Opinion

Menjejaki langkah Nabi Muhammad

Nabi Muhammad memandu umat manusia untuk kemakmuran hidup ini dan keselesaan alam sana. Jikalau Nabi Muhammad masih hidup baginda akan memperingatkan kita dengan kata-katanya yang mudah difahami bahawa kita tersasar jauh daripada ajarannya mengikut sudut prinsip dan amalannya. Di bawah adalah apa yang mungkin dikatakan Nabi Muhammad kepada kita apabila melihat kita hanya pandai berselawat tetapi tidak mempertahankan apa yang diperjuangkan oleh baginda.

"Aku adalah nabi petunjuk rahmat"

Memang enak kita bersalawat ke atas Nabi Muhammad kerana Allah memerintahkan kita berbuat demikian dalam surah Al Ahzab 56:

ان الله و ملائكته يصلون علي النبي يا ايها الذين امنوا صلوا عليه سلموا تسليما

 

“Wahai orang yang beriman sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat ke atas Nabi, hai orang yang beriman bersalawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanah salam penghormatan kepadanya."

Tanda kasih kepada Nabi Muhammad tidak terbatas kepada mulut berkata-kata tetapi hendaklah menjejaki cara dan langkah baginda membimbing manusia kerana syarat kasih kepada Nabi mestilah dituruti dengan ikut, hayati dan bela semua yang ditinggalkan kepada manusia. Allah berfirman dalam surah Ali Imram ayat 31:

قل ان كنتم تحبون الله فاتبعوني يحببكم الله و يغفر لكم ذنوبكم والله غفور رحيم

 

"Katakanlah (kepada mereka)  jika kamu benar mencintai Allah , maka ikutlah aku barulah nanti Allah mengasihi kamu dan mengampun dosa-dosa kamu, Allah maha pengampun lagi maha pengasih."

Kerahmatan Nabi Muhammad membawa keampunan Allah kepada mereka yang mengikuti caranya dipanggil Sunnah. Sunnah adalah rahmat yang besar untuk semua manusia bukan sahaja untuk orang Islam dan kerananya Islam diterima oleh semua kaum di seluruh pelusok dunia terdiri daripada pelbagai keturunan dan warna kulit. Sama ada mereka menerima dakwah Islam atau pernah berasa dalam perlindungan Islam, adalah tanda besar bahawa Muhammad adalah nabi petunjuk rahmat kepada alam ini.

"Aku adalah untuk semua"

Nabi Muhammad tidak pernah membataskan kehadirannya hanya untuk kaum tertentu apatah lagi hanya untuk kaum Melayu. Kerahmatan baginda adalah untuk keseluruhan manusia dan tidak semestinya manusia itu beriman, malah kelada yang belum beriman mereka juga adalah umatnya kerana dalam kata-kata Muhammad sendiri baginda memperakui kesejagatan risalahnya dengan bersabda:

كان النبي يبعث الى قومه خاصة و بعثت ال الناس كافة

(بخاري و مسلم)

“Nabi sebelumnya diutuskan hanya untuk kaumnya manakala aku dibangkitkan untuk keseluruhan manusia.” (Bukhari dan Muslim).

Tidak mungkin Nabi untuk manusia boleh menyisihkan mana-mana kaum sedangkan mereka juga manusia seperti orang Islam. Orang Islam adalah mereka yang sudah menerima seruan Nabi Muhammad untuk menjadikan Allah yang satu dan mengikut prinsip ditinggalkan oleh baginda, manakala bukan Islam, mereka belum lagi memahami atau menerima, jadi menjadi tanggungjawab Nabi Muhammad untuk meneruskan penjelasannya kepada manusia sehingga Allah menentukan hidayahNya.

Al Qaradhawi menyebut dengan jelas bahawa istilah kafir dan Muslim itu sendiri harus diperbetulkan apabila melihat kesejagatan dakwah Muhammad dengan meletakkan istilah yang sewajarnya iaitu umat yang menerima dan umat yang terus diseru.

Tidak ada istilah pemisahan daripada sudut penerimaan Muhammad sebagai "the last messenger of Allah"  dengan hanya menganggap hanya umat Islam sahaja umat Muhammad, kita menafikan kesejagatan risalah Muhammad kepada keseluruhan manusia. Itulah kerahmatan yang mesti dihayati, diperjuangkan dan dibela oleh kita yang sudah menerima seruan Muhammad. Orang Melayu yang mengaggap Muhammad itu hanya eksklusif kepada orang Melayu, tingkah laku mereka menjejaskan satu keistimewaan risalah Nabi dan sekali gus menafikan kesejagatan Islam. Apalah guna bersalawat jikalau tidak berani mempertahankan kerasulan Muhammad dalam bentuknya yang sejagat.

"Aku hanya menyampaikan"

Nabi penuh rahmat ini tiada daya dan upaya memberi hidayah kerana jika ia diberikan kuasa demikian ternafi sifat baginda sebagai Rasul. Rasul membawa maksud juruutus atau jurukirim, dia hanya menjalankan tugas daripada pihak yang mengirim dan kerana itu dia hanya hamba seperti manusia lain cuma tugasannya ialah menyampaikan utusan Allah.

Tiada sepanjang sejarah Rasul akhir zaman ini menjadikan asas seruannya melalui ancaman atau ugutan, yang ada ialah terus menerus menyeru tanpa penat lelah. Jikalau ada ancaman pun ia adalah ancaman kepada isi kandungan kesesatan mereka terhadap keesaan Allah tapi bukan kepada tuan tubuh badan kerana konfliknya ialah antara kekufuran dan kesyirikan melawan kebenaran dan ketauhidan.

Konflik itu dilanggan pada asas yang membentuk kesesatan tersebut dan tidak lebih daripada itu dan caranya ialah berdakwah dengan hikmah, bijaksana, debat dengan penuh adab dan selebihnya diserahkan kepada Tuhan yang mengirimkan baginda Muhammad untuk mendapat hidayah. Kerahmatan ini perlu dipapar dan diperjuangkan oleh kita umat yang menerima dakwahnya bagi menunjukkan kasih kita kepada Nabi Rahmat ini, bukan dengan dengan cara kasar dan mengancam orang lain yang belum beriman lagi.

"Aku juga tegas"

Ketegasan Nabi Muhammad adalah rahmat yang besar kepada manusia kerana ia mengajar kita erti mempertahankan keimanan malah sanggup mati mempertahan keimanan ini. Daripada sinilah Islam menentukan premis hubungannya dengan mereka yang berniat jahat merosakkan dan menyekat serta mematikan kerahmatan ini bergerak dengan aman dan bebas. Tidak ada mana-mana contoh sepanjang sejarah Nabi yang mengisyaratkan permusuhans kecualilah pada mereka yang mengistyharkan permusuhan dulu kepada Islam.

Peperangan dalam Islam adalah pengecualian kepada sikap pencerobohan dan konspirasi meruntuhkan kedamaian yang dibina oleh Muhammad kerana jika suasana aman menjadi order hubungan pastinya Islam dan bukan Islam akan terus menikmati kedamaian ini. Keadaan inilah yang cuba diruntuhkan melalui pencerobohan ke atas zon damai ini maka tidak boleh tidak Nabi ini mempertahankan apa yang dibinanya selama ini. Sebab itulah ada hadis Nabi yang menyebut:

انا نبي مرحمة و انا نبي ملحمة (بخلري)

“Aku adalah Nabi yang penuh kasih sayang dan aku juga adalah Nabi yang berani untuk bertempur.” (Bukhari).

Peperangan dalam Islam adalah hak untuk mempertahan diri daripada kejahatan manusia yang benci melihat kebaikan tersebar bukanlah peperangan itu asas tertegaknya Islam. Sebab itu Nabi Muhammad diajar untuk menjadi tegas apabila kebaikan ini tergugat bukan seperti sesetengah kita yang menunjukkan hubungan dengan orang lain atas bermusuh dan sentiasa menanti sebab mencetuskan pergaduhan dengan agama lain. Alangkah berbezanya dua asas ini di mana permusuhan adalah asas dan kedamaian adalah pengecualian sedangkan yang benarnya ialah perdamaian adalah asas dan pemusuhan adalah pengecualian.

"Aku sentiasa mengingati kamu"

Walaupun berakhir sudah hayat Nabi namun ingatannya sentiasa melayang kepada semua yang Islam dan bukan Islam untuk kita ambil iktibar bahawa Nabi ini amat berat keprihatinannya kepada kita. Saat akhir baginda sering mengingati kita dengan mengingatkan para sahabat akan kedatangan umatnya selepas ini di mana baginda tidak melihat kita dan kita tidak pernah bersama baginda, namun baginda bersabda yang maksudnya:

"Ada kaum yang datang selepas aku, aku tidak melihat mereka tetapi mereka mengimani kepadaku dengan keimanan yang kukuh dan mereka membaca Al-Quran sama seperti kamu membacanya, ketahuilah mereka lebih baik iman mereka daripada kita semua."

Jarak tidak pernah memisahkan kita dengan Nabi Muhammad, oleh itu marilah kita yang Islam dan belum Islam menghayati jejak langkah mulia ini dengan mengikuti ajarannya dan menyebarkan kedamaian kepada semua. Kami mencintaimu ya Rasul Allah. – 18 Januari, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments