Opinion

Proses ke arah politik baharu perlu diteruskan

Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, Pakatan Rakyat (PR_ adalah mekanisma perubahan politik terbaik yang pernah dipersembahkan kepada rakyat Malaysia. Sistem parti politik di Malaysia adalah berasaskan ideologi dan ini adalah merupakan ciri utama kebanyakan parti politik di negara sedang membangun.

Berbanding dengan negara Barat dan membangun parti politik lebih berorientasikan ideologi pragmatik walaupun mereka mengekalkan asas utama yang membezakan antara mereka, adapun daripada segi dasar kerajaan, parti politik di negara membangun lebih cenderung kepada sokongan merentasi ideologi politik.

Sebab itu dalam mengamalkan kuasa pemerintahan, negara membangun tidak banyak berdepan dengan usaha menjatuhkan kerajaan yang berkuasa.

Iklim politik kepartian

Apa yang berlaku dalam iklim parti politik Malaysia mengisyaratkan persaingan ideologi yang terdedah kepada obsesi berpolitik negatif walaupun atas kos pudarnya kepercayaan rakyat ke atas mereka asalkan mereka dapat mempertahankan 'ideologi' mereka. Obsesi kepada berpolitik terbawa hingga kepada daerah kuasa memerintah sehingga advokasi dasar yang progresif dan membina kuasa yang diamanahkan pengundi terpaksa diabaikan.

Suasana ini jika berlarutan tidak banyak menguntungkan konsep kerajaan yang berkuasa (government in power) kerana ketua kerajaan daripada parti memerintah dan pasukannya sentiasa dibimbangi oleh usaha politiking untuk menggagalkan dasar diperkenalkan. Perbahasan kepentingan kepartian lebih banyak dari perbahasan dasar dan usaha memperbaikinya untuk kepentingan rakyat.

Sentimen perkauman

Sentimen perkauman turut memainkan peranan menyemarakkan politiking bagi menggagalkan parti yang memerintah. Ahli politik Malaysia terkenal dengan menggunakan kad beracun perkauman apabila segala usaha secara budiman berdepan dengan kegagalan. Isu polarisasi kaum sentiasa didendangkan sehingga wujudnya persekitaran permusuhan dan ugutan. Parti politik terdedah kepada pelabelan perkauman sehingga prejudis menguasai keadaan.

Permainan perkauman ini membawa kepada 'zero-sum game' kerana penguasaan yang lebih akan mengurangkan pesaing masing-masing kadang kala atas risiko menggagalkan kerajaan yang berkuasa.

Bahayanya kad perkauman ialah rakyat diheret kepada perbahasan tidak produktif kerana cuba mempertahankan diri daripada dilabel perkauman daripada berusaha untuk membenteras perkauman yang menjadi barah dalam politik negara hari ini. Ia lebih malang apabila karat perkauman masih ada dalam budaya berkolusi.

Politik kolusi

Politik Malaysia tidak dapat lari daripada pendekatan kolusi yang menghimpunkan pelbagai parti politik atas satu platfom untuk bersaing. Sejak Perikatan/Barisan Nasional terbentuk wajah kolusi merupakan ciri utama mengukuhkan politk pelbagai kaum di Malaysia. Bagi pembangkang pula pendekatan Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Barisan Alternatif (BA) dan akhirnya PR merupakan pesaing terkuat politik kolusi untuk merintis jalan ke persada kuasa.

Politik kolusi ada risikonya dari sudut keberkesanan permuafakatan antara parti-parti. Selain daripada terpaksa mempelajari erti perkongsian mereka juga terpaksa berhadapan isu ideologi yang lazimnya soal keaslian dan keutuhan prinsip dipersoalkan ahli sendiri.

Adalah agak sukar untuk bersetuju atas satu matlamat politik tertentu tanpa terpaksa berkompromi isu yang mungkin dianggap fundamental. Di sinilah kolusi parti berideologi akan menghadapi suasana kerapuhan dan sedikit sahaja kocakan akan mengakibatkan kolusi akan terancam.

Konflik intra-parti

Amalan politik kolusi juga mencabar daerah interaksi intra-parti dari sudut sejauh manakah rakan kolusi boleh campur tangan atas alasan ia membahayakan matlamat kolusi. Ia juga menuntut mekanisma berkesan bagaimana sesuatu masalah itu dibincangkan sesama kepimpinan parti berkolusi dan ini memerlukan persefahaman yang baik dan interaksi  positif.

Perundingan dalam semangat kolusi diperlukan dalam semua alat dan wasilah pemerintahan seperti pembahagian jawatan di peringkat negeri, kerajaan tempatan dan akar umbi sebagaimana mereka terpaksa menguruskan ketidakpuasan hati semasa proses pengagihan kuasa berlaku. Semua ini mencabar kewibawaan mengurus dan bukan sekadar berbekalkan semangat kolusi semata-mata. Masalah kecil boleh membawa kepada permasalahan yang lebih besar dan keadaan ini boleh membawa kepada krisis ketidakpercayaan antara parti berkolusi.

Kejujuran dalam berkolusi menuntut perjanjian disepakati dan dipenuhi secara bersama. Perjanjian perlu ditunaikan dan mesti dipertahankan bersama.

Sebarang unsur tikam dari belakang mesti dijauhi samada melalui kenyataan ataupun tindakan. Seburuk kolusi adalah apabila masing-masing ada agenda tersirat dan hanya mementingkan kedudukannya.

Mengambil kesempatan terhadap kelemahan rakan kolusi adalah seburuk teman untuk bersepakat apatah lagi membina ketidakpercayaan terhadap rakan kolusi.

Model PR

PR sebenarnya adalah hasil perkembangan kesedaran politik untuk menyahut atau menyambut ketibaan politik baru di Malaysia. Ia hasil daripada momentum kesedaran kepada perlunya ruang demokrasi yang lebih luas dan tuntutan amalan kerajaan yang telus dan bebas rasuah. Saya maksudkan momentum kerana perjuangan ke arah itu dimulakan sebelum ini cuma ia tidak menjadi satu gerakan rakyat yang diterjemahkan dalam peti undi.

Oleh kerana desakan terlalu besar kepada perlunya satu mekanisma perubahan yang cuba diwakili PR maka fasa pembentukan struktural PR ianya datang kemudian.

Oleh kerana semua parti PR tersentak dengan kedatangan politik baru ini mereka lebih sibuk menguruskan tapak sokongan daripada menguruskan organisasi PR itu sendiri. Hasilnya ialah kedudukan PR dari sudut kebersamaan dan penghayatan parti berkolusi tidak bersepadu. Walaupun demikian pencapaian PR secara berorganisasi berjaya melahirkan sesuatu yang struktural seperti Resolusi Shah Alam 2009 bersetuju atas Kesepakatan Bersama (Common Policy), Resolusi Kepala Batas 2010 menghasilkan Buku Jingga dan Resolusi Alor Setar 2011 melahirkan Manifesto PR.

Kewujudan Majlis Presiden dan Sekretariat PR walaupun agak rapuh tetapi ia adalah usaha mengimbangi sambutan massa dan pengurusan dalaman kolusi. Di peringkat negeri dan akar umbi nasib organisasi PR tidaklah sebaik di peringkat pusat malah lebih buruk tahap keserasian kerjanya. Keadaan bertambah buruk dalam keputusan pembahagian kerusi di mana beberapa kerusi menyaksikan pertindihan dan seterusnya bertembung sesama rakan kolusi. Kesan kegagalan mendapat kata sepakat dasar satu lawan satu melantunkan kesan kepada persepsi rakyat PR gagal menguruskan pertindihan sesama mereka.

Walaupun dalam keadaan serba kekurangan organisasi PR, mereka masih mampu menafikan 2/3 hegemoni BN selama ini dengan mendapat 85 kerusi daripada 222 jumlah kerusi Parlimen. Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan jatuh ke bawah penguasaan PR di sebalik kekurangan aspek pengorganisasian PR.

Idealisma PR

PR adalah satu wasilah yang muncul tepat pada masanya apabila hegemoni BN dilihat mengheret negara ini ke kancah politik rasuah dan pentadbiran yang pincang. Rakyat mahukan perubahan khususnya bukan Melayu yang pada waktu yang sama gerun dengan sikap Umno yang menuai budaya rasis.

DAP merasakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penghubung yang baik di mana PAS boleh bersama dan PAS menerima untuk bergabung atas alasan memerangi rasuah. Walau apapun yang diperkatakan tentang PR dan gabungannya tidak siapa dapat menafikan ia ada idealismanya tersendiri untuk melihat Malaysia bersih daripada rasuah.

Selain itu idealisma PR turut berligar sekitar proses demokrasi pilihan raya yang bersih di mana rakyat negara ini mendapat satu peluang terbaik untuk melihat reformasi pilihan raya dan institusinya berjalan. Walaupun tanggapan buruk dipaparkan oleh media Umno/BN namun hakikatnya idealisma ke arah pilihan raya yang bersih berjaya menjadi gerakan massa yang berpengaruh.

Desakan ruang pendemokrasian yang lain seperti media, hak berhimpun dan bersuara mendaki ke tahap baru di mana ia mencabar status quo yang ada melalui kes di mahkamah tentang kebebasan berhimpun dan bersuara.

Parlimen tidak lagi menjadi tempat memanaskan kerusi tetapi rakyat menyaksikan idealisma ahli Parlimen PR bercakap tentang ketelusan, tanggungjawab dan integriti sang penguasa. Rakyat diberi peluang melihat model Selangor dan Pulau Pinang serta Kelantan tentang pemerintahan yang ideal walaupun sentiasa dimomok lawannya.

Perjuangan menentang perkauman sempit juga dilaungkan idealisma pemimpi. PR dengan menyatakan buat pertama kalinya perjuangan menentang kefasadan politik merentasi semua kaum kerana rakyat mesti bersatu bukan atas bangsa tetapi atas memelihara kedaulatan dan kemuliaan negara daripada perasuah negara tidak kira siapa mereka.

Idealisma cukup baik untuk masa depan negara kerana perkauman mula disanggah lewat pejuangan anti-korupsi. Idealisma menentang perkauman sempit berjaya diterjemahkan apabila calon PR mendapat sokongan merentasi kaum kerana membuka ruang kepada orientasi mengundi atas manifesto dan bukan sentimen perkauman.

Buat pertama kalinya dalam sejarah politik isu perkauman dan laungan kebencian agama ditolak sebahagian besar rakyat ini kerana kajian menunjukkan walaupun isu perkauman dan agama dimainkan Umno/BN dan medianya, PR tetap mendapat undi terbaik daripada orang Melayu dan ini mengisyaratkan orang Melayu bersedia untuk masuk ke pakej baharu politik Malaysia yang menolak nuansa rasis dan kebencian agama.

Idealisma anti perkauman tidak pernah diterjemahkan sebegitu kuat melainkan dengan keberadaan PR di persada politik. PR seolah menjadi pengharapan kepada kemunculan politik Malaysia yang menolak sikap rasis dan kebencian agama.

Kekurangan di mana-mana

Tidak dapat dinafikan wasilah yang baik tidak semestinya diisi oleh orang yang baik, buah busuk ada di mana-mana. Tindakan sesetengah warga PR yang mungkin menjadikan PR sebagai alat kepentingan diri tidak semestinya menggambarkan idealisma yang diperjuangkan. Krisis politik juga adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan berlaku dan dalam proses itu, idealisma PR tidak akan sunyi daripada dicabar dan dipertikaikan.

Parti-parti politik yang berkolusi juga tidak kurang masalah inter-partinya kerana akan ada pihak yang skeptikal dan optimis kepada kejayaan kolusi.

Ahli parti terbelah antara memelihara keberlangsungan pakatan dengan memperkukuhkan parti kerana salah satu masalah dalam parti yang berasaskan ideologi akan merasakan pendekatan kolusi akan menghakiskan keaslian ideologinya kerana terpaksa berkompromi dalam pelbagai perkara.

Keretakan dalam parti khususnya kepada PAS banyak memberi kesan kepada keutuhan PR. PKR pula terlalu banyak bergantung kepada keperibadian Anwar dan sebagai parti baharu yang cuba hidup dalam idealisma keterbukaan pemilihan parti banyak memberi kesan kepada masalah dalaman PKR yang turut menjejaskan keutuhan PR.

DAP masih belum dapat menerobos tembok pengundi Melayu dan sikap sebahagian pemimpinnya yang dilihat tidak sensitif kepada isu Islam dan Melayu turut memberikan impak kepada keutuhan PR.

Namun isu ini cuba dipulihkan oleh pimpinan dari masa ke semasa dengan pelbagai kekurangan yang tidak dapat dielakkan. Janganlah hendaknya yang kurang itu dianggap sebagai penghalang idealisma PR sepatutunya ia perlu dilihat sebagai keutamaan yang perlu diperbaiki.

Apakah ada pilihan?

Pilihan untuk melihat masa depan PR ditentukan kemunculan politik baharu yang kian mendesak sama ada PR wujud atau tidak. Segala yang dicapai PR tidak mungkin dikompromikan untuk kita kembali ke belakang hanya kerana krisis di Selangor. Ini adalah kerana keluk baharu politik tanah air sedang kuat menonjolkan dirinya, antara lain yang membentuk keluk baru ini ialah:

1. Politik rentas kaum yang mahu menegaskan sikap anti perkauman dengan suara yang lantang serta menentang sebarang bentuk ekstrimisme politik mahupun agama.

2. Kemunculan orientasi sokongan berdasarkan tawaran untuk kepentingan ramai dan bukan politik sentimen dan emosi.

3. Keperibadian ahli politik yang ada integriti dan mempunyai peribadi seorang negarawan.

4. Memberi makna baru kepada asas negara ini melalui pengukuhan semula semangat Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

5. Perpaduan yang membenarkan perbezaan pendapat secara konstruktif dan suasana politik mengizinkan kepelbagaian parti politik dalam kerangka demokrasi, media bebas dan bertanggungjawab serta pilihan raya yang bersih.

Jawapan kepada masa depan PR terletak kepada keupayaannya memandu kemunculan keluk baru ini dalam arena politik Malaysia. Setakat ini sikap politik PR dan idealismanya  memulakan langkahnya sejak 2008. 

Berbanding dengan segala kelemahan yang ada pada PR dan tidak terkecuali isu krisis Selangor yang terkini, langkah PR ke arah pembaharuan dan perubahan politik tidak boleh terhenti di sini dan dicicirkan, dan proses perubahan politik mesti diteruskan.

Ya, ada kelemahan dan ada krisis di Selangor tetapi kekuatan untuk menyambut politik baharu lebih diperlukan dan untuk itu PKR, PAS dan DAP harus rasional sejenak dan bertanya pada diri masing-masing,

"Perlukah kita gadaikan semua ini hanya kerana sedikit kocakan di Selangor?" Amat sukar untuk membentuk pakatan rakyat yang lain kerana inilah satu-satunya Pakatan Rakyat yang kita ada. Pakatan harapan rakyat. – 12 Ogos, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments