Sekian lama sibuk dalam segala aktiviti politik dan advokasi, saya hampir terlupa tarikh ulang tahun perkahwinan saya.
Tanpa disedari, 24 tahun berlalu kami mengharungi bahtera berumahtangga dan semakin terasa waktu itu berlalu apabila melihat anak-anak kami ‘meninggalkan’ kami untuk meneruskan kehidupan universiti masing-masing.
Kami dianugerahkan dengan tiga anak yang kini mendaki tangga pengajian tinggi mereka. Betapa masa begitu pantas berlalu dan betapa perjuangan ini masih jauh ke destinasinya.
Kali ini pada tahun 2014, tanggal ulang tahun kami iaitu 29 September menemui saya dan isteri secara berasingan. Saya berada di bumi Australia dan isteri saya di Malaysia, jarak tempoh kami ialah lapan jam melalui laluan udara.
Pada hari itu saya keseorangan di bilik hotel sambil menyiapkan artikel travelog yang perlu disegerakan. Saya kurang tertumpu pada tulisan saya walaupun jari saya sedang menyiapkan artikel “Musim Bunga di Melbourne” kerana fikiran saya melayang jauh mengimbau 24 tahun detik manis yang saya lalui bersama isteri tersayang.
Berputik di Mesir
Kami menyimpul ikatan cinta di bumi Mesir sewaktu masing-masing masih berstatus pelajar dan saat itu cukup bermakna bagi saya kerana menikmati ‘kesukaran’ menyempurnakan pengajian kami dalam suasana kami sebagai pasangan suami isteri.
Walaupun pengajian di Mesir percuma, kami terpaksa membayar makan minum dan rumah sewa serta keperluan buku sedangkan saya hanya berbekalkan biasiswa ‘FAMA’ (father and mother) manakala isteri saya yang di tahap pascasiswazah juga bersumberkan biasiswa ‘FAMA’.
Hidup terasa sedikit teruji apabila anak sulung saya lahir di Mesir dan kini baru saya faham apa ertinya apabila ibu saya secara berseloroh berkata, “Sekarang engkau ada ‘mulut’ lain untuk disuapkan.”
Ya benar sekali kata-kata tersebut... kini saya ada tiga ‘mulut’ termasuk saya untuk disuap.
Menerima duit daripada ayah bonda sememangnya saat yang dinantikan sama ada ke bank atau kiriman dari sahabat yang balik ke Mesir.
Kami berhati-hati berbelanja malah saya menjual motosikal saya yang berkuasa tinggi semasa saya bujang untuk berpuashati dengan yang lebih kecil bagi memudahkan kami bergerak.
Motosikal saya banyak berjasa kerana saya membawa isteri ke klinik bersalin dengan hanya menunggang motosikal. Saya terpaksa berhenti apabila melalui jalan yang berlubang (di Kaherah banyak jalan berlopak dan berlubang) kerana waktu itu isteri saya sudah sarat dan terpaksa menolak dan kemudian bergerak semula.
Nidhal lahir
Dr Azzah dari Klinik Bersalin Masjid Tauhid sememangnya menunggu saya dan isteri. Di bilik bersalin saya menyaksikan buat pertama kali dalam hidup keadaan betapa si ibu bertarung dalam keseksaan untuk membawa yang hidup bernafas ke dunia.
Saya menggengam erat tangannya dengan penuh doa dan harapan agar dapat melaluinya demi anak pertama kami. Saatnya sungguh indah melihat bayi yang masih merah lagi menangis tanda selamat, saya memeluk isteri saya yang lemah namun senyum mengendong anak pertama kami.
Di sebalik kegembiraan, fikiran saya tertumpu kepada peperiksaan esok pagi yang saya terpaksa hadiri, malamnya sambil berjaga di klinik saya membuat persediaan untuk esok pagi.
Entah mengapa, saya bersemangat pula dan subjek yang sukar seperti Saraf atau Morfologi Bahasa Arab menjadi mudah untuk saya. Mungkinkah ini dikatakan ‘berkat anak’?
Kami menjalani kehidupan berkeluarga di Mesir dalam angin musim dinginnya, berhimpit di bilik kerana di situ sahaja pemanas yang ada walaupun ruang rumahnya agak selesa.
Saya menamatkan pelajaran tetapi isteri saya memutuskan untuk lupakan pengajian pascasiswazahnya dalam bidang Syariah untuk berpada dengan ijazah pertamanya sahaja.
Saya berseloroh dengannya, “Umi tidak perlu sudah MA (Sarjana) sebab umi dah ada dua ‘MA’, MAMA.” Saya tidak mahu menjadi sebab isteri saya berhenti lalu beberapa kali bertanya saya sanggup menunggu namun itu adalah pilihannya sendiri untuk berhenti lagipun tidak dibiayai oleh mana-mana pihak. Kami kembali dengan mengendong anak dan ijazah.
Kudrat untuk hidup
Menjalani kehidupan berkarier di Malaysia juga menggamit kenangan manis saya dan isteri saya. Kami bertugas pertama kalinya di Ipoh sebagai ustaz dan ustazah. Isteri saya mengajar skim guru sementara di sekolah vokasional manakala saya mengajar di Sekolah Agama Izuddin Shah atas skim guru kontrak.
Gaji RM900 bagi isteri dan saya RM700 sudah cukup untuk kami menjalani kehidupan dengan kenderaan dipinjamkan oleh ayah untuk saya gunakan sementara.
Saya teringat satu kisah di mana kami membeli mesin basuh melalui bayaran ansuran dua bulan dan kerana ingin menjimat, kami hanya makan lauk ikan kering dan maggi selama dua bulan untuk membayar harga mesin basuh itu.
Adakalanya (bukan selalu), saya terpaksa meminjam duit sahabat baik saya yang juga jiran saya (dia lebih selesa hidupnya) untuk menghantar anak ke klinik kerana anak sulung saya Nidhal kerap asma semasa kecil.
Hingga hari ini saya tetap mengenangkan jasa sahabat saya dan tersenyum sendiri memikirkan kudrat untuk hidup.
Amal
Anak kedua kami bernama Amal adalah simbol harapan kerana Amal bererti “harapan”. Kesusahan hidup di kota besar Kuala Lumpur dan isteri saya melanjutkan pelajaran untuk diploma pendidikan adalah mercu tanda peralihan hidup kami.
Isteri saya memutuskan untuk berkarier sabagai guru dan tekad untuk mengambil diploma pendidikan sebagai syarat utama. Wanita cekal ini sarat mengandung ketika itu dan kami terpaksa berjauhan kerana dia terpaksa berada di kampus Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak.
Pusat Diploma Pendidikan waktu itu terletak di sebuah bangunan berbukit dan untuk ke kelas dia terpaksa ‘memanjat’ bukit kerana kedudukannya yang agak curam. Saya sentiasa bersimpati dengannya kerana membawa bersamanya ‘Amal’ setiap kali ke kelas.
Wanita cekal ini juga terpaksa melintas Sungai Gombak yang arusnya deras dari titian kecil untuk sampai ke rumah sewanya. Kami hanya bertemu pada hujung minggu dan sepanjang hari bekerja saya serahkan Nidhal untuk dijaga kakak saya yang bertugas sebagai penjaga kanak-kanak di sebuah Pusat Asuhan di Ampang.
Bagi menjimatkan kos sewa, rumah sewa saya diserahkan pada seorang kawan dan saya sendiri menumpang rumah kakak saya Widad dan suaminya Bakri. Anak saya seperti anak mereka, malah kerana saya juga selalu ke luar untuk tugasan saya, Nidhal sudah biasa dengan Mak Idednya.
Saya masih teringat kalau pun saya pulang lewat, saya tetap akan ambil Nidhal ke bilik saya dan memeluknya untuk tidur. Jika saya balik awal, saya akan bercerita dengannya sebelum tidur sehingga si kecil melelapkan matanya, kisah paling diminati ialah kisah harimau, singa dan gajah yang saya reka sendiri tetapi membuat bunyi haiwan itulah yang paling diminati oleh Nidhal.
Saya menamakan anak kedua kami Amal kerana ia memberi kami harapan untuk meneruskan kehidupan sedangkan Nidhal adalah perjuangan.
Amal lahir di Hospital Besar Kuala Lumpur, berbanding dengan Nidhal dan Manal, Amal paling sederhana kos kelahirannya dan paling buruk pengalaman untuk isteri saya, itu boleh menggambarkan kedudukan saya dari sudut kewangan kerana saya tidak mampu ke hospital swasta.
Namun saya bersyukur, Amal lahir sebagai bayi yang comel dan kini membesar sebagai anak yang taat pada ibu dan ayahnya. Isteri saya mengadu sejurus selepas melahirkan Amal dia berasa dahaga tetapi saya tidak dapat bersamanya sehinggalah waktu lawatan petangnya, saya berasa kesal hingga ke saat ini tetapi kini menjadi bahan cerita pahit maung kami.
Karier pensyarah
Mengharungi pelbagai ujian bukan sahaja ketika susah, bahkan juga ketika waktu senang walaupun ujiannya berbeza. Saya kemudiannya menjawat sebagai pensyarah di Institut Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat (ITTM) di bawah Syarikat Telekom Malaysia.
Saya diambil sebagai pegawai Telekom bahagian pendidikan. Pertama kali saya ditawarkan gaji RM2,300 sebagai permulaan adalah cukup besar bagi saya, manakala isteri saya pula berkarier sebagai guru dengan pendapatan RM1,800.
Ia cukup mewah bagi kami yang tinggal di Taiping dengan dua anak ketika itu. Saya juga melebarkan bakat saya dalam ceramah-ceramah agama dan membuat ‘radio talk’ di RTM Ipoh dalam sesi kaunseling keluarga bahagia.
Pendapatan saya daripada saguhati ceramah dan jemputan untuk memberi kursus dalam bidang kekeluargaan dan Islam memberikan kami kehidupan yang sedikit selesa berbanding sebelum ini.
Isteri saya baru kini berpeluang mendapatkan apa yang selama ini dianggap ‘mewah’. Saya juga mampu untuk berkereta sendiri dan mampu membawa keluarga berjalan semasa musim cuti sekolah.
Manal
Ia satu pencapaian dan apabila kami berpindah ke Melaka, isteri saya mengandung anak ketiga kami. Manal yang membawa maksud “pencapaian” dan oleh kerana pencapaian itu besar, maka saya jelas ia bukanlah pencapaian yang awal dan akhir, saya mahukan pencapaian besar dalam kehidupan dengan segala maknanya.
Minat saya ke alam politik semakin meningkat dan saya berdaftar dengan PAS untuk bergerak di Melaka, era itu adalah era Reformasi dan saya menjadi aktivis era tersebut dengan semangat membawa perubahan melalui parti saya Parti Islam SeMalaysia.
Entah mengapa semangat saya semakin membara untuk berkecimpung sepenuh masa dalam politik. Isteri saya amat memahaminya malah tidak pernah mempertikaikan keazaman saya. Wajahnya sedikit pun tidak bimbang malah ketenangannya sehingga saat ini memberikan inspirasi kekuatan pada saya.
Kemungkinan kehidupan politik saya lebih banyak menguji kesabaran isteri saya kerana waktu inilah saya melakukan dua perkara besar sekaligus, iaitu berdaftar sebagai calon ijazah kedoktoran (PhD) dan menjawat sebagai Exco Dewan Pemuda PAS Pusat.
Masa saya banyak dihabiskan di luar sedangkan anak saya masing-masing sedang membesar di peringkat sekolah. Sebahagian urusan mereka diuruskan oleh Umi mereka dan jika saya tidak ke mana-mana saya akan gantikan waktu yang saya terpaksa korbankan semasa sibuk.
Saya masih ingat hari pertama anak bongsu kami Manal ke Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di mana saya ketika itu berada luar negara atas misi bantuan ke Afghanistan, isteri saya terpaksa mengorbankan waktu kerjanya melayan kerenah anak saya yang masih kekok di alam persekolahan.
Malah ada pada hari-hari tertentu hal persekolahan, saya tiada di sisi mereka dan terpaksa digantikan dengan Uminya.
Ingin saja saya meminta maaf tetapi mereka tidaklah pula mengungkitnya, mungkin kerana faham Abuya (panggilan anak untuk saya) sibuk.
Ahli politik muda
Selama lebih 11 tahun masa saya banyak dihabiskan dalam alam politik bersama PAS, dan selama itulah saya menerima hakikat mengalami dua kali kekalahan bertanding pilihan raya umum.
Isteri tercinta bersabar dengan suami yang tidak bergaji tetapi sibuk lagak seorang ahli korporat besar. Ada masanya duit untuk berbelanja tidak dapat saya penuhi tetapi saya tidak mengalah dan jarang meminta kepadanya, malah jika RM10 yang ada dalam poket saya itulah yang saya berikan kepadanya untuk keperluan harian.
Selalunya dia senyum sahaja kerana dia tahu suaminya tidak akan meminta isterinya yang keluarkan duit untuk belanja. Wanita yang mendampingi saya sehingga ke saat ini tidak pernah mengadu atau merungut sebagaimana saya tidak pula mengambil kesempatan malah saya menampung kekurangan waktu dan duit ringgit saya dengan menyiapkan anak-anak ke sekolah di waktu pagi, membasuh baju dan kadang-kadang mengemas rumah dan dapur.
Itu sahaja bahasa yang saya dapat isyaratkan terhadap kekurangan yang ada pada saya terhadapnya. Saya juga yakin duit ringgit dan material bukan bahan belaian saya untuknya tetapi sesekali berpisah untuk tugasan, hadiah tanda ingatan memang pilihan terbaik untuk menambat kasihnya.
Wanita hidupku
Kini wanita yang saya cintai bergelar Datin, itu mungkin dapat menggambarkan perjalanan singkat saya setakat ini mengharungi kehidupan bersamanya. Dia juga bergelar isteri Yang Berhormat namun lebih selesa sahaja dipanggil Ustazah Zuraida Husin.
Kesibukan saya tidak berubah malah lebih dari biasa. Selalunya apabila kami bersama ahli keluarga di Pulau Pinang atau di Besut berseloroh bagaimana kehidupan kami di Parit Buntar apabila ketiga-tiga anak kami kini jauh di perantauan, khususnya Manal yang kini melanjutkan ijazah pertama di Beijing, isteri saya akan berkata, “Bukan lagi kami berdua tinggal, Abuya sibuk, tinggal Umi seorang saja di rumah.”
Saya hanya mampu tersenyum, walaupun setiap kali saya meninggalkannya keseorangan saya akan berdoa untuk kesabarannya dan kesejahteraannya.
Engkaulah sememangnya wanitaku.
Memperbaharui
Usai artikel saya “Musim Bunga di Melbourne” dititipkan, imbauan saya tamat walaupun tidak ada kena-mengena dengan artikel tersebut saya. Kini setelah sampai kembali ke tanah air, dalam kedinginan kereta saya dipandu oleh Pak Din, saya perlu menitip pena untuk merakamkan kembali imbauan dan kenangan tersebut sempena ulangtahun perkahwinan kami ke-24.
Saya berada dalam perjalanan ke rumah kami di Parit Buntar untuk bertemu kekasih hati saya semasa catatan ringkas ini ditulis. Catatan ini adalah hadiah untuknya dan pastinya tidak cukup untuk satu perjalanan jauh dari Melbourne tanpa hadiah istimewa.
Semoga Umi Nidhal (gelaran isteri saya) berbahagia dan semoga aku, Abu Nidhal bisa terus membahagiakannya dalam sisa baki kehidupan kami sehingga ke syurgaNya.
Amin ya rabbal alamin. – 7 Oktober, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments