Opinion

Perjalanan ke Turki (Bahagian 1)

Turki terkenal sebagai pusat pemerintahan Khalifah Islam yang terakhir. Kerajaan Khalifah Uthmaniyyah adalah kubu terakhir payungan kepimpinan umat Islam.

Tahun 1924 terpahat sebagai titik berakhirnya institusi Khalifah dan sekaligus menandakan hilangnya kuasa politik para khulafa yang selama ini berkuasa penuh atas urusan mengendalikan empayar Islam yang luas.

Turki juga terkenal sebagai negara pasca-Khalifah yang cuba membawa perubahan arus kemodenan yang kini diterajui oleh Eropah dan Barat.

Pasca-Khalifah menyaksikan Turki mencari identiti baru sama ada untuk meletakkan dirinya sebagai negara di benua Asia atau sebuah negara di benua Eropah.

Perjalanan mencari identiti ini sepanjang sejarah moden Turki menyebabkan Turki diberi jolokan “The Sickman of Europe” oleh Eropah.

Di dalam benua Asia yang majoritinya Islam, Turki cuba meraih gelaran negara Islam termoden dan untuk melaksanakan demikian ia menggelarkan dirinya sebagai “Penjaga Sekular Terunggul”.

Turki dan PUIC

Saya menghadiri beberapa konferensi Kesatuan Parlimen Negara Islam (PUIC) dan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif yang diadakan di Rabat, Magribi pada Ogos yang lalu, mesyuarat memutuskan untuk mengadakan Konferensi 2015 di Mali.

Mali mempelawa untuk menjadi tuan rumah dalam Konferensi Tehran 2014. Namun negara Afrika yang ditimpa Ebola itu terpaksa menarik diri kerana ia akan melibatkan masalah logistik kesihatan untuk sebuah persidangan besar yang melibatkan perwakilan dari puluhan negara Islam.

Setiausaha Agung PUIC yang datang dari Turki menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah ganti sekaligus bertempat di bandaraya bersejarah Istanbul.

Saya tidak terbayang untuk ke Turki bagi tujuan gerak kerja sebagai ahli PUIC yang Malaysia agak aktif di dalamnya.

Sebagai seorang ahli jawatankuasa eksekutif dan peserta yang senior saya tidak dapat mengelak melainkan terpaksa memenuhi setiap jemputan bagi mewakili Malaysia bersama dengan sahabat saya Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin.

Turki yang saya kenali

Ini bukanlah kali pertama saya ke Turki, saya pernah ke sana pada tahun 1975 semasa umur saya 11 tahun.

Saya tak mungkin lupa lawatan tersebut kerana ia adalah lawatan rasmi buat pertama kalinya dilakukan oleh pembesar negara Malaysia iaitu Perdana Menteri Tun Hussein Onn.

Ayah saya Pak Yusof Rawa pada waktu itu adalah Duta Malaysia di Iran dan pada masa yang sama juga ditauliahkan untuk negara Turki dan Afghanistan.

Oleh kerana tidak ada perwakilan negara di Turki, tugas Duta Malaysia di Iran adalah untuk memantau hubungan dan kepentingan Malaysia di sana. Kedatangan Hussein Onn waktu itu membuka lembaran hubungan dari sudut budaya, pendidikan dan juga ekonomi.

Sebagai seorang anak yang baru mencecah belasan tahun, saya turut berbangga apabila bendera Malaysia dikibarkan dan ayah saya menjadi orang paling penting untuk memastikan delegasi perdana menteri waktu itu tercapai matlamat daripada kunjungan rasmi yang dibuat.

Saya ikut turut serta dalam rombongan ayah dari Tehran dan oleh kerana tidak ada pejabat di sana, saya masih ingat bilik hotel suite ayah dijadikan sebagai pejabat sementara untuk membuat persediaan menyambut perdana menteri kita pada waktu itu.

Turki di mata saya

Saya tidak banyak mengetahui tentang Turki tetapi sebagai anak kecil ketika itu saya sudah mengerti erti kekaguman terhadap keindahan bangunan masjid dan istananya.

Turki di mata saya waktu itu memenuhi ciri sebuah alam fantasi saya tentang kemegahan istana dan masjid-masjidnya serta kehebatan raja-raja yang berkuasa.

Saya masih ingat lagi Bazar Besar yang penuh dengan barangan antik dan buah tangan yang unik melambangkan ciri tradisional Islam. Itu semua dulu dari kacamata kanak-kanak hingusan yang lebih berminat pada keseronokan dan bermain.

Kini pandangan saya terhadap Turki dibentuk dari bacaan saya kepada kebangkitan Turki pasca-Ataturk dan bagaimana Turki muncul dalam gelombang reformasi identitinya sekali lagi.

Turki terkenal dengan pandangan sekularnya yang totok hasil daripada tanggapan dan rumusan Mustafa Kemal Ataturk yang menganggap agama penghalang kemajuan.

Ataturk mengalami zaman kemunduran kerajaan Khalifah yang ketinggalan dari sudut teknologi perang berbanding dengan kuasa Eropah di kelilingnya yang mulai bangkit.

Jikalau dulu Eropah banyak mempelajari dari Turki-Islam, kini keengganan kerajaan Khalifah untuk mengambil teknologi Eropah dikatakan faktor yang menyebabkan Atartuk memberontak.

Pemberontakan pegawai muda tentera Khalifah melahirkan Young Turks dipimpin oleh Mustafa Kemal yang kemudian menggelarkan dirinya Atarturk atau Bapa Pemodenan Turki. Ia hakikatnya adalah pertembungan pemikiran ortodoksi dan arus pembaharuan teknologi yang mendesak ketika itu.

Membaca sekularisme Turki

Turki menganut sekularisme totok untuk memacu pembaharuan yang diperjuangkan. Kadar tindak balas realiti baru yang ditunjukkan oleh kerajaan Khalifah waktu itu tidak memberangsangkan malah zaman kemalapan Khalifah dikaitkan dengan kemunduran.

Lebih buruk representasi kemunduran seolah diwakili Islam dan suasana rumit yang dilalui semasa detik kejatuhan Khalifah menjadikan ide perlu bebas dari cengkaman agama untuk maju mudah ditelan ramai.

Mustafa Kemal sebagai peneraju pembaharuan tidak sukar untuk mendapat sokongan apatah lagi segala aparatus institusi Khalifah dijangkiti wabak kelemahan, ortodoksi dan keegoan. Ini tidak termasuk keadaan ekonomi yang merudum di celah kemewahan segelintir pembesar-pembesar dan golongan elit Khalifah.

Mustafa Kemal menjadikan sekularisme sebagai ‘agama negara’ menggantikan Islam.

Ini bermakna semua lambang dan amalan yang terkait dengan agama dihapuskan, mungkin juga Mustafa Kemal berbuat demikian untuk mendiamkan suara sentimental untuk mengembalikan kerajaan Khalifah yang tertegak atas kekuatan Islam.

Tetapi apa pun kesan pembaharuan Mustafa Kemal melahirkan fahaman ideologi negara Turki yang dikenali sebagai Kemalisme. Turki adalah sebuah negara umat Islam totok sekular dan itulah terpahat dalam persepsi saya selain gelombang pembaharuan pasca-Kemalisme yang mula terbentuk dalam suasana yang amat sukar dan rumit gara-gara cengkaman elit tentera yang menjadi hulubalang Sekularisme-Kemalisme.

Necmettin Erbakan

Kebangkitan gerakan Islam moden sering dikaitkan dengan gelombang Turki. Sebagai negara yang berbangga dengan kerajaan Khalifah, sentimen Islam tidak mungkin dipisahkan dari masyarakat Turki.

Di sebalik tekanan sekularisme totok, desakan dan mobilisasi umat untuk kembali kepada penghayatan Islam semakin ketara di awal 80-an.

Turki seolah mahu kembali pada jatidiri Islamnya kerana Kemalisme kini dipersoalkan dalam bentuk sokongan rakyat kepada parti yang tertonjol keislamannya.

Parti Refah pimpinan Necmettin Erbakan akhirnya menang majoriti dalam pilihanraya tahun 1996 dan perlantikan Erbakan sebagai Perdana Menteri pertama dari parti Islam dalam sejarah moden Turki membuka mata para elit tentera.

Namun Erbakan tidak lama di tampuk kekuasaan sehinggalah dipenjarakan dan diharamkan untuk berpolitik beberapa tahun kerana didakwa melanggar Kemalisme yang mengharamkan unsur agama dalam berpolitik.

Recep Tayyib Erdogan

Dalam suasana Turki yang totok sekularnya maka tidak hairan pandangan untuk membawa politik Islam akan terdedah kepada kerencaman ide dan ijtihad politik. Erbakan dan partinya parti Refah/Fazilet mula dicabar pandangannya dalam membawa cita-cita politik Islam.

Sekelompok anak didik Erbakan yang diketuai oleh Recep Tayyib Erdogan melihat cara politik Refah/Fazilet perlu diberi nafas dan pendekatan baru. Islam perlu memberi tumpuan kepada kerajaan yang bersih, khidmat yang terbaik dan ekonomi yang mantap.

Ini bukan bermakna Erbakan tidak ada agenda tersebut tetapi sikap dan langkah Erbakan pada pandangan Erdogan masih ‘lambat’ dalam usahanya ke pesada kuasa.

Erdogan dan rakan-rakannya terpaksa membuat pilihan sukar untuk berpisah dengan gurunya Erbakan apabila menubuhkan parti baru untuk meneruskan usaha gelombang reformasi pasca-Kemalisme.

Maka lahirlah Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) sehingga mereka berjaya menguasai kerajaan Turki hari ini.

Teruja

Saya banyak mengikuti pengalaman politik Islam di Turki dan dinamika ijtihadatnya dalam suasana sekular totok yang menguasainya. Malah dalam PAS kelompok yang mahukan perubahan seperti saya dan beberapa rakan lain dilabel sebagai kelompok Erdogan.

Adakah Erdogan kerana ijtihad politik menentang arus tradisi atau Erdogan kerana ide politik baru dalam kerangka negara sekular di mana banyak konsesi terpaksa dibuat tanpa perlu hilang prinsip?

Jawapannya mungkin panjang dan pelbagai.

Namun sebagai kelompok yang dilabel sebagai Erdogan dalam PAS sudah pastinya saya teruja untuk ke negara yang Erdogan adalah Presiden dan partinya adalah parti pemerintah.

PUIC menemukan hasrat saya dan semoga dapat saya mengutip pengalaman untuk meneruskan cita-cita perubahan yang kini diperjuangkan.

Istanbul aku datang. – 21 Januari, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments