Opinion

Melayu dalam politik nasional

24 OKT ― Rasional konsep Melayu.

Melayu adalah sinonim kepada penentuan masadepan politik tanahair malah ia adalah satu terma rujukan dalam kontrak sosial yang telah menelurkan kemerdekaan untuk negara ini.

Asas tertegaknya negara yang merdeka ini adalah dari persetujuan yang meletakkan Melayu sebagai syarat utamanya, apatah lagi Raja-Raja Melayu seolah mewakilkan kuasa politik kepada parti yang sanggup dan berjanji mempertahankan Melayu sebelum menerima kedudukannya sebagai Raja Berperlembagaan.

British pada satu pihak bersedia memberikan kemerdekaan dengan syarat kemerdekaan itu melibatkan isu penerimaan warganegara selain dari Melayu dalam negara yang merdeka nanti.

Untuk mengekalkan status Melayu tidak tergugat satu klausa mengiktirafi Melayu dalam perlembagaan dibentuk begitu rupa sebagai satu keistimewaan yang perlu dihormati. Maka lahirlah Islam, Melayu dan Raja-Raja sebagai sesuatu yang mengikat dari sudut perlembagaan dan manifestasi politiknya.

Dimensi politik

Seolah-olah merasa tidak cukup, Melayu itu dikukuhkan pula dengan pengukohan parti politik Melayu. Umno adalah parti yang menerima kemerdekaan dan atas kewajaran itu pengukuhan Melayu berperlembagaan tadi diterjemahkan dalam bentuk dasar dan amalan sehingga keretakan parti komponen dalam Perikatan adalah dirujuk kepada rasional pembelaan Melayu dengan teori ancaman sebagai temanya. Lahirnya Barisan Nasional kemudian adalah juga sebagai merasionalkan Melayu yang memungkinkan Perpaduan Nasional berlaku.

Begitu juga dengan kemelut politik lain seperti perpecahan Umno yang melahirkan Semangat 46 dan PKR, semuanya diwajarkan dengan tema Melayu dan tidak terkecuali perbalahan Umno Lwn PAS yang panjang sejarahnya turut berligar atas hujahan Melayu dan desakan kepada perpaduan.

Islam dan Melayu

Dari sudut perlembagaan, salah satu ciri yang mentakrifkan Melayu ialah beragama Islam. Ia seolah mengandaikan semua orang Melayu adalah Muslim walaupun tidak semestinya semua orang Islam adalah Melayu, kerana adanya Indian Muslim, Chinese Muslim dan lain-lain.

Pada satu sudut, penegasan Melayu itu mestilah Islam dalam Artikel 160 Perlembagaan Persekutuan adalah baik tetapi pada satu sudut yang lain ia menyempitkan pengertian Islam kerana apabila seseorang menerima Islam ia seolah-olah secara otomatik menjadi Melayu.

Dari perspektif kesejagatan Islam ia seolah-olah menghalang bangsa lain untuk masuk Islam kerana keadaan ini mentakrifkan dia sebagai Melayu sedangkan dia memilih Islam bukan menjadi Melayu.

Hubungan Melayu-Islam dari sudut perlembagaan ini meletakkan orang Melayu sebagai sinonim dengan Islam dan kerananya dari sudut politik perjuangan Melayu tidak boleh tidak meletakkan Islam sebagai agenda pembelaannya.

Namun demikian tanggapanya ini tercabar apabila sebuah parti Islam iaitu PAS membawa nuansa politik yang agak berbeza dengan menjadikan Islam sebagai teras dan sekaligus memberikan keselesaan untuk mensejagatkan perjuangannya dalam konteks kepelbagaian kaum di Malaysia ini.

Nampaknya pendekatan PAS ini memberikan kepadanya kelebihan malah cuba mentakrifkan semula erti hubungan Melayu-Islam dalam premis yang lebih luas. Umno pula yang sinonim dengan perjuangan Melayunya tersepit hari ini permainan politiknya sendiri apabila politik perkauman sudah tidak menjadi popular lagi dalam arus kesedaran politik baru yang muncul dengan kadar yang cepat.

Kebebasan Melayu

Melayu tidak mahu lagi dikongkong dengan worldview Melayu yang melihat dunia dari kacamata prejudis terhadap kaum lain. Selama beberapa dekad, doktrinasi politik “ancaman orang lain” menyegarkan talihayat parti yang berpaksikan perkauman.

Untuk parti yang bukan Melayu teori menuntut hak secara diplomasi pula melahirkan politik tawar-menawar yang asasnya ialah: “anda berikan saya undi kaum anda, saya akan berikan tuntutan anda”.

Dua premis ini iaitu teori ancaman dan memberikan undi untuk tuntut hak, membentuk hubungan dalam Barisan Nasional yang mengabungkan parti berbagai kaum dalam kolusinya. Ia bukan gabungan kongsi cita-cita negara Bangsa tetapi hanyalah keperluan kepentingan kaum masing-masing.

Dengan kata lain BN adalah kolusi yang terus mempertahankan politik perkauman dari dalamnya walaupun dari luarnya ia menggambarkan kewujudan berbagai parti di dalamnya.

Orang Melayu sebenarnya menagihkan politik baru yang mahu keluar dari kepompong politik yang tabiatnya adalah perkauman dan menjadikan isu hubungan kaum dan agama sebagai senjata untuk terus kekal dalam persaingan politik.

Politik kaum lain

Istilah kaum lain digunapakai untuk menggambarkan bahawa politik Melayu sebenanya bergantung banyak kepada faktor kaum lain seperti Cina , India, Kadazan dan Iban bagi melaksanakan tujuan politik dan ekonomi.

Kaum lain khususnya Cina dan India amat mengetahui bahawa mereka akan mendapat hak mereka melalui persepakatan politik yang diatur strateginya oleh parti politik yang mewakili kaum-kaum ini.

Hakikatnya kaum lain tidak akan kisah manakah parti Melayu yang memerintah kerana akhirnya apa yang penting ialah segala tuntutan dan hak mereka dapat dilaksanakan.

Sebab itu dalam hal ini, politik berunding untuk mendapat hak menjadikan politik kaum lain khususnya Cina adalah politik yang lebih matang dan prihatin kepada segala keputusan politik yang dibuat.

Asakan politik baru

Asas politik baru telah mendefinisikan semula erti kuasa politik Melayu dan hubungannya dengan politik kaum lain. Asas ini mencabar status-quo politik ancaman dan rundingan hak dengan beberapa kerangka baru berfikir.

Kejayaan munculnya politik baru ini adalah merujuk kepada peningkatan kesedaran kepada isu-isu hak kewarganegaraan dan isu-isu hak berpartipitasi dalam politik serta kemunculan ide-ide kebebasan media yang dipelopori oleh media baru.

Asakan dari kemunculan baru ini telah mengancam realiti politik Malaysia yang diamalkan sejak beberapa lama oleh doktrinasi Umno/BN dan kerana itu doktrin lampau ini terpaksa menerima keadaan samada mahu mengekalkan identitinya atau berubah dengan asakan yang semakin meningkat dari politik baru.

Jika kerangka politik status quo kekal, ini bermakna Umno akan meningkatkan lagi politik ancamannya dengan cara menjadikan dirinya lebih rasis dalam nada politiknya. mungkin ia tidak datang dari Umno tetapi melalui proksinya Perkasa dan NGO Melayu yang lain.

Jika ini kekal MCA atau MIC sebagai mewakili politik kaum lain dalam BN akan meneruskan politik rundingan untuk mendapat habuan mereka asal saja mereka ikut rentak rasis Umno.

Senario baru

Tuntutan hak kini tidak lagi mengambil sentimen kaum tetapi ia berlaku melalui hak kewarganegaraan di mana isu perlembagaan dan perundangan menjadi paksi hujahan. Negara akan menyaksikan isu-isu yang dianggap “taboo” selama ini untuk dibincangkan mula dibahas secara terbuka dan berpaksikan hak perundangan.

Melayu dan Ketuanannya mula diolah dengan asas-asas substantif perundangan wa imma isu sensitif Islam sendiri sudah mula didedahkan untuk perbahasan umum. Senario baru ini menyebabkan satu kejutan budaya yang menuntut gaya pemikiran politik akamodatif dan objektif dalam menanganinya.

Akomodatif bermakna melanggani isu tanpa menggadaikan prinsip politik manakala objektif pula adalah perbahasan yang berpandukan keterbukaan ilmiyah dengan mengambil kira panduan agama dan budaya yang membentuk “software” masyarakat kita.

Politik Islam

Di sinilah politik Islam mampu muncul sebagai peneraju politik baru kerana politik nilai yang ada pada wacana Islam itu amat relefan sekali dengan kemunculan senario di atas.

Fundamental keterbukaan hubungan antara agama dan prinsip karamatul insan serta ketinggian prinsip moral sebenarnya membuka ruang yang amat luas ufuknya bagi politik Islam membentuk pandangan umum terhadap isu semasa.

Namun kejayaan politik Islam amat bergantung kepada tahap keluasan panduan Fiqh yang digunapakai. Disinilah persoalan asas yang membentuk fiqah itu sendiri perlu difahami antara lainnya ialah pemahaman Thawabit (tetap) dan Mutaghayirat (berubah-ubah).

Asas berubah-ubah adalah berpandukan kepada faktor zaman dan tempat serta keadaan yang dibahas oleh ulamak secara terperinci. Fiqh Al Maqasid (Tujuan Besar) yang membentuk objektiviti alasan serta Fiqh Siyasah (politik dan pengurusan) yang berasaskan keperluan maslahat semuanya harus diterokai dengan landasan pemikiran yang terbuka.

Parti Islam juga perlu keluar dari kejumudan berfikir dan kesempitan perancangannya. Politik Islam sekali-sekali tidak mungkin menjayakan agenda peneraju senario baru politik jika ia gagal membuat pengolahan baru kepada cara ia merasionalkan organisasinya dari sudut kepimpinan, cara membuat keputusan dan pengkaderan ahlinya.

Aspek ini perlu diberi nafas baru dari eksklusifiti kepada inklusifiti, dari tertutup kepada ketelusan dan dari ketaksoban kepada objektiviti. Bagaimana ini boleh tercapai jika parti Islam tidak berani mencabar dirinya sendiri untuk melakukan perubahan yang menyeluruh kepada bentuk organisasinya?

Apakah akan berlaku?

Amat menarik untuk melihat proses pengalihan politik Malaysia dengan Melayu sebagai temanya. Soalnya apabila terdirinya politik dan senario baru yang disebutkan di atas, apakah persoalan klasik seperti Ketuanan Melayu, Ancaman Kaum Lain dan Sekatan Kebebasan akan terus menghantui politik kita ataukah ia akan menjadi kisah lama yang telah berlalu apabila generasi baru akan bercakap tentang hak kewarganegaraan, persaingan sehat dan kebebasan yang bertanggungjawab.

Lebih penting ialah apakah kerangka politik baru yang akan meluncuri arus baru ini, dan parti politik hari ini harus berfikir dan membuat keputusan secara serius kepada persoalan: “apakah ia mampu memimpin arus ini?”

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments