13 FEB — Soalan ini hampir menjadi soalan bonus di mana sahaja saya pergi. Bangun pagi berjogging di Dataran Sungai Kerian pasti akan ada pengunjung yang bertanya, pergi ke Pasar Pekan Parit Buntar penjual sayur dan ikan bertanya, di Pejabat Pusat Khidmat pelanggan yang datang akan bertanya dulu soalan ini sebelum mengadu masalah hinggalah di ruang solat surau di taman rumah saya, ahli jamaah pasti akan bertanya bilakah tarikh PRU? Saya dah bersedia dengan bekalan jawapan yang standard setiap kali diajukan soalan ini, antaranya: “nak dekat dah ni..." atau saya tanya balik: “yang dengarnya bila?” Saya sendiri susah untuk nak buat jawapan yang analatikal kerana saya tahu soalan mereka itu lebih kepada nak memberitahu bahawa tarikh PRU yang dikatakan hampir kini menjadi cakap orang ramai, bukan sangat mereka mahukan jawapan yang tepat.
Saya tidak menyalahi mereka yang bertanya-tanya tentang tarikh PRU ke 13 kerana politik di Malaysia sememangnya begitu sejak kita mengenali proses pilihanraya di sini. Walaupun PRU di Malaysia 5 tahun sekali namun secara praktiknya ia tidak semestinya berlaku demikian kerana genap tiga tahun sesuatu penggal sudah layak PRU seterusnya diadakan, jadi genap 3 tahun hingga 5 tahun, rakyat Malaysia pasti akan bercakap tentang tarikh PRU yang penuh dengan misteri itu. Sehubungan dengan tarikh PRU ini teringat saya semasa di Palembang baru-baru ini, saya bertemu dengan salah seorang ahli Parlimen dari Republik Chad (salah satu negara di benua Afrika) yang begitu mengkagumi Malaysia dan kemajuannya. Saya sudah tentu berbangga sebagai perwakilan Parlimen Malaysia dalam sidang Kesatuan Parlimen Negara OIC. Lalu dia bertanya tentang proses PRU dan tarikh pilihanraya. Saya secara jujur mengatakan tarikh tidk dimaklumkan awal, ia hanya ada dalam benak PM yang memerintah hari itu, lalu rakan Ahli Parlimen saya ini menjadi terkejut kerana menyangka Malaysia juga turut maju dalam konteks tarikh pilihanraya dimaklumkan lebih awal seperti negara maju yang lain. Paling memalukan saya ialah apabila dia menyatakan mereka di Republik Chad mengamalkan makluman awal tarikh PRU akan datang sejurus bermulanya penggal baru Parlimen!
Kita perlu meningkat seiring dengan kemajuan yang dikecapi khusus dalam proses mempertingkatkan ruang demokrasi dan ketelusan, antaranya ialah pengumuman awal tarikh PRU supaya tidak berlaku permainan yang berat sebelah dalam persediaan PRU. Masalah yang timbul tanpa pemakluman awal tarikh PRU hanya akan menyibukkan rakyat dengan tekaan-tekaan yang membuang masa, manakala parti-parti politik dibiarkan dalam keadaan kebingungan sibuk meneka tarikh lalu membuatkan mereka terabai dalam tugas yang lebih besar. Wakil Rakyat pula sibuk menjawab teka-teki ini dan kurang membuat kerja! Ya saya bersetuju ia bukan alasan tetapi apalah sukarnya kita menetapkan tarikh PRU lebih awal untuk pengetahuan umum.
Pada awal Malaysia menikmati demokrasi berpilihanraya, tarikh pilihanraya memang berlaku 5 tahun sekali bermula 1959,1964,1969,1974. Kemudian trend seterusnya tidak menepati genap 5 tahun iaitu ia berlaku pada tahun 1978 (4 tahun), 1982 (4 tahun), 1986 (4 tahun), 1990 (4 tahun), 1995 kembali 5 tahun dan kemudian yang paling minimun ialah 1999 (3 tahun) dan kemudian kembali 5 tahun 2004, manakala PRU ke 12 kembali 4 tahun. Ada analisa di sebalik trend PRU dibuat tidak konsisten sejak 1974. Oleh kerana tidak ada ketetapan tarikh pengumuman lebih awal, pihak parti pemerintah sentiasa mendapat kelebihan dalam memperkukohkan kedudukannya untuk memulakan persaingan, selalunya tempoh matang yang lengkap membayangkan parti pemerintah berada dalam keadaan selesa manakala minimum 3 tahun atau 4 tahun membayangkan parti memerintah memerlukan ia terus berkuasa dalam keadaan krisis yang menggugat kedudukannya. Ambil contoh 1978 hingga 1990, parti pemerintah berhadapan dengan berbagai masalah dalaman dari komponennya sendiri mahupun Umno yang bergolak. Bagi mengekalkan kuasa parti pemerintah mengadakan lebih awal untuk mengawal keadaan manakala 1999-2004 menyaksikan kestabilan dengan kepimpinan baru Pak Lah yang kemudiannya tergugat sehingga dibuat PRU pada 2008. Apakah trend 4 tahun akan berlaku pada PRU ke 13 nanti?
Satu lagi faktor yang mempengaruhi ketentuan tarikh PRU ialah keadaan ekonomi yang dilihat sebagai indikator penting bagi BN kerana ia akan memberi kesan kepada kehidupan orang ramai yang akan mengaitkan kegagalan parti pemerintah mengurus negara. Dalam hal ini rakyat akan diberikan gambaran seolah-olah keadaan ekonomi negara terkawal dengan baik walaupun keadaannya membuktikan sebaliknya, ini yang selalu disebut sebagai “the feel-good factor”.
Walaupun tidak semua faktor dapat dikawal, namun BN mempunyai “tilam empuk” untuk menerima suasana-suasana yang tidak berpihak kepadanya, antaranya ialah manipulasi media, manipulasi bajet dan manipulasi alat demokrasi berpilihanraya sendiri iaitu SPR. Media senantiasa mengongkong pemikiran rakyat untuk berfikir satu hala manakala bajet pula adalah peluang menggula-gulakan rakyat dan aktiviti SPR seperti persempadanan semula adalah peluang untuk BN terus berkuasa. Namun tilam empuk ini tidak lagi semudah yang dijangka kerana media alternatif dari media sosial kini bercambah, rakyat lebih bijak dan desakan masyarakat sivil beserta parti politik yang prihatin mendesak proses demokrasi berpilihanraya dipantau, diolah dan dibaikpulih. Segala perkembangan ini menjadikan keberlangsungan BN dalam pesada politik tanahair menjadi semakin sukar. Ia juga petunjuk kepada lahirnya lanskap baru dengan pemain baru yang diharapkan menjadi pemangkin ke arah transformasi negara yang lebih tulen.
Semua penjelasan di atas masih belum memberi kita isyarat bilakah tarikh pilihanraya, kerana sebagaimana yang dikatakan lebih awal, jawapan tepatnya ada dalam benak PM sahaja, sehingga cara penetapan tarikh PRU dirombak dalam bentuknya yang telus, teka-teki PRU akan senantiasa menjadi bahan perbualan di kalangan rakyat.
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments