Esok akan kedengaran laungan keramat MERDEKA! Dan tatkala laungan itu mengaung terpacak bulu roma tanda semangat betapa bertuahnya negara ini bebas daripada penjajahan selama beratus tahun jika diambil kira dari sejarah Portugis menawan Melaka, Belanda, Inggeris dan kemudian Jepun dan kembali semula kepada penjajahan Inggeris.
Buat seketika kita berasa megah namun setelah hilang seketika semangat penangan laungan keramat itu perasaannya pudar merenung dalam pada negara kita yang tercinta ini. Hari ini juga negara menangis menagih semangat kemerdekaan itu disempurnakan sebagaimana dijanjikan. Salahkah kita berasa demikian?
Mengimbau penjajahan
Tidak ada mana manusia yang merdeka merelakan negara mereka dijajah dan dijarah kekayaannya. Penjajah umpama perompak terhormat, mencuri kekayaan di atas nama membangunkan koloninya kerana anak tempatan tiada kepakaran dan teknologinya, apatah lagi modalnya. Tidak kira siapa penjajah kita matlamat utama mereka ialah membekalkan bahan mentah yang amat diperlukan dalam kebangkitan Eropah dari zaman kegelapannya. Penerokaan dunia baru yang dibiyai istana Eropah dilakukan atas nama keagungan raja dan gereja namun hasrat yang terpendam ialah kekayaan dan eksploitasi dunia baru untuk memenuhi kehendak kemajuan yang sedang rancak membangun di Eropah. Bermulalah era penjajahan.
White supremacy
Eropah terlalu bangga dengan kehebatan mereka lalu mereka membahagikan dunia kepada Barat dan Timur. Barat milik mereka dilambangkan dengan kemajuan dalam segenap segi dan bagi memaksakan doktrin ini, kehebatan ketenteraan menjadi lambang ketamadunan ini manakala kehebatan ilmu dan intelek menjadi lambang penguasaan mereka yang mutlak.
Dengan kekuatan ketenteraan dan keunggulan intelektual mereka membawa doktrin 'White Supremacy'. Eropah memandang dunia baru sebagai inferior dan kewajaran menjajah ialah supaya 'mengajar' mereka yang tidak bertamadun erti kemajuan dan pembangunan. Dunia ditimpa 'bala' pencerahan Eropah kerana melahirkan doktrin 'Superioriti Barat' yang merobek erti kemuliaan insan.
Dunia zaman penjajahan
Apa yang dikatakan ketamadunan Barat era penjajahan adalah penindasan, eksploitasi dan penghambaan. Penemuan dunia baru, khususnya Afrika dan pendalamannya melahirkan perniagaan paling menguntungkan iaitu perniagaan hamba abdi. Kapal membawa rempah-ratus, emas dan segala jenis perhiasan untuk memenuhi istana Eropah turut disumbat dalam perut kapalnya manusia yang diperdagangkan menjadi hamba abdi kepada agen yang sedia menunggu di pelabuhan Eropah untuk diniagakan.
Hamba ini diculik dan diikat serta dipenjarakan dalam bilik yang penuh sesak untuk dihantar kepada pembelinya. Ada juga hamba wanita yang diperlakukan seperti binatang bagi pemuas nafsu sebahagian masyarakat Eropah yang 'bertamadun' itu.
Tamadun Timur
Sebenarnya dunia baru yang mereka temui sudah pun maju dengan nilai ketamadunannya tersendiri. Istana raja di Timur dianggap maju mengikut standard zaman itu. Kekayaan daripada emas/ permata memenuhi perhiasan rumah golongan atasan pada waktu itu. Pengaruh Islam yang meresapi ke pantai benua Afrika dan Asia Tenggara dan ia menjadi rebutan dan persaingan dengan gerakan misionari Kristian yang lebih awal.
Turki Othmaniyah
Kuasa Turki Othmaniyah memulakan langkah sebagai pusat ketamadunan dunia apabila Konstantinopel yang kemudian dikenali sebagai Istanbul menjadi hos kepada segala kepakaran dunia yang ada hari itu termasuk dari Eropah Kristian. Eropah perlu bersaing dengan Kuasa Othmaniyah yang sudah memulakan kempen menawan Eropah dan berjaya menguasai sebahagian Eropah Timur.
Kemajuan Tamaduan Islam yang dikuasai Kerajaan Othmaniyah pada waktu itu pada awalnya tidak setaraf dengan permulaaan Eropah namun penguasaan Eropah ke alam Dunia Baru dan pencapaian teknologi dari pertemuan baru menyebabkan Eropah memecut lebih jauh ke hadapan dari Turki Othmaniyah pada waktu itu.
Warisan penjajah
Demikian imbauan sejarah yang mengiringi era kolonialisma dunia Timur dan Barat dan ia kekal dalam jangka masa yang lama membentuk satu generasi pewaris penjajah dari anak watan dijajah. Inggeris atau British khususnya amat berbangga dengan kejayaan mereka melahirkan anak watan yang lebih Mat Saleh daripada mereka dalam segala sudut kebudayaannya dan pemikirannya.
Tidak hairanlah jikalau kita mendapati pejuang kemerdekaan yang anti kolonialism dengan segala maknanya disisih manakala pejuang kemerdekaan yang 'mesra British' ditatang mengisi kekosongan setelah perginya British. Sejarah tidak berbohong walaupun penulis sejarah memberikan makna mengikut selera mereka.
British berjaya mendoktrinkan pemikiran sejarah perjuangan sendiri apabila pejuang yang tulen dianggap kiri dan radikal manakala yang mesra British dianggap pejuang sederhana. Penggunaan istilah komunis sewenangnya dipakai untuk menindas penuntut kemerdekaan mutlak supaya dibenci dan ditolak, akhirnya sejarah yang kita baca hanyalah mewarisi kehendak penjajah dan doktrin Keagungan Barat tetap mempengaruhi kita walaupun setelah kita menikmati kemerdekaan.
Pasca merdeka
Hari ini generasi pewaris negara tercinta ini tidak lagi bercakap mengenai penentangan nenek moyang mereka terhadap penjajah walaupun ia mencetus semangat patriotism anak muda. Tetapi hari ini mereka berbicara mengenai kemerdekaan jiwa, minda dan kebebasan maruah dari diinjak. Sebab itu perjuangan kemerdekaan jiwa belum lagi tamat apabila yang menyambut kemerdekaan ini ialah mereka yang meneruskan penjajahan dari sudut akta dan undang-undang yang mengongkong jiwa.
Akta Media Cetak masih berfikir gaya tuan kolonialis yang mahukan kita berfikir apa yang mereka mahu kita fikirkan. White Supremacy diganti dengan Race Supremacy yang menjadi daun kad simpanan yang dipakai bila-bila masa mereka perlukan untuk terus berkuasa. British membentuk komposisi kaum dan menggunakan isu kaum bila dirasakan perlu untuk menguasai keadaan, apa bezanya hari ini apabila komposisi itu masih tetap digunakan untuk mewajarkan penguasaan politik negara? Agama yang antara lainnya menjadi asas cetusan kebangkitan menentang penjajah kini menjadi modal murahan mencetuskan ketegangan hubungan antara agama untuk kepentingan puak yang sempit. Merdekakah kita dari kepimpinan politik yang begini?
Gelombang kedua kemerdekaan
Kini mari kita berbicara kemerdekaan seterusnya, kemerdekaan dari penjajahan politik rasis dan prejudis agama. Kemerdekaan daripada pemimpin yang korup dan bernafsu besar. Mari kita canangkan kemerdekaan berfikir tanpa berasa salah dan kemerdekaan menentang kebobrokan pemerintah tanpa dichop pembangkang dan pengkhianat.
Mari kita merdeka daripada penyelewengan hak bersuara dengan mengasaskan demokrasi yang mendaulatkan hak bersuara tanpa dimanupilasi oleh pihak yang sepatutnya memelihara hak itu. Mari kita berbeza pandangan tentang bagaimana negara ini harus dikemudikan tanpa membinasakan negara ini. Mari kita mempertahankan hak musuh kita untuk menyatakan pandangannya walaupun kita tidak bersetuju dengannya. Itu erti kemerdekaan yang hendak diperjuangkan oleh generasi pasca merdeka. Kita yakin pejuang kemerdekaan terdahulu impikan negara yang bebas, bermaruah dan rakyatnya mendapat pembelaan walau apa pun warna kulit dan agama kita kelak.
Hanya dengan itu..saat kita melaungkan MERDEKA! semangatnya mengalir hingga ke tulang sum-sum dan kekal ia sebagai semangat abadi yang digenggam dengan bara patriotisma tulen. KEMERDEKAAN TANPA RASISME adalah perjuangan gelombang kedua kemerdekaan, mari kita genggam bara kemerdekaan ini. – 30 Ogos, 2013.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments