Opinion

Rahmat yang hilang

Kerahmatan adalah perkataan yang indah namun sukar dinikmati dan kerana hakikat ini, mengecapi kerahmatan menjadi kemuncak perasaan belas dan ihsan kepada ciptaan Allah. Tidak mungkin kerahmatan ini dihargai jika tidak terasas dalam diri kita sebagai seorang muslim sifat insaniah yang dianjurkan oleh Islam.

Mukadimah di atas membuka ruang untuk saya menyinggung perkembangan terkini rampasan beberapa ratus naskhah Injil dari premis Persatuan Injil Selangor oleh unit penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Membetuli salah tanggap

Adalah jelas di sini pertikaian betul atau tidak tindakan Jais boleh dibahaskan daripada sudut perundangan dan kebijaksanaan bertindak dan inilah yang berlaku kepada setiap penguatkuasaan dilaksanakan.

Saya tidak berminat untuk membahas aspek itu kerana Jais pasti akan mempertahankan tindakannya dan terserah kepada pengamal undang-undang untuk membuat penilaiannya. Saya lebih cenderung untuk melihat dalam artikel ini daripada sisi prinsip yang memantulkan sifat rahmatan Islam yang mencakupi keseluruhan alam ini termasuk kepada penganut agama lain.

Apa yang saya nyatakan sebelum ini dalam kenyataan saya selepas peristiwa rampasan kitab Injil itu berpandukan prinsip Islam dalam konteks hubungannya dengan penganut agama lain supaya kejelasan kita kepada isu tidak diheret dengan sentimen dan emosi buta yang boleh mencemarkan nama baik Islam.

Saya bimbang dengan sesetengah pihak memandang serong kepada saya sehingga mereka tidak dapat membezakan apa yang saya katakan daripada kerangka prinsip dan kemarahan mereka yang tidak berasas. Kita dididik untuk berpegang kepada prinsip, walaupun dalam keadaan marah, kita memerlukan prinsip untuk memandu kita dan Islam sarat dengan prinsip khususnya dalam memahami hubungan Islam dengan agama lain.

Semoga prinsip yang saya jelaskan di bawah difahami oleh mereka yang kenyataan dan tindak tanduk mereka mencemarkan nama baik Islam.

Prinsip pertama: Rahmatan lil alamin

Prinsip Rahmatan diambil daripada kenyataan Al-Quran yang mengasaskan و ما ارسلناك الا رحمة للعالمين iaitu “Tidak kami utuskan dikau wahai Muhammad melainkan untuk membawa rahmat ke alam ini' (al-Anbiya'107). Sebarang tindakan atau undang-undang mesti tidak bercanggah dengan sifat Rahmatan yang diasaskan oleh Islam.

Demikianlah kita menentang ISA dan akta lain yang tidak bersandarkan prinsip utama syariat. Bagi sesebuah otoriti yang bertindak atas nama Islam, prinsip ini lebih-lebih lagi hendaklah diutamakan kerana walaupun bertindak atas nama Islam tetapi apabila tidak memantulkan makna Rahmatan maka ia bukanlah daripada Islam.

Makna Rahmatan bagi hubungan sesama manusia membawa maksud berlembut dan bersantun dalam memelihara hak Allah kepada manusia walaupun manusia tidak dapat menerimanya. Hak Allah ke atas hambanya tanpa mengira keturunan dan agama ialah menghormati kebebasan mengamalkan agama masing-masing termasuk upacara dan kitab sucinya. Islam hanya menentang dan tidak dapat menerima aspek teologinya (akidah) dan caranya ialah dengan menjelaskan kepada mereka melalui dakwah dan berdebat dengan cara terbaik.

Allah berfirman dalam an-Nahl ayat 33: ومن احسن قولا ممن دعا الى الله و قال انني من المسلمين. “Dan apakah yang lebih baik dari seseorang yang menyeru kepada jalan Allah dan mengatakan bahawa aku adalah dari kalangan muslimin”.

Para musfassir berpendapat bahawa kerana ayat ini turun di Mekah maka ia adalah ayat tentang tugas Nabi Muhammad yang besar dalam menerangkan kebenaran tauhid melalui hujah dan keterangan daripada Allah. Kecuali Aisyah menyatakan ayat ini ialah pujian kepada para muazin yang menyeru untuk mendirikan solat (sedangkan azan hanya disyariatkan selepas hijrah).

Kerahmatan Islam juga terserlah dalam menegakkan keadilan tanpa mengira bulu atau agama dan salah satu keadilan yang dibela oleh Islam ialah hak untuk beragama malah segala keperluan ibadat mereka adalah hak yang tidak boleh dirampas dan hendaklah diperuntukkan kepada mereka.

Prinsip kedua: Melarang kutuk agama lain

Nabi menunjukkan contoh kepada kita bahawa seorang muslim hanya bertanggungjawab menyampaikan kebenaran tetapi tidak boleh mengecam tuhan-tuhan golongan yang tidak beriman kerana balas membalas kecaman hanya akan mengheret pihak lain akan memaki hamun Allah pula sebagai tindak balas.

Allah berfirman dalam al-An'am ayat 108: ولا تسبوا الذين يدعون من دون الله فيسبوا الله عدوا بغير علم كذلك زينا لكل أمة عملهم ثم إلى ربهم مرجعهم فينبئهم بما كانوا يعملون

“Jangan kamu memaki hamun tuhan mereka yang menyeru selain daripada Allah, kelak mereka akan balas memaki Allah dengan permusuhan dan mereka tidak ada pengetahuan tentangNya (Allah), Demikianlah dihiaskan pada setiap umat (yang menganuti sesuatu agama,mereka amat menyukainya dan akan mempertahankan apa yang mereka ada) perbuatan mereka, dan kemudian kepadaTuhan mereka akan dikembalikan dan diberitakan kepada mereka (apa kesesatan yang mereka lakukan, dan kebenaran yang dibawa oleh Muhamad),”

Ayat sebelum 108, iaitu 107, dengan tegas menyebut bahawa Muhammad bukan penjamin dan boleh memaksa mereka untuk beriman kerana hakikatnya Allah menyatakan bahawa Dia berkuasa untuk menjadikan mereka beriman tetapi Allah tidak berbuat demikian. Nabi dan orang Islam hanya dituntut dengan penuh hikmah menyeru mereka.

 

Prinsip ketiga: Tiada paksaan dalam agama

Islam tersebar keseluruh dunia bukan dengan kekerasan dan pemaksaan. Terbukti bahawa penerimaan Islam berlaku secara pilihan dan pemerintahan Islam tidak pernah memaksa mana-mana bangsa yang dikuasainya untuk memeluk Islam. Malah rumah ibadat dan kitab suci mereka dibiarkan untuk penganut masing-masing tanpa ada urusan campur tangan dalam urusan agama orang lain.

Sebenarnya umat Islam dipandu dengan prinsip 'Tiada Paksaan dalam memeluk Islam'. Ia diasaskan oleh firman Allah dalam al-Baqarah ayat 256: لا اكراه في الدين قد تبين الرشد من الغي فمن يكفر بالطاغوت و يؤمن بالله فقد استمسك بالعروة الوثقى لا انفصام لها والله سميع عليم

“Tiada paksaan dalam agama, telah jelas petunjuk daripada kesesatan, barang siapa yang kufur dengan Thagut (selain dari Allah) dan beriman dengan Allah maka dia telah berpegang dengan ikatan yang kuat, tiada tercerai daripadanya. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Ayat ini turun di Madinah di kalangan ibu yang Islam bertanya kepada Rasulalah apakah dizinkan mereka memaksa anak mereka yang beragama Yahudi untuk peluk Islam? Menjadi amalan kepada ibu yang susah mendapat anak untuk bernazar dengan berkata: 'Jikalau aku dapat anak akan kujadikan anak ini nanti memeluk agama Yahudi'. Apabila mereka mendapat anak mereka memenuhi nazar ini lalu setelah mereka menerima Islam, mereka mahukan anak mereka dipaksa supaya memeluk Islam. Dalam riwayat yang lain apabila Bani Nadhir dihalau dari Madinah, anak mereka berada dalam kesesatan lalu untuk menyelamatkan anak mereka, mereka mahu memaksa anak mereka memeluk Islam, dan turunlah ayat menerangkan prinsip besar ini iaitu tiada paksaan dalam agama.

Prinsip ini konsisten hatta semasa Nabi Muhammad di Mekah apabila Allah menegaskan bahawa jika dikehendaki semua orang akan beriman. Sifat Nabi Muhammad yang ambil berat kepada kaumnya menyebabkan dia bimbang keengganan mereka untuk tidak beriman lalu Allah menegur nabinya dalam surah Yunus ayat 99: وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَآمَنَ مَن فِي الْأَرْضِ كُلُّهُمْ جَمِيعًا ۚ أَفَأَنتَ تُكْرِهُ النَّاسَ حَتَّىٰ يَكُونُوا مُؤْمِنِينَ 

"Jika Tuhanmu kehendaki maka akan berimanlah semua yang dibumi, apakah engkau mahu memaksa mereka sehingga mereka beriman?"

Kaedah tiada paksaan menerangkan kepada kita juga tentang perlunya umat Islam menghormati agama lain termasuk rumah ibadatnya dan segala apa yang mereka anggap suci termasuk kitab mereka. Hormat bukan bererti mengiktirafi mereka tetapi akur kepada realiti kepelbagaian dan bersikap terbuka lewat interaksi dakwah dan mendorong mereka ke arah menghayati keindahan Islam. Abu Bakar Assidiq menulis surat kepada Kristian Najran dengan berkata:

‘Dengan nama Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang, ini adalah surat daripada hamba Allah Abu Bakar, pengganti Muhammad sebagai pemimpin kamu untuk penduduk Kristian Najran bahawa aku melindungi  mereka dengan perlindungan Allah dan jaminan Muhammad, Rasulullah ke atas diri mereka dan tanah mereka, agama mereka, harta mereka, binatang ternakan mereka, ibadat mereka dan semua yang ada serta uskop mereka, rahib mereka dan jual beli mereka dan apa yang ada dalam milikan mereka sedikit pun tidak dikurangkan atau diambil dari mereka, tiada uskop yang ditukar dan rahib yang ditukar' (dalam Kitab Kharaj).

Abu Bakar selaku Khalifah Islam pertama meletakkan asas hubungan atas prinsip 'tiada paksaan'menjadi ikutan sepanjang sejarah Islam dalam hak orang bukan Islam khususnya Ahlul Kitab yang perlu dilindungi oleh pemimpin Islam. Tidak pernah dalam sejarah Islam mana-mana kitab suci dirampas atas apa juga alasan kerana ia mencemari prinsip tiada paksaan.

Tiada paksaan juga bermakna bahawa setiap penganut mempunyai caranya tersendiri memahami keperluan agamanya tanpa ada hak untuk kita mencampuri urusan agama dan kitab suci mereka apatah lagi menentukan apa yang boleh dan apa tidak boleh untuk mereka kerana mereka mempunyai undang-undang dan cara mereka tersendiri. Dalam al-Maidah ayat 48 menegaskan:

....لكل جعلنا منكم شرعة ومنهاجا ولو شاء الله لجعلكم امة واحدة ولاكن ليبلوكم في ما اتاكم فاستبقوا الخيرات.....

 

“..Pada setiap umat kami jadikan mereka undang undang dan cara masing-masing, jika dikehendaki Allah dijadikan kamu atas satu agama tetapi adalah untuk menguji kamu apa yang diberikan maka berlumbalah berbuat baik..”

Kitab suci Taurat dan Injil ada undang undangnya dan caranya walaupun Islam merangkumi kitab sebelumnya tetapi hakikatnya Injil dan Taurat masih ada hari ini dan tiada hak untuk kita menentukan apa yang boleh dan tidak boleh dipakai dalam keperluan kitab mereka kerana itu juga adalah satu bentuk paksaan.

Prinsip keempat: Berdialog

Keindahan Islam dan rahmatnya kepada agama lain terserlah dengan jambatan dakwah dan dialog sebagai interaksi Islam dengan bukan Islam. Walaupun kebenaran Islam tidak diragui lagi, Allah tetap menyatakan prinsip berdialog dan berbincang dengan cara yang baik seperti firmanNya dalam surah an- Nahl ayat 125:  ادع إلى سبيل ربك بالحكمة والموعظة الحسنة وجادلهم بالتي هي أحسن إن ربك هو أعلم بمن ضل عن سبيله وهو أعلم بالمهتدين

“Serulah kamu ke jalan Tuhanmu dengan penuh bijaksana dan hikmah dan jika berdebat maka berdebatlah dengan cara yang terbaik(lembut) Maka Tuhamu mengetahui siapa yang sesat dan siapa yang mendapat petunjuk.”

Prinsip dialog menuntut supaya dalam apa jua hal maka rundingan dan dialog adalah lebih baik dalam menentukan hubungan dengan agama lain, apatah lagi jika berlaku kekeliruan ataupun sesuatu yang sensitif dan boleh menjejaskan hubungan antara agama di negara ini.

Rumusan prinsip

Prinsip di atas membentuk Rahmatan Islam kepada keseluruhan alam dan khususnya dalam hubungan Islam dan bukan Islam. Kita diajar bahawa setiap apa yang kita lakukan tidak boleh bercanggah dengan prinsip di atas selagi tidak ada apa-apa keadaan dan situasi yang membolehkan orang Islam bertindak sebaliknya seperti mempertahankan diri atau apabila terbukti sesuatu ancaman itu berlaku.

Adalah sesuatu yang bertentangan dengan prinsip juga apabila Islam cuba mencampuri urusan agama orang lain dengan menentukan mana boleh dan mana yang tidak boleh lalu bertindak ke atas mereka. Premis hubungan Muslim dengan bukan Islam diasaskan oleh kedamaian dan situasi sebaliknya seperti permusuhan adalah sesuatu yang mendatang atas sebab-sebab jelas dan bukti nyata.

Dakwaan kristianisasi jika benar hendaklah ditangani dengan bukti kerana itu bertentangan dengan semangat negara ini yang terbina atas Islam sebagai agama rasmi persekutuan. Apa yang berlaku hari ini ialah hubungan dengan bukan Islam seolah-olah berada atas premis permusuhan manakala kedamaian adalah pengecualian. Asas fahaman ini amat bahaya dalam konteks membina negara bangsa dan perpaduan nasional kerana ia rapuh dan perpaduan yang dibina selama ini boleh dirampas oleh pihak yang sempit gagasan negaranya pada bila-bila masa.

Saya menyeru kepada mereka yang tidak setuju dengan pandangan saya bahawa berhujahlah atas prinsip yang saya kemukakan dan jangan berhujah atas emosi dan amarah apatah lagi tuduhan pro Kristian dan malah ada yang mempersoalkan keislaman saya. Apakah sebahagian kita ini sudah hilang kewarasannya dengan menyebarkan kejahilan dan kebodohan serta menyerang prinsip dan menidakkannya atas nama Islam? – 9 Januari, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments