Opinion

Selamat tinggal, ISA; selamat datang, ISA

18 APRIL — Sesuatu itu sering dikaitkan dengan nilai yang terkandung di dalamnya. Contohnya apabila kita mengatakan seseorang itu “macam firaun”, kita bukan bermaksud rupanya tetapi amalan kezaliman yang dilakukan oleh seseorang kerana Firaun adalah lambang kezaliman.

Sesuatu atau seseorang itu diumpamakan kerana sinonim akhlak perilaku dan perangainya. Apabila kita mahu menggambarkan seorang yang cukup baik hati budinya pula, kita akan katakan “macam malaikat” kerana malaikat adalah lambang kemuncak segala kebaikan.

Demikianlah bahasa memainkan peranan penting dalam hidup kita bagi menggambarkan luahan seseorang terhadap nilai-nilai terpuji dan nilai yang terkeji. Ada juga perumpamaan itu dilokalkan kerana sesuai dengan pengetahuan masyarakat setempat terhadap sesuatu yang diumpamakan.

Contohnya kalau di kampong, kita akan menggambarkan betapa lurus dan bodohnya seseorang dengan dikaitkan sifat itu yang ada pada peribadi orang kampong seperti Man atau Said. Contohnya: “Kamu ni lurus macam Man” atau “Bodoh macam Said”.

Dalam konteks Malaysia kita ada satu perumpamaan kepada kezaliman melalui perumpamaan dengan satu akta zalim iaitu ISA. Contohnya kita akan kata: “Zalim macam ISA” walaupun bagi sesetengah tidak tahu bahwa ISA itu adalah dalam Bahasa Inggeris iaitu Internal Security Act, mereka tidak pula mengatakan “zalim macam AKDN” begitulah bagaimana perumpamaan itu berhasrat untuk menggambarkan sesuatu nilai negatif dengan mengaitkan apa yang mereka terima selama ini sebagai satu kezaliman. Tidak pula kita kedengaran ada yang mengatakan: “Baik macam ISA”

Namun demikian tulisan ini bukan untuk kelas Bahasa Malaysia bab perumpamaan, tulisan ini adalah tentang perbahasan di Parlimen kelmarin (16 April) iaitu tentang satu Rang Undang-Undang Baru yang bernama Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

RUU ini bertujuan menggantikan ISA yang selama ini menghantui rakyat Malaysia kerana amalan tahan tanpa bicaranya. Ia juga mengambil kuasa dan hak untuk tertuduh daripada pendengaran di mahkamah kerana Kementerian Dalam Negeri punya kuasa yang mutlak dengan hanya menurunkan tandatangan bagi mengenakan hukuman dua tahun dalam tahanan.

ISA digubal tahun 1960 adalah untuk menangani ancaman komunis yang masih bertapak di negara kita. Namun setelah komunis menyerah diri dan meletakkan senjata pada 2 Disember 1989 di Haatyai, Thailand, ISA diteruskan tetapi kini menghala kepada musuh politik yang bergerak secara berperlembagaan dan tidak lagi kepada anasir subversif yang bergerak secara haram.

Matlamat asal ISA untuk memelihara negara dari ancaman komunis dan anasir terror yang lain kini menjadi alat Umno dan BN untuk mengukuhkan kedudukan mereka dari ancaman politik. Ramai yang terperosok di dalam kem tahanan yang sifatnya adalah politik terdiri daripada aktivis PAS, DAP, PSRM dan lain NGO yang dituduh tanpa terbukti pertuduhan itu hingga hari ini.

Penentangan terhadap ISA bermula sejak ia disalahgunakan sehingga mencapai tahap mobilisasi rakyat dengan GMI iaitu Gerakan Memansuhkan ISA. Kemenangan Pakatan Rakyat (PR) tahun 2008 menjadi pemangkin di Parlimen untuk mendesak supaya ISA dihapuskan.

Minggu ini sudah secara resminya ISA dihapuskan untuk digantikan dengan satu akta baru bagi menyahut perkembangan baru negara dengan memperkenalkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) 2012.

Fakta yang mengatakan kerajaan hari ini telah menggantikan akta baru dari pemansuhan ISA menjadi isu yang utama sehingga mereka lupa untuk meneliti apakah isi kandongan akta baru ini. Perbahasan oleh Ahli Parlimen Umno dan BN seolah-olah lebih berminat untuk menonjolkan kesediaan BN menyahut kehendak rakyat daripada bertitik tolak atas kesedaran yang tulen untuk menggarap persoalan ketelusan dan keadilan menegakkan prinsip hukum.

Tidak mengherankan kita dalam perbahasan kelmarin, isu pokok diabaikan malah usaha Ahli Parlimen PR yang lebih menyentuh tentang fundamental isu RUU ini dipatahkan hujah dengan sentimen serangan ke atas batang tubuh DSAI. Hampir kesemua wakil Umno dan BN berucap menjadikan fakta hujahnya di atas alasan yang mesejnya ialah : “Kami dah ganti, apa lagi yang hendak ditentang oleh PR?”

Inilah kunci kelemahan RUU ini, ia dilakukan di atas desakan dan bukan kesedaran. Jika ia dilakukan atas kesedaran sudah tentu prinsip hukum akan terbela, tetapi kerana ia dibuat atas desakan untuk kepentingan tertentu RUU ini menjadi tunggang-terbalik dan tidak konsisten dengan prinsip keadilan hukum.

Pembuktian yang menjadi asas kepada proses penghakiman masih disyaratkan dengan klausa kuasa Menteri dalam pentakrifan “maklumat sensitif” di mana hakim “terpaksa” menerima pengklasan sesuatu maklumat sensitif itu tidak boleh dijadikan bahan bukti.

Walaupun kuasa menetapkan hukuman ada di tangan Menteri dalam ISA kini kuasa Menteri berpindah kepada pengklasan “maklumat sensitif” yang akan digunakan sebagai bukti.

Bukankah pembuktian itu asas untuk hakim terhadap sesuatu penghakiman? Di sini asas itu telah “dirompak” oleh Menteri dan hakim diminta untuk memperakui “rompakan” ini siang-siang hari.

Lagipun dalam OSA (Official Secrets Act) telahpun berlaku salahguna dimana maklumat yang mendedahkan rasuah dan salahguna kuasa boleh dilabelkan sebagai rahsia resmi kerajaan untuk menutup skandal kerajaan sedangkan OSA adalah untuk melindungi maklumat rahsia tentang keselamatan dan pertahanan negara. Apakah jaminan klausa ini tidak akan disalahgunakan?

Mungkinkah pembuktian pembela memerlukan sesuatu bukti yang mungkin mendedahkan sesuatu tentang skandal atau kelemahan kerajaan lalu pendakwa menggunakan klausa menteri untuk menghalang pembelaan?

Konsep Al Bayyinah atau evidence yang menjadi asas pendakwaan dan pembelaan seolah-olah sengaja disabotaj terhadap tertuduh dalam RUU ini. (Bahagian I, Tafsiran 3, “maklumat sensitif”, berhubungan dengan Jemaah Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau kedaulatan, keselamatan negara, pertahanan, ketenteraman awam dan hubungan antarabangsa)

Walaupun amalan tanpa bicara sudah dihapuskan namun tahanan terhadap tertuduh dikekalkan dalam tahanan sehingga segala usaha rayuan mahkamah dibuat walaupun pendakwaan gagal membuktikan kesalahan tertuduh dalam perbicaraan.

Pihak pendakwa hanya perlu memohon rayuan dengan lisan sahaja untuk hakim menerimanya. Walaupun dalam keadaan biasa rayuan keputusan memerlukan bukti baru untuk diterima oleh hakim. Dalam RUU tidak disyaratkan demikian.

Kalau dahulu seseorang ditahan dua tahun dengan kuasa Menteri, kini walaupun ada perbicaraan di mahkamah seseorang terrtuduh boleh kekal dalam tahanan sehingga proses rayuan sampai ke penghujungnya dan itu boleh memakan masa dua tahun juga.

Walaupun elemen terpenting ISA dihapuskan namun elemen baru dipasang untuk menidakkan hak seseorang itu dibebaskan sementara menunggu segala proses rayuan dibereskan (Fasal 30 (1)-(7))

Kuasa kehakiman “dirompak” dan diberikan kepada polis melalui hak masa soal-siasat selama 28 hari. Walaupun masa soal-siasat dikurangkan dari 60 hari, namun kuasa menahan selama itu tidak boleh dicabar kerana polis menentukan keperluan tersebut setelah tertuduh ditahan 24 jam.

Kalau dahulu polis terpaksa minta lanjutan tahanan dari majestrit tetapi kini Polis boleh membuat keputusannya sendiri jika dirasakan perlu untuk tahan selanjutnya.

Ini amat membimbangkan dalam suasana imej PDRM sering dikaitkan dengan salahguna kuasa dan kes kematian dalam lokap terus menghantui tahanan-tahanan reman. Apa jaminan siksaan dalam tahanan reman dan siksaan saikologi yang tidak berperikemanusiaan tidak dilakukan?

Apatah lagi keputusan polis untuk menggunakan peranti pengawasan yang boleh dipasang ke atas tertuduh setelah tahanan lanjut tidak diperlukan, sekali lagi menunjukkan kemungkinan salahguna kuasa berlaku. (Kuasa Penangkapan dan Penahanan 4 (4)-(6).)

Setiap kali kami dari PR memberi ingatan kepada potensi salahguna kuasa dalam RUU ini dilakukan, hujahan ahli Parlimen BN ialah RUU ini terjamin kerana ia adalah lain dari ISA. Dulu pun semasa ISA digubal pada tahun 1960, Prof Zulkifli Muhammad dari Ahli Parlimen Bachok memberi amaran yang sama tentang salahguna kuasa ISA untuk menahan tahanan politik dan bukan musuh negara tetapi terbukti jaminan itu tidak dapat dipertahankan, kini amaran yang sama oleh kami diulangi.

Apakah jaminan itu akan ditunaikan? Melihat kepada latarbelakang amalan selama ini, kami tidak yakin kerana RUU itu sendiri memberikan ruang untuk dislahgunakan.

Lagipun asakan rakyat untuk melihat perubahan regim di negara ini semaikn meningkat, apakah jaminan BN tidak akan menggunakan RUU ini untuk mendakwa desakan politik yang mahukan perubahan regim? Kami juga mencadangkan supaya RUU ini dibawa ke Jawatankuasa Khas Parlimen untuk diteliti bagi mengambilkira isu-isu prinsip keadilan yang dikemukakan.

Sebab itulah tulisan ini mengandaikan seolah-olah suasana kita hari ini umpama keluar dari mulut harimau untuk masuk ke mulut buaya! Selamat tinggal ISA; selamat datang ISA?

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments