Opinion

Perjalanan ke Morocco

Morocco dalam bahasa Arab ialah Maghrib, sebuah negara monarki yang masih bertahan dengan pemerintahan beraja. Negara yang penduduknya sekitar 40 juta orang ini terkenal dengan tempat seperti Casablanca dan Marakesh, syurga untuk pengunjung yang mencari pertemuan Arab dan Eropah.

Negara yang berbangga dengan pengaruh Perancis ini menjadikan bahasa Perancis sebagai bahasa kedua selepas bahasa Arab. Namun kebanyakan papan tanda di kedai memakai bahasa penjajahnya, malah di restoran yang kami nikmati makan tengahari menyediakan menu dalam bahasa Perancis, menyebabkan sukar kami memahami kecuali dengan melihat gambar.

Mengenali Morocco

Sebelum ini saya membaca Morocco daripada buku sejarah Islam, Morocco merupakan tempat pelancaran kempen Islam ke Eropah melalui Sepanyol. Andalusia jatuh ke tangan Islam melalui kawasan ini, begitu juga kempen Islam menguasai Sicily atau As-Saqaliyah, bermula dari kawasan ini.

Kaum Berber yang kemudian memeluk Islam adalah kaum digeruni kerana keberanian mereka meluaskan pengaruh Islam ke Eropah. Kerajaan Idrisiyyah, Fatimiyyah, Aghlabiyyah dan Kalbiyyah meluaskan pengaruh Islam sebelum kejatuhan kuasa Islam di Eropah pada tahun 1059 Masihi.

Daerah Maghrib merupakan benteng dan titik tolak penting untuk memahami perkembangan Islam di Eropah, begitulah sejarah meletakkan Morocco dalam peta dunia dan peta Islam secara khusus.

Casablanca dan Humphrey Bogart

Saya menghadiri mesyuarat eksekutif Kesatuan Parlimen Negara Islam (Parliamentary Union of OIC Member States, atau PUIC) bagi persediaan persidangan yang dijangka diadakan di Mali pada tahun 2015.

Malaysia berjaya mendapat tempat dalam Jawatankuasa Eksekutif ketika di Tehran sebelum ini bagi mewakili kelompok negara Asia. Bagi meneruskan kesinambungan, saya dan Datuk Seri Reezal Merican, Ahli ParlimenKepala Balas, diminta hadir kerana semasa persidangan di Tehran, kami menyatakan hasrat Malaysia menyertai Jawatankuasa Eksekutif untuk membentuk agenda mesyuarat dan dalam agenda empat jawatankuasa khas termasuk isu wanita.

Saya menerima arahan untuk hadir di sini dengan berat hati, kerana sidang penggal kedua Dewan Rakyat sudah bermula pada 9 Jun lepas, dan saya terpaksa tidak hadir selama seminggu, namun menyedari ianya juga adalah tanggungjawab negara bagi bagi mewakili Parlimen Malaysia, maka saya bersedia memikulnya.
Meskipun demikian, saya juga teruja pada waktu yang sama untuk menjejak kaki saya di bumi Maghrib.

Casablanca adalah bahasa Sepanyol, iaitu bahasa Arabnya ialah Darul Baidha' yang membawa maksud "rumah putih". Saya pernah mendengar Casablanca dari sebuah filem yang mengambil sempena nama ini dibintangi oleh Humphrey Bogart dan Ingrid Bergman.

Filem ini merupakan kisah perjuangan dan cinta berlatarbelakang peperangan dunia kedua.

Semasa saya di bangku sekolah, saya menyangka Casablanca sebuah negara di Eropah, dan hanya setelah membaca tentang sebuah negara bernama Morocco saya memahami ia adalah sebuah negara Arab dari sudut bahasa dan bangsanya.

Casablanca paling padat penduduknya membentuk lima juta dari keseluruhan penduduk, merupakan bandar komersil dan perniagaan yang terdiri daripada enam daerah dengan setiap daerah mempunyai ketua pentadbirannya tersendiri.
Sememang pun bangunan di sini kebanyakannya perniagaan dan jalannya lebih sibuk berbanding Rabat.

Ia mempunyai pantai yang indah dan di sana terletak monumen Masjid Hassan II yang terletak di atas laut yang ditambak. Melihat masjid ini dari jauh menjadikan Masjid Putraja dan Masjid Wilayah Persekutuan agak kecil, apatah lagi apabila melihat menaranya yang setinggi 210 meter dan dapat menempatkan 105,000 jemaah pada satu-satu masa.

Senibinanya macam senibina Moors yang memenuhi lanskap bangunan warisan di Andalusia. Agak keterlaluan jika saya menyatakan ia seumpama kita melawat bangunan lama peninggalan Islam di Andalusia, namun itulah hakikatnya walaupun masjid ini masih baru dan selesai pembinaannnya tahun 1993.

Kami tidak dapat solat dalam dewan utamanya kerana pintu hanya dibuka pada waktu solat sahaja. Melihat pantainya di mana terletak Eropah di seberangnya sekitar beberapa batu, memberikan ketenangan pada saya dan delegasi setelah hampir 16 jam meredah benua.

Kalaulah masjid ini wujud semasa filem Casablanca tahun 1942, pasti Humphrey  Bogart akan beraksi di sini.

Rabat

Rabat adalah pusat pentadbiran kerajaan, suasananya tidak sesibuk Casablanca, di sinilah tempat kami menginap iaitu Hotel al Hassan. Hotel ini mengambil konsep bangunan lama bercirikan Moors dengan ukiran indah ciri Maghribi.

Masuk ke dalam hotel ini seolah membawa kita ke zaman 1920-an, iaitu semasa Maghribi di bawah penguasaan Perancis, hatta dalam setiap bilik gambar zaman tersebut menghiasi dinding bilik saya.

Kami turut bertemu dengan rombongan Speaker Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang, dalam lawatan rasminya ke sini yang sampai lebih awal dari kami. Mereka menginap di hotel sama. Pada malam kami sampai iaitu 9 Jun, kami menjadi tetamu Duta Malaysia di Morocco di kediamannya.

Pada majlis makan malam itu kami bertemu dengan beberapa Senator dari Dewan Negara dan sempat bertukar-tukar pandangan. Jarang sekali suasana ahli dari Dewan Rakyat dan Dewan Negara dapat duduk berbual sekali.

Walaupun Dewan Negara dewan lebih tinggi, namun di Malaysia, Dewan Rakyatlah banyak menentukan pelbagai perbahasan rang undang-undang sedangkan perbahasan Dewan Negara hanya meluluskannya pada peringkat akhir.

Kedudukan senator adalah melalui pelantikan sedangkan kami adalah melalui pilihan raya. Suasana di rumah kediaman duta pada malam itu sangat ceria dan kami menikmati hidangan rendang dan masakan Malaysia lain.

Selesai majlis kami diperkenalkan kepada tukang masak yang rupa-rupanya adalah pelajar di sini yang membantu isteri tuan duta kita di dapur.

Hajat lain

Selain daripada memenuhi urusan rasmi Parlimen Malaysia, saya ada satu hajat peribadi di sini. Hajat ini tidak termasuk dalam program tetapi ia bermakna kepada saya jika saya dapat langsaikannya.

Rugilah setelah merentasi benua ke sini saya tidak mengambil peluang keemasan ini.

Hajat saya ialah untuk bertemu dengan seseorang yang saya kenali melalui bahan bacaan saya dan minat saya kepada pendekatan pemikiran Islamnya yang luas lagi terkini, iaitu ulama tersohor Morocco, Syaikh Dr Ahmad Raysuni.

Saya mengenali namanya lewat sahabat saya Ustaz Wan Ji Wan Hussin, pengasas Sekolah Pemikiran Al Shatibi yang mempopularkan disiplin ilmu Islam yang luas iaitu ilmu dan pemikiran Maqasid Syariah.

Kebetulan semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur April lalu, saya sempat memborong beberapa buku Raysuni dan mendapati pemikirannya sangat menarik. Malah beliau mendapat jolokan "Shatibi Kecil" (Al Shatibi - ulamak Islam Granada meninggal 790H, terkenal dengan bukunya Al Muwafaqat), kerana ketajamannya dalam disiplin ilmu Maqasid Syariah.

Hajat saya kesampaian melalui seorang pelajar tahun akhir, Ustaz Izar yang saya temui semasa majlis makan malam di rumah duta. Bersama dengan anak murid Raysuni dari Indonesia iaitu Ustaz Nasrullah, calon PhD, beliau berjaya mendapatkan temujanji pada saat akhir.

Sememang rezeki saya kerana secara kebetulan Syaikh Raysuni berada di Rabat walaupun beliau kini mengajar di Qatar. Kalau sudah jodoh apa nak dikatakan lagi, semuanya dipermudahkan Allah SWT. Segala puji bagi Allah.

Pertemuan 2 jam

Ustaz Izar mengetuk pintu bilik hotel saya supaya saya bersiap segera kerana Syaikh Raysuni bersetuju bertemu kami pada pukul lapan malam. Kami menaiki teksi dari hotel dan hanya sampai pada pukul 8.20 di bangunan Harakah Islah dalam keadaan pintunya tertutup.

Saya sudah kecewa pada mulanya kerana kami sudah terlewat dan menyangka Syaikh Raysuni sudah meninggalkan pejabatnya kerana beliau sememangnya mempunyai jadual ketat.

Namun kami lega apabila pintu automatik dibuka dan seorang penyambut tetamu tersenyum menyatakan Syaikh sedang menunggu di atas. Kami disambut mesra oleh  tokoh ini dengan senyumannya dan dibawa ke bilik tetamu dihiasi cara ruang tamu Arab.

Ustaz Nasrullah memperkenalkan saya untuk memulakan perbualan dan saya terus mengambil alih memperkenalkan diri saya sebagai ahli parlimen yang hadir ke mesyuarat jawatankuasa eksekutif PUIC.

Penulis bersama Syaikh Dr Ahmad Raysuni. – Gambar ihsan Mujahid Yusof Rawa, 14 Jun, 2014.Penulis bersama Syaikh Dr Ahmad Raysuni. – Gambar ihsan Mujahid Yusof Rawa, 14 Jun, 2014.Saya mengambil kesempatan sesi "breaking ice" menceritakan sedikit sebanyak tentang PUIC dan hanya beberapa minit kemudian perbualan kami menjadi lebih selesa untuk masuk "gear" kepada persoalan lebih menarik.

Saya sempat bertanya kepadanya tentang buku karangannya di tangan saya tentang “Pemikiran Politik Islam” dan isu semsasa dalam bab Perlaksanaan Syariah. Beliau menjelaskan, sambil menunjukkan muka surat yang dimuatkan pendapatnya, bahawa syariah itu luas dan melibatkan pelbagai aspek kehidupan. Gayanya menjelaskan sesuatu begitu teliti seperti tulisannya dan penuh berkeyakinan menetapkan hujahnya.

Ada satu tajuk kecil dalam buku ini berbunyi “Syariah... Bila Hudud”. Saya memahaminya sebagai “syariah tanpa hudud, bagaimana ini boleh berlaku?”.

Beliau tersenyum sambil menunjukkan muka surat tajuk kecil itu dengan menjelaskan bukan maknanya “syariah tanpa hudud” akan tetapi “bila hudud” yang dimaksudkannya ialah “Syariah Tanpa Sempadan” dan menggunakan perkataan "hudud" secara literal, maknanya “tiada sempadan”, dan bukan bermaksud secara istilahnya iaitu hudud dalam kanun jenayah Islam.

Saya amat beruntung kerana tuan penulis sendiri menjelaskan maksudnya yang fahaman saya tersasar ketika membacanya.

Hudud hanya 1%

Ketika berkongsi pengalaman dalam isu hudud yang hangat diperkatakan, beliau cuba memahami realiti politik Malaysia menyatakan bahawa undang-undang jenayah Islam adalah sebahagian dari syariah, tetapi bukan segalanya boleh dikatakan syariah.

Sebenarnya beliau menulis panjang tajuk ini, bahawa syariah itu luas melibatkan semua aktiviti dan pergerakan hidup seorang Muslim daripada aspek ibadah sehinggalah kepada pemerintahan.

Syaikh Raysuni cuba keluar dari pentakrifan syariah secara istilah yang padanya tidak mewakili ruh dan semangat sebenar syariah dari maksud bahasanya, lalu menjawab persoalan hudud dan perlaksanaannya dengan menyatakan: “Hudud hanya 1 peratus, anda sepatutnya menumpukan 99 peratus bakinya untuk menzahirkan keluasan syariat.”

Bagi Syaikh Raysuni, istilah “syariat diabaikan” tidak pernah berlaku kerana sepanjang sejarah umat Islam, walaupun dalam keadaan lemah sekalipun, syariah dengan maknanya yang luas dari segi kehidupan, akhlak, ibadat, muamalah dan lain-lain masih beroperasi segar dalam kehidupan umat ini, cumanya undang jenayahnya sahaja belum, jadi bukanlah bermakna keseluruhan syariat itu diabaikan.

Beliau bersetuju tentang perlunya suasana kehidupan yang selesa diberikan kepada rakyat dan menyatakan itu juga adalah perlaksanaan syariah.

Kami juga berbincang tentang hukum murtad yang baginya mestilah memenuhi syarat “riddah” iaitu menentang kewujudan Islam, jikalau tidak ada syarat ini dan murtad berlaku atas kerelaan kerana meyakini agama lain dan ia dilakukan tanpa menimbulkan huru hara, maka hukuman bunuh tidak dikenakan.

Baginya hukuman bunuh murtad bukan sebahagian hudud tetapi hanya takzir sahaja. Walaupun seseorang murtad tanpa pengkhianatan kepada negara Islam dikenakan hukuman, tetapi bukan kepada tahap dihukum bunuh.

Beliau juga mempunyai pandangannya terhadap campurtangan pemerintah dalam menentukan akhlak berpakaian dan adab umum. Syaikh Raysuni berpendapat biarlah masyarakat menentukan piawaian Islam dengan mendidik dan membentuk adab Islam yang betul, jika seseorang menyalahi keadaan ini maka biarlah masyarakat yang membetulkannya dan bukannya melalui penguatkuasaan.

Baginya soal pakaian atau aurat sekali pun, jika seseorang menyalahinya, biarlah dia sendiri merasakannya melalui teguran berhikmah daripada suasana masyarakat yang hidup dengan adab dan sopan memelihara aurat.
Keterasingan seseorang dalam pakaiannya sendiri adalah bentuk menyedarkan seseorang yang dia sebenarnya telah menyalahi suasana dan adab masyarakat tersebut.

Pandangan Syaikh Raysuni mungkin pada sesetengah daripada kita akan melabelkannya sebagai "liberal" namun harus diingat bahawa beliau adalah merupakan Timbalan Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia dan pengarang pelbagai kitab pemikiran Islam terkini, malah pengasas moden kepada pemikiran Maqasidi yang sangat diperlukan hari ini untuk melawan pemikiran jumud, ekstrim dan liberal dalam simpang siur pemikiran ummah hari ini.

Saya berasa amat bertuah kerana pertemuan dua jam itu memberi ruang untuk saya bermutalaah pemikiran saya yang berusaha untuk membawa pemikiran politik Islam dalam waqie dan konteks Malaysia.

Pandangan saya terhadap isu politik dalam neraca Islam lewat penulisan saya dan buku-buku saya yang dianggap kontroversi kini terdedah kepada perbandingan piawaian Syaikh Raysuni dalam perbincangan dua jam ini.

Sekurang-kurangnya saya bersyukur, fahaman saya tidak lari dari skop pemikiran yang saya manfaatkan daripada Syaikh Raysuni, Shatibi Kecil zaman ini.

Selamat tinggal

Saya berjaya mendapat tandatangan beliau pada bukunya yang dibeli di Kuala Lumpur. Kami berpisah malam itu dengan harapan saya dapat membawanya ke Malaysia untuk dikongsikan ilmunya nanti.

Saya harus mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kecil Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN) sejurus sampai di Kuala Lumpur nanti, semuanya hanya boleh saya tumpu setelah dinukilkan sedikit coretan perjalanan ini.

Sudah tentu selain menjalankan tugas PUIC ini, pertemuan dengan tokoh ulama Morocco Syaikh Raysuni adalah amat bermakna bagi saya.

Selamat tinggal Casablanca. – 14 Jun, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments