instituisi zakat dalam perspektif

30 OGOS — Isu konflik Jais dan Gereja Metodis Damansara Utama (GMDU) telah membuka ruang kepada berbagai permasalahan lain, antaranya melibatkan persoalan instituisi penguatkuasa Islam dari sudut perundangannya dan arahtuju pendekatannya dalam menjalankan tugas-tugasnya. Begitu juga persoalan yang timbul dari sudut usaha Pemerintah dalam menangani persoalan murtad yang menjadi topik panas mendasari konflik Jais vs GMDU. Topik yang mendapat liputan besar selepas perhimpunan aman Bersih ini turut mengheret persoalan instituisi zakat yang dikatakan gagal menangani permasalahan kemiskinan yang diambil kesempatannya oleh pihak gereja untuk “memurtadkan” umat Islam.

Saya tertarik untuk menyentuh persoalan zakat walaupun kegagalan instituisi ini bukanlah segala-segalanya punca kepada berlaku pemurtadan dan tidak adil pula untuk kita sekadar melontarkan sesuatu alasan tanpa memberi penilaian yang objektif kepada apa sebenarnya yang berlaku di sebalik “kegagalan” ini. Al Fadhil bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohamad Asri Zainal Abidin (Maza) lantang mengheret permasalahan disebalik konflik Jais vs GMDU kepada instituisi zakat di mana Dr Maza mempersoalkan ke mana pergi duit-duit zakat yang seharusnya membela umat Islam yang miskin dan susah sekaligus menghalang mereka daripada menjadi mangsa pihak gereja yang mengambil kesempatan di sebalik kemiskinan di kalangan orang Melayu Islam. Dr Maza juga memberikan buah fikirannya secara umum mengapakah kegagalan ini berlaku namun tidak menyentuh secara spesifik instituisi zakat negeri manakah yang dimaksudkan.

Sebelum saya membuat sedikit komen kepada heretan Dr Maza ini, saya ingin menyinggung beberapa perkara yang membabitkan permasalahan murtad yang dikaitkan dengan soal kemisikinan. Isu penglibatan pihak gereja yang mengambil kesempatan “menolong” orang susah di kalangan umat Islam bukan sahaja berlaku di Malaysia malah perdebatan ini mendapat perhatian oleh ulamak dan umarak di seluruh dunia Islam khususnya di negara-negara Islam yang miskin. Perdebatannya bukanlah tentang bantuan yang dihulurkan tetapi persoalannya ialah “mengambil kesempatan” dari bantuan tersebut untuk memurtadkan umat Islam. Setiap bantuan yang dihulurkan mestilah ikhlas dan tidak boleh berselindung di sebalik bantuan niat untuk menukar agama seseorang. Alasannya mudah, agama mana-manapun, baik Islam seharusnya mempamerkan kekuatan agamanya melalui hujjah intipati agamanya untuk meyakinkan orang ramai dan bukan melalui “paksaan”. Mengambil kesempatan atas kemiskinan untuk seseorang menganut sesuatu agama adalah bentuk “paksaan” yang lembut dan semestinya ditolak cara ini. Di atas dasar ini, apa juga cara yang tidak lahir dari keyakinan kepada intipati agama tertentu tetapi melalui kaedah lain untuk memeluk sesuatu agama seperti secara sihir atau atas dasar percintaan semata-mata antara pasangan yang berlainan agama boleh dianggap sebagai merobek ruang kebebasan beragama dan telah mencemarkan erti pemelukan agama yang sebenarnya. Ya kita tidak menghalang pihak gereja untuk membuat kebajikan, yang semestinya ditentang ialah berselindung di sebalik bantuan dan kemiskinan orang lain untuk memurtadkan orang yang sudah beragama.

Dalam Islam peruntukan zakat kepada “mualaffatu qulubihim” (muallaf) walaupun diperuntukan dalam bentuk wang ringgit mesti difahami di atas premis bahawa seseorang itu sudahpun jinak hatinya dengan Islam (walaupun belum Islam lagi) melalui dakwah intipati Islam yang telah dijalankan dan peruntukkan itu bukan kerana kemiskinannya tetapi kerana menghargai hatinya yang sudah berjinak dengan Islam. Pada zaman Umar Ibnu Khattab r.a, definisi muallafatu qulubuhim diberi makna baru apabila mengikut ijtihad beliau, hanya yang baru memeluk Islam diberikan peruntukan zakat dan bukan yang belum Islam tetapi jinak hatinya dengan Islam. Hari ini pengagihan zakat secara resmi kepada muallaf adalah mengikut pendefinisian Umar r.a. Sebab itulah, adalah satu kesilapan untuk kita menganggap zakat asnaf muallaf adalah kerana kemiskinan dan sebab itulah para mualaf juga harus memahami bahawa mereka tidak boleh selamanya mengharapkan peruntukan zakat atas asnaf ini kerana dikhuatiri bahawa mereka memeluk Islam semata-mata kerana kepentingan duit ringgit dan bukan kerana keyakinan kepada intipati agama Islam.

Berbalik kepada persoalan “kegagalan” instituisi zakat, kita seharusnya menilai permasahan ini secara “attributive” demi mencari jawapan yang objektif dan bukan emotif. Saya bersetuju bahawa instituisi zakat tidak memaksimakan keberkesanan peranannya, tetapi ada beberapa persoalan yang harus dibereskan terlebih dahulu untuk insitituisi ini menjadi berkesan. Saya yakin Dr Maza sebagai bekas Mufti Perlis lebih arif mengapa ini berlaku kerana saya mengandaikan beliau berada dalam jawatankuasa urusan zakat di Perlis satu ketika dahulu dan tahu bagaimanakah pengurusan zakat di sana. Ataupun mungkin pembaca artikel beliau boleh berkongsi pengalaman bagaimana usaha yang telah beliau jalankan untuk memaksimakan keberkesanan pengagihan zakat di Perlis satu ketika dahulu supaya negeri lain dapat mempelajarinya. Bagi memahami instituisi zakat, kita seharusnya memahami keabsahan kerangka institusi ini wujud dan apakah undang-undang yang melindungi kewujudannya selaku instituisi serta bagaimanakah struktur insitituisi zakat ini berfungsi dan apakah cabaran-cabaran yang dihadapinya dalam menjalankan tugas secara berkesan.

Dari sudut keabsahan wujudnya zakat sebagai instituisi, pada awalnya ia berada kepada kuasa majlis agama masing-masing dan bagi negeri-negeri Melayu, Sultan atau Raja-raja Melayu adalah pemegang amanah kepada kutipan dan pengagihan zakat. Pulau Pinang yang tidak mempunyai Raja Melayu contohnya, adanya Peraturan Fitrah Pulau Pinang 1962 dan kemudian Peraturan Pungutan Zakat dan Fitrah Pulau Pinang dalam tahun 1979. Penubuhan PUZ (Pusat Urus Zakat) di negeri-negeri lain pula adalah sebahagian daripada usaha menswastakan institusi zakat bagi mempertingkatkan keberkesanannya. Setiap negeri mempunyai keabsahan undang-undang zakat sendiri kerana ia berada pada kuasa kerajaan negeri masing-masing. Malangnya di sebalik instituisi zakat dianggap sebagai mempunyai peranan besar dalam masyarakat ia masih “menumpang” sistem yang sedia ada. Dengan kata lain ia bukan berada pada arus perdana yang memimpin usaha-usaha membasmi kemiskinan tetapi ia hanya menumpang satu sistem lain yang menganggap instituisi zakat hanya satu bentuk instituisi keagamaan untuk umat Islam menjalankan tugasnya. Walaupun ada peruntukan enakmen penguatkuasaan namun ia longgar apatah lagi dengan kekurangan tenaga kerja pihak yang mengendalikan zakat. Jadi untuk kita membuat andaian kegagalan tanpa melihat kerangkar besar kewujudan institusi zakat itu dan kengkangan yang ada kepadanya adalah sesuatu yang tidak adil.

Struktur zakat sebagai sebuah entiti organisasi yang berdaftar di bawah Pendaftaran Syarikat turut memainkan peranan dari sudut keberkesanan. PUZ Pulau Pinang contohnya dipimpin oleh Pengerusi bersama dengan 10 lembaga pengarah. Seorang CEO dilantik sebagai Pengurus Besar PUZ yang mengendalikan pentadbiran eksekutif PUZ. PUZ dari sudut Jabatanya terdiri daripada Jabatan Kutipan dan Pemasaran, Jabatan Pengurus Besar, Jabatan Agihan dan Pembangunan Masyarakat. (rujuk http://www.zakatpenang.com). Masalah yang dihadapi antaranya ialah Lembaga Pengarah tidak berperanan menentukan halatuju PUZ secara strategik, ini adalah kerana perlantikan Lembaga Pengarah adalah perlantikan politik dan kurangnya tumpuan untuk memimpin halatuju insitituisi zakat. Selain itu saya setuju bahawa budaya institusi zakat ini terperap dengan perintah-perintah dari orang politik atau pihak tertentu dan kerana itu pihak pengurusan lebih tertumpu untuk menyedapkan orang-orang politik dan pihak tertentu daripada memainkan peranannya secara berkesan. Apa yang berlaku ialah sesuatu bantuan itu hanya tertumpu di DUN tertentu kerana digunakan untuk meraih sokongan politik, akhirnya sasaran bantuan sebenarnya tersasar atau bantuan hanya di tempat-tempat tertentu sahaja. Kewujudan PUZ dan pengaruh politik negatif akan senantiasa menggagalkan keberkesanan PUZ di mana sahaja mereka berada dan siapa sahaja yang menguasai kerajaan-kerajaan negeri.

Saya mencadangkan supaya hubungan PUZ di mana-mana dengan politik mestilah atas dasar rakan bijak yang boleh membantu halatuju PUZ, bukan “tuan” yang menguasai halatuju PUZ. Kalaupun ada input daripada ahli politik mestilah bersesuaian dengan halatuju PUZ dan bukan PUZ tunduk kepada selera ahli politik. Secara hubungannya, organisasi PUZ hanya berhubung dengan Jawatankuasa Qaryah dari sudut maklumat dan data tentang orang-orang miskin dan yang memerlukan pembelaan. Tidak dinafikan Pusat-pusat khidmat DUN dan Parlimen pun mempunyai senarai, jikalau itu boleh membantu maka penyelarasan yang baik akan melahirkan rakan kepada PUZ untuk memaksimumkan pengagihan zakat kepada yang layak. Dengan cara itu PUZ mempunyai rakan lain selain dari saluran biasa yang mungkin tidak mampu membekalkan data yang menyeluruh.

Dari sudut cabaran-cabaran yang dihadapi, masalah paling besar pengagihan ialah data yang tidak lengkap dan sistem pungutan data yang konvensional, dengan kata lain tidak ada data yang terkumpul secara statistic dan tersusun. Dalam hal ini PUZ Pulau Pinang memulakan langkah awal dengan menubuhkan Jabatan Statistik dan bekerjasama dengan amil-amil dengan membekalkan mereka maklumat yang mereka perlu untuk mencari data fakir miskin. Amil-amil yang hanya dianggap pengutip zakat seharusnya ditingkatkan perananya menjadi ejen-ejen yang dibimbing untuk mengutip dan memantau data-data yang dikumpulkan. Selain itu cabaran sumber manusia yang tidak mencukupi untuk mengendalikan organisasi zakat turut menjejaskan keberkesanan fungsinya. Bagi instiuisi zakat yang diswastakan seperti Pulau Pinang, organsiasi ini bergantung kepada sumber kewangan dari bahagian Amil dan kerana itu ia perlu berhati-hati membelanjakan bahagiannya. Kerajaan negeri seharusnya memperuntukkan geran untuk pengurusan PUZ negeri supaya mereka dapat menguruskan keperluan sumber manusia dengan lebih berkesan. Perbelanjaan sesetengah PUZ yang mewah dalam perjalanan-perjalanan ke luar negara turut menjejaskan perbelanjaan yang berhemah. PUZ Pulau Pinang baru-baru ini mengorak langkah berhemah apabila mengurangkan bilangan peserta ke luar negara dalam lawatan resmi Lembaga Pengarah dan pentadbiran ke Timur Tengah.

Paling besar cabaran ialah membuat perubahan kepada aspek budaya organisasi PUZ yang seharusnya bersikap professional. Cabaran trek budaya dalam mana-mana organsiasi memang sukar tetapi kita tidak ada pilihan. PUZ Pulau Pinang telah mengorak langkah dengan kertas yang dibentangkan untuk melakukan pembudayaan semula dalam satu pemukiman 3 hari untuk menilai semula dan memperkasakan peranan. Trek pembudayaan akan memberi kesan kepada satu lagi aspek penting untuk PUZ melonjak ke arah reformasi iaitu meningkatkan kepercayaan kepada instituisi zakat. Ini termasuk membudayakan ketelusan pengagihan dan perbelanjaan serta menjadi pilihan umat Islam untuk menyumbang zakat mereka. Maksud saya, kerana kurang kepercayaan ada di kalangan masyarakat Islam yang lebih selesa membayar zakat kepada pihak lain.

Saya amat bersetuju instituisi zakat dipertingkatkan mutu profesionalisma, saya bersetuju instituisi zakat direformasikan dan saya setuju orang politik membantu halatuju zakat dan bukan menggunakan zakat untuk kepentingan politik mereka dan yang utama ahli lembaga pengarah zakat semestinya membekalkan kepimpinan dan dasar strategik bagi melicinkan perjalanan pentadbiran zakat. Saya cuma tidak bersetuju apabila kenyataan yang umum tidak membantu peningkatan instituisi zakat dan lebih buruk ia akan terus menghilangkan kepercayaan orang ramai terhadap insititusi penting untuk umat Islam hari ini. Negeri-negeri yang sedar peranan yang sepatutnya dimainkan oleh instituisi zakat seharusnya membebaskan zakat dari cengkaman pengaruh politik mahupun individu tertentu, zakat bukan milik pihak tertentu tetapi milik umat Islam yang diamanahkan untuk dikendalikan pengurusannya dan pentadbirannya kepada pihak tertentu.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments