Kota Paris adalah nama yang sering dikaitkan dengan kota romantik dan penuh elitis menjadi penggemar penerbit filem dari seluruh dunia. Eifel Tower menjadi monumen kebanggaannya malah kota Paris dan Eiffel Tower tiada berpisah jua.
Budaya elit Paris terletak pada gaya hidup penduduknya dan cara pakaian mereka serta kehidupan mereka yang bercirikan kebebasan dan keseronokan. Kehadiran saya di sini betul-betul memenuhi tajuk filem Hindustan dibuat pad 1967, An Evening in Paris yang dibintangi oleh oleh Shammi Kapoor dan Shamila Tagor. Maksud saya ialah tulisan ini mencatatkan pengalaman sepetang saya di Paris dalam perjalanan pulang ke tanah air dari Morocco.
Sampai di Paris
Perjalanan kami pulang ke tanah air dari Morocco kali ini mengambil arah berbeza iaitu Rabat-Paris-KL. Jadual penerbangan kami menyebabkan kami terpaksa transit dan bermalam di Paris.
Pesawat kami mendarat lewat daripada jadual asal 20 minit iaitu pada 5.20 petang. Kami berdua sahaja kerana Ahli Parlimen Kepala Batal, Datuk Seri Reezal Merican mengambil jadual penerbangan melalui Kaherah atas urusan Amanah Raya yang mana beliau adalah pengerusinya.
Jadi saya dan Zamzuri, pegawai protokol Parlimen sahaja kali ini dalam perjalanan pulang. Ketibaan kami disambut sebaik keluar dari pintu kapal terbang dengan tertera nama Yusof Mujahid Datuk dan Zamzuri.
Saya tersenyum kerana nama saya ditulis begitu mengikut cara barat dengan meletakkan nama ayah dahulu. Pegawai menunggu kami berwajah Asean sambil seorang lagi wanita berwajah Eropah senyum menunjukkan jalan khas untuk kami.
Pihak kedutaan menyusun ketibaan kami melalui jalan VIP tanpa perlu melalui imigresen biasa, malah kami dibawa melalui kereta khas melalui landasan ke ruang menunggu VIP.
Zamzuri pegawai protokol Parlimen yang mengiringi misi kami memberitahu saya sebagai ahli Parlimen layak mendapat laluan ini. Saya tersenyum kerana selama ini jikalau saya bermusafir bukan urusan rasmi saya terpaksa berbaris seperti biasa tanpa laluan khas VIP.
Kami disambut oleh pegawai kedutaan dengan penuh kemesraan dan urusan visa kami dibuat di situ dalam beberapa saat sahaja. Waktu Asar di Paris ialah pada 6.10 petang dan peluang menunggu saya ambil untuk solat jamak takhir beralaskan kot saya sebagai sejadah.
Meninjau Kota Paris
Kami mengharapkan peluang untuk melihat-lihat pusat beli-belah yang menawarkan barang berjenama original pada harga murah namun pemandu kami Antony atau sebutan Perancis-nya Antion memberitahu kami kedai di sini tutup tepat 8 malam sedangkan kami baru dapat keluar dari bangunan Charles De Gaulle pada 7 petang. Perjalanan dari lapangan terbang ke kota Paris pula mengambil masa kira-kira sejam.
Ketika ditanya mengapa Paris yang menjadi tarikan pelancong menutup kedainya awal, Antion menjawab itulah keunikan orang Paris, mereka membuka kedai lewat dan menutupnya awal dalam nadanya yang sinis kepada budaya tutup kedai awal di sini.
Eifel Tower
Justeru, kami membuat keputusan untuk ke Eifel Tower dan menikmati monumen agung ini dengan bergambar dan bersiar-siar di sekitarnya. Semua di sini bergambar dan berselfie dengan Eifel Tower sebagai latar belakangnya.
Di dataran Eifel Tower kelihatan anak muda sama ada lelaki dan perempuan menunjukkan kehebatan masing-masing dengan razorblade dan skateboard. Tidak kurang juga ramai pasangan duduk di taman kiri dan kanan sambil bermadu asmara secara terbuka dan bebas. Sama seperti di mana-mana tempat pelancongan terkenal, penjual cenderamata kelihatannya seperti orang Afrika dan Arab dengan pakaian yang agak tidak terurus. Oleh kerana dari satu hujung ke satu hujung jalan jauh, pemandu kami mengambil kami di sebelah seberang jalan dan kereta kami meluncur laju ke City Centre untuk mencari pengurup wang yang kebanyakan sudah tutup kedai kerana kami perlu menukar mata wang kepada Euro untuk makan malam dan lain-lain.
Politik Perancis
Politik Perancis lebih menarik kerana kebebasan dan demokrasi hidup di sini. Walaupun bukan semuanya baik tetapi daripada sudut kesedaran rakyat kepada tanggungjawab membentuk dasar kerajaan dan ketelusan adalah tinggi.
Semasa kami di Paris dua kesatuan sekerja sedang mogok iaitu kesatuan teksi dan keretapi awam. Perancis terkenal dengan kesatuan sekerja yang kuat dan mampu melumpuhkan infrastruktur kerajaan khususnya pengangkutan. Sebagai warga Euro, Perancis terpaksa mengikuti regulasi yang ditetapkan dan antaranya membebankan sektor tertentu khususnya pengangkutan.
Menurut Antion, Presiden Perancis kini Francois Hollande yang beraliran sosialis terjerat antara melaksanakan dasar sosialisnya dan masalah ekonomi yang dihadapi oleh rakyat khususnya dalam isu pengangguran.
Kerajaan sosialis Hollande mendapat kejutan apabila pilihan raya tempatan berubah kepada parti yang beraliran kanan khususnya dasar mereka yang menentang kehadiran pendatang asing yang ramai.
Hollande menurut persepsi awam dilihat gagal menyelesaikan masalah pengangguran yang kian meningkat dan gagal menangani isu peningkatan pendatang haram yang menyebabkan jenayah mencuri meningkat.
Antara yang diingatkan oleh pegawai kedutaan yang menyambut kami ialah supaya berhati-hati meninggalkan barangan dalam kereta kerana banyak kes pecah kereta berlaku.
Falsafah hidup
Daripada sudut falsafah kehidupan ramai penduduk Perancis mengamalkan kehidupan bebas walaupun Katolik adalah agama mereka yang utama. Sebahagian mereka mengamalkan kehidupan berumahtangga tanpa ikatan perkahwinan. Ketika ditanya Antion menjawab di Perancis anda boleh lakukan apa sahaja dalam kehidupan peribadi anda hatta hidup tanpa agama namun anda perlu menjaga ketenteraman awam dalam apa sahaja gaya hidup yang anda pilih.
Tidaklah menghairankan kerana Perancis adalah antara pengasas pemikiran liberal sekular sebagai falsafah hidup dan kebangkitan terhadap penguasaan gereja dalam kehidupan masyarakat Eropah.
Malam terakhir
Malam terakhir di Paris berlabuh dalam keletihan setelah menghabiskan sepetang di Kota Paris. Katil hotel saya mengajak saya lebih awal menikmati empuk tilamnya, TV saluran Al Jazeera kini menonton saya kerana kelopak mata saya tidak berdaya lagi melawan sehinggalah saya terus dibawa mimpi indah hanya untuk bangun 5.30 pagi esoknya.
Kini kisah perjalanan saya ke Morocco sempurna di Paris dan saya berada dalam pesawat MAS mengharapkan titipan pena saya berakhir di sini dalam perjalanan yang berbaki lapan jam lagi ke KL. Saya perlu rehat untuk meneruskan program yang sedang menunggu di Malaysia nanti.
Good night from MH 002. – 18 Jun, 2014.
* Penulis mewakili Parlimen Malaysia dalam mesyuarat eksekutif Kesatuan Parlimen Negara Islam (PUIC) di Rabat, Morocco pada 10-11 Jun, 2014. Catatan pertamanya berjudul Perjalanan di Morocco.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments