17 OGOS — Sejak aku berumur enam tahun , aku sudah mengetahui bahawa puasa itu bermakna tidak makan dan minum. Apa yang aku ingat selain daripada itu bulan puasa bermakna makan dan minum pada malam hari dan bermain-main di mesjid semasa jamaah lain sedang sembahyang. Kakak dan abangku yang hanya beberapa tahun lebih tua dari ku sering memandang ku dengan pandangan ‘geram’ apabila aku makan dan minum di hadapan mereka di siang hari berpuasa.
Aku tidak faham mengapa mereka memandang aku demikian namun setelah ibuku memahamkan pada ku bahawa tidak elok makan dan minum di hadapan orang yang berpuasa barulah aku faham bahawa kita bukan sahaja kena puasa tetapi orang yang tidak berpuasa mesti menghormati mereka yang berpuasa. Ada juga ketika, aku melihat beberapa kakakku makan sembunyi-sembunyi di siang hari, dalam umur yang mentah aku tidak memahami mengapa mereka berbuat demikian?
Pernah juga aku bertanya kepada ibuku, ibu hanya senyum dan memberitahu padaku yang kakak-kakak ku ‘uzur’. Tanpa memahami makna uzur aku hanya mengangguk tanpa memahami apa yang diangguk. Harus aku akui ibuku adalah guruku yang pertama mengajarku tentang puasa sebelum aku betul-betul dapat berpuasa penuh pada umur tujuh tahun.
Walaupun semasa umurku enam tahun aku tidak ‘diwajibkan’ oleh ibubapaku berpuasa, tetapi ayahku nampaknya bersungguh menyuruh ku cuba berpuasa, malah dijanjikan kepada ku ganjaran mereka yang berpuasa dengan duit raya yang ‘extra’daripada mereka yang tidak berpuasa. Aku teruja dengan galakan monetary ini namun aku tidak pernah berpuasa penuh sepanjang umurku enam tahun.
Walaupun tidak berpuasa di siang hari atau kadang-kadang hanya puasa sekerat, aku wajib bangun sahur bersama seluruh anggota keluarga yang lain. Ayah sangat bertegas dengan sahur, malah kakak yang uzur pun kena bangun kerana terpaksa membantu ibuku di dapur. Walaupun ada seorang pembantu, namun melayan 11 orang anak dan suami tercinta, ibuku sangat memerlukan tangan yang membantu di dapurnya.
Aku dah bersedia
Menjelang umurku 7 tahun pada Ramadhan seterusnya, aku sudah bersiap sedia untuk menempuh puasa penuh. Lagipun sebelum menjelang Ramadhan, ayahku berulangkali mengingatkan ku supaya kali ini dia mahu aku berpuasa penuh dan kadangkali menunjukkan mukanya yang garang dalam menegaskan akibat orang yang tidak berpuasa, lagipun aku dah mula bersemangat kerana sudah mula dicabar oleh abang dan kakakku.
Aku sebenarnya takut dan seronok, takut kerana tidak yakin,dapatkah aku bertahan sehingga waktu berbuka, seronok kerana inilah pertama kali aku akan cuba berpuasa sebulan penuh dan menikmati ganjaran dan status orang yang berpuasa dari ayahku. Apapun perasaan teruja menguasai dua-dua keadaan yang penting aku dah bersedia…
Ibuku sering mengingatkan ku untuk bersahur dan makan kenyang-kenyang kerana khuatir aku kelaparan nanti di siang hari. Walaupun berat kadang-kadang nak telan nasi pada pukul 4.30 pagi, aku memaksa diri untuk cover sianghari berpuasa. Masih aku ingat betapa ibuku akan menyediakan lebih awal favorite hidangan sahur yang wajib, iaitu serunding daging dan serunding udang kering. Dia tahu pagi-pagi sahur lauk berkuah tak berapa mendapat perhatian sebab itu selain serunding, ikan kering, ikan bilis dan telor asin menjadi hidangan utama sahur.
Pagi puasa pertama ku belum menampakkan apa-apa tanda lemah semangat, cuma semasa waktu rehat ada sikit ujian. Kawan-kawan ku yang majoritinya tidak berpuasa tidak langsung memberi galakan kepada ku, mereka malah makan dan minum di hadapan saya dan membuat kenyataan-kenyataan yang melemahkan sesiapa sahaja yang sebaya aku untuk berpuasa: “Apa yang hang nak puasa sangat, kita bukan wajib lagi, esok kita dah besaq kita puasalah” malah ada yang nakal menguji puasa ku dengan berkata: “hang minumlah, jangan makan, bukan mak ayah hang tau, balik satgi hang buatlah muka letih”
Harus aku akui, puasa pertama aku bukanlah sangat tentang lapar tetapi ujian terbesar ialah dahaga! Air paip yang dibuka sudah cukup membuat aku menelan air liur dan terasa nak minum satu baldi penuh air paip. Dalam kelas mataku semakin berat, bangun sahur tadi tiada ruang nak qadha’ tidur sebelum ke sekolah, jadi ditambah dengan dahaga adunan itu sudah cukup membantu mata ku untuk layu.
Terkejut dengan nada tinggi suara guru kelas Mr Yeoh menegur aku yang sedang melayan mengantuk, aku tersentak sambil bangun memberi penjelasan secara spontan “Puasa cikgu..” kawan-kawan lain yang tahu aku berpuasa menyampok: “Dia puasa cikgu!” Dalam van sekolah, aku hanya tidur dan sampai di rumah wajah muram ku disambut oleh ibuku dengan soalan cepu mas, “Puasa ka?” aku hanya mengangguk, terlalu letih aku terbaring atas sofa sehingga dikejutkan oleh ayahku untuk solat asar.
Iftar pertama
Aku bersiap sedia untuk berbuka, bubur gandum daging dengan bau bawang goring dan ‘lipat som’ berintikan daging dengan bawang bercuka benar-benar meningkatkan selera berbuka. Meja makan kami muat untuk 11 beradik, ibu dan ayah penuh dengan hidangan juadah berbuka dari hujung meja ke hujung meja. Walau apapun hidangan yang disediakan, setiap kami diwajibkan untuk memakan buah kurma dahulu sebelum makanan dan minuman yang lain.
Ayah akan memberi isyarat makan setelah memastikan suara azan berkemundang dari arah mesjid di rumah kami dan setelah berdoa untuk berbuka. Dia akan pastikan semua orang bergesa untuk berbuka. Aku sudah mengamati semua ‘ritual’ ini, jadi aku tidak kekok, cuma bezanya kalau tahun sudah aku tidak berpuasa, kali ini aku benar-benar berbuka puasa, alangkah nikmatnya menyentuh makanan dan minuman setelah satu hari berlapar dan dahaga. Aku belum memahami fiqh berpuasa dan hikmatnya tetapi yang pasti aku menikmati juadah berbuka resepi ibuku di hari pertama ku.
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments