Opinion

Perjalanan ke Iran (1)

Sejak meninggalkan bumi Iran pada 1978, saya tidak pernah kembali ke sana lagi walaupun Iran adalah negara luar kedua masa paling panjang saya habiskan untuk menetap, selepas Mesir. Di Mesir, saya tinggal hampir 7 tahun di sana kerana menuntut ilmu di Al-Azhar tetapi saya berpeluang beberapa kali menziarahi semula bumi anbiya tersebut. Bagi Iran, inilah pertama kali saya menziarahinya semula setelah menetap di sana dari 1975-1978. Ayah saya waktu itu bertugas atas misi negara sebagai Duta Besar di sana dan saya mengikutinya pada umur 11 tahun.

Tersungkurnya Shah

Iran waktu itu bukan Iran sekarang waimma namanya pun sudah menjadi Islamic Republic of Iran dan bukan lagi semasa saya di sana sebagai The Royal Kingdom of Iran. Iran sebelum revolusi terkenal dengan rajanya yang menggelar dirinya sebagai Shahanshah Aryamer yang membawa konotasi Raja kepada segala Raja Aryan sebagai kebanggaan bahawa baginda adalah daripada keturunan mulia. Malangnya kebongkakan Shah Iran terungkai apabila ia dibuang oleh rakyatnya sendiri dalam satu revolusi terhebat abad ke-20 yang dikenali sebagai The Islamic Revolution of Iran pada 1979.

Post revolusi

Keseluruhan perjalanan sejarah Iran berubah dan Iran menjadi satu-satunya negara Islam yang berani mencabar hegemoni kuasa besar Amerika dan sekutunya malah tersenarai salah satu daripada 3 negara dalam senarai Amerika sebagai negara 'bahaya' selain Korea Utara dan Cuba. Keberanian Iran mempertahankan program nuklearnya dibayar dengan harga yang mahal apabila dikenakan sekatan ekonomi sejak 1990-an walaupun hingga ke tahap ini Iran masih lagi bertahan dan terpaksa bergantung kepada sumber utamanya daripada minyak melalui pasaran gelap yang tinggi permintaannya.

Khomeini

Aayatollah Ruhollah Khomeini adalah figura yang mengubah persepsi dunia terhadap kemampuan Islam muncul sebagai kuasa dunia yang disegani dalam era moden ini. Berbekalkan semangat revolusi dan ucapannya mampu menggoncang jiwa yang mahukan kebebasan daripada diktator Shah dan renungan matanya tajam menggambarkan keazaman yang tidak mungkin diruntuhkan, Khomeini mencipta sejarah Iran yang baru.

Seorang ulama Syiah yang mendapat gelaran Ayatollah hanya perlu berucap dari rumah kecilnya di Perancis sebagai orang buangan dan disebarkan ucapannya melalui kaset sehingga tiada isi rumah yang tidak mendengar ucapannya melainkan semuanya terkesan dan bangkit kemudian untuk menggulingkan diktatator Shah.

Khomeini juga membawa Iran mempertahankan sempadannya dengan Iraq sehingga tercetus perang Iran -Iraq dekad 1980-an. Khomeini mempertahankan golongan pelajar yang menawan premis Kedutaan Amerika yang anti-Iran berpanjangan sehingga beberapa bulan. Khomeini juga mengeksport Revolusi Islamnya ke seluruh dunia Islam sehingga musim haji menjadi gelanggang mesejnya dalam menentang 'Mustakbirin Amerika".

 Kini tokoh agung revolusi Islam Iran terus menjadi ikon kebangkitan dan diabadikan nama lapangan terbang yang dulunya dikenali sebagai Mehrabad kepada Imam Khomeini International Airport.

Politik Iran

Asif Bayyat seorang ahli akademik beketurunan Iran yang kini berada di Amerika membuat kajian secara konseptual tentang suasana politik Iran pasca revolusi pada 1996. Antara dapatan awalnya beliau merumuskan bahawa zaman mengekalkan momentum revolusi semakin perlahan dan tekanan kepada aspek realiti pemerintahan dan persoalan ekonomi menuntut ideals dan perlaksanaan dicerakinkan.

Persoalan masa depan daripada sejarah kebangkitan dan persoalan demokrasi dan prinsip Islam seolah-olah perlu mendapat persepakatan termasuk hak kewarganegaraan dan hak asasi manusia. Beliau menamakan tesis beliau sebagai Post-Islamism yang kini diperluaskan perbahasannya kepada mengulas siri kebangkitan Arab spring yang dipelopori antara lainnya oleh kelompok Islamik. Daripada sudut Islam dan pemerintahan, Iran dianggap unik kerana merintis kebangkitan rakyat menentang diktator dan mengasaskan Islamic Republic pertama di dunia dalam kerangka negara bangsa.

Iran menjadi tuan rumah

Perjalanan saya kali ini mewakili Parlimen Malaysia ke konferensi Kesatuan Parlimen Organisasi Negara Islam (PUIC) yang dihoskan oleh Iran. Menarik kerana Iran adalah antara negara yang aktif mempromosikan Kesatuan Parlimen ini dan banyak menyuarakan isu semasa umat Islam melalui platform ini.

Saya masih ingat ketika sidang di Palembang, Indonesia pada 2012, ucapan Speaker Dewan Iran  mencetuskan kemarahan peserta negara-negara Teluk kerana Speaker An Nouri mengucapkan tahniah kepada kebangkitan Arab spring dan berbangga bahawa Iran memulakan sejak 1979 menggulingkan pemerintah beraja yang diktator. Ucapan itu amat pedih didengari oleh ahli delegasi Parlimen negara Teluk lalu mereka keluar dewan tanda boikot.

Balik kampung

Saya teruja untuk menghadiri konferensi ini di Tehran kerana sejak menjadi ahli parlimen pada 2008 saya dilantik oleh Speaker Parlimen Malaysia untuk menjadi Ahli Jawatankuasa ke persidangan ini. Selain mengharapkan dapat menjalankan tugas negara dan mengharumkan nama negara, saya ada misi lain yang saya tunggu selama ini iaitu menziarahi tempat yang saya pernah bermain, bersekolah dan membesar dari 1975-1978 di Iran. – 15 Februari, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments