Opinion

Sidang Dewan Rakyat: Ke mana sebenarnya kita?

Perbahasan di Parlimen tiada yang luar biasa walaupun tajuk yang dibicarakan panas dan menggelegak. Sepanjang minggu akhir lapan hari bersidang, saya sentiasa mempersoalkan tentang apakah perkara baru yang hendak dibawa. Kami menjalankan rutin yang 'mengikat' kami dengan cara lama walaupun idea yang kami bawa menuntut pemunggahan cara kita memerintah negara ini.

Apabila akta yang dibawa tidak melihat secara keseluruhan cara kita menangani sesuatu perkara, maka apa yang diperbincangkan di Parlimen hanyalah memenuhi keperluan 'endorsement' walaupun Parlimen pada hakikatnya boleh mengurang atau menambah sesuatu cadangan daripada kerajaan yang memerintah. Ke manakah kita sebenarnya?

Akta diredah

Segala kehendak kerajaan tidak diperhalusi sebelum ia hendak dibawa ke perbahasan di Parlimen. Kerajaan mengharapkan majoriti yang diperolehi oleh parti pemerintah sebagai 'tiket' untuk meredah apa sahaja yang mereka perlukan.

Soalnya ialah bagaimana ditentukan sesuatu akta itu diperlukan? Cara BN ialah dengan mensensasikan sesuatu isu sebagai 'preamble' kepada sesuatu yang ia inginkan untuk diendorse oleh Parlimen. Contohnya isu PCA, atau Akta Pencegahan Jenayah yang dibawa secara redah untuk Dewan Rakyat meluluskan dalam masa yang singkat.

Media mensensasikan berita pembunuhan secara senjata api sebagai alasan bahawa ketua gengster kini sedang mengamuk lalu dikaitkan ia berlaku kerana pembatalan EO yang mengizinkan tahanan tanpa bicara. Tiba-tiba Ahli Dewan Rakyat diminta untuk membahas (tetapi sebenarnya meluluskan) PCA yang menjejaskan usaha langkah ke hadapan prinsip hukum di negara ini.

Tidak konsisten

Semasa perbahasan penghapusan ISA dan EO, semua pihak mengalu-alukan langkah ini termasuk pembangkang yang memperjuangkan isu mansuhkan ISA sejak dahulu lagi. Asas tuntutan penghapusan ini ialah ia menjejaskan satu prinsip keadilan iaitu 'tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya'.

Lebih-lebih lagi ISA disalahgunakan iaitu daripada memelihara ancaman negara kepada penahanan politik yang tiada kena mengena dengan keselamatan negara. Semua pihak daripada BN dan PR seolah-olah menerima hakikat bahawa ISA atas alasan prinsip hukum adalah tidak relevan dan hendaklah menjadi bahan sejarah bagi menandakan Malaysia sudah bersedia untuk menuju jalan ke hadapan dalam menjunjung prinsip hukum ini.

Tiba-tiba hanya selang setahun kemudian satu pindaan akta PCA 1959 mengembalikan kembali 'nyawa' ISA yang sudah mati! ISA seolah-olah hidup semula dalam roh PCA bersedia untuk dieksploitasi sekali lagi. Apa sudah jadi kepada prinsip hukum zalim yang sudah kita talqinkan?

PCA atau suruhanjaya baik pulih PDRM?

Semua sedia maklum bahawa dalam  PCA diperuntukkan tahanan tanpa bicara oleh Lembaga Pencegahan Jenayah selama dua tahun tanpa ada penilaian semula kehakiman. Semua perkiraan Lembaga akan hanya ditentukan oleh laporan pegawai penyiasat.

Pihak PDRM dalam hal ini seolah-olah dibiarkan dalam keadaan ketidakmampuan selamanya kerana provisi ini yang walaupun dilihat memudahkan kerja polis tetapi sebenarnya meremehkan kemampuan mereka untuk mensabitkan kesalahan penjenayah di mahkamah terbuka.

Isu jenayah perlu dilihat dalam skop yang lebih besar daripada sudut memperkukuhkan bahagian laporan siasatan dalam kerangka peruntukan dakwaan yang ada supaya pegawai pendakwaan cekap dan mahir dalam menumpaskan kelicikan peguam penjenayah.

Kedua, memerangi rasuah dari akar umbinya dalam perkhidmatan polis supaya kartel jenayah tidak boleh menyuap polis kita di semua peringkat. Ketiga ialah mobilisasi pendidikan dan kesedaran awam menyertai peperangan terhadap  penjenayah dengan menjadi 'mata dan teilnga' kepada keselamatan negara.

Namun kerajaan mengambil jalan pintas atas alasan jenayah berleluasa sedangkan baru-baru ini kerajaan kita berbangga Malaysia sebagai negara aman. Pelik bin ajaib apabila mereka mahu mewajarkan PCA tiba-tiba negara jadi huru-hara kerana jenayah berleluasa.

Ironi artikel 149

Artikel 149  Perlembagaan Persekutuan menjadi perkara yang mengabsahkan tindakan PCA yang sebenarnya bertentangan dengan hak dan kebebasan seseorang mendapat pengadilan seperti dalam artikel 5, ,9 dan 10. Pihak kerajaan yang mengetahui bahawa PCA adalah bercanggah dengan hak kebebasan seseorang sewenangnya mengambil alasan kepentingan keselematan seperti yang diperuntukkan sebagai alasan.

Apakah keadaan sekarang sampai ke tahap keselamatan nasional terancam dan negara menuju kepada huru-hara? Pencerobohan dengan artikel 149  inilah yang dibimbangi menggadaikan prinsip hak asasi seseorang untuk mendapat pembelaan yang adil di mahkamah untuk membuktikan kesalahannya.

Beberapa negara yang mengalami ancaman lagi besar seperti ancaman teroris tetap menolak konsep tahanan tanpa bicara dengan mereka mengukohkan kecekapan siasatan dan pendakwaan dan segala usaha pencegahan mestilah mendapat keizinan mahkamah dahulu dan bukan lembaga pencegahan yang terus menahan selama dua tahun tanpa bicara.

Reformasi Parlimen

Parlimen seharusnya menjadi institusi yang dihormati kerana mengekalkan peranan check and balance kepada perjalanan kerajaan. Oleh itu cara ia diurus mestilah membayangkan ia satu institusi yang bebas daripada telunjuk Kabinet sebagai eksekutif. Jikalau ada seorang menteri yang dilantik dalam hal ehwal Parlimen maka bagaimanakah Speaker selaku ketua Parlimen boleh bebas menjalankan tugasannya?

Begitu juga dengan tiada jawatankuasa daripada semua pihak yang duduk untuk memperhalusi akta yang hendak dipinda atau akta baru yang hendak diperkenalkan sebelum dibawa ke Parlimen. Dengan cara itu barulah akta-akta itu tidak diredah begitu sahaja mengikut keinginan dan kehendak kerajaan yang memerintah.

Rundingan Awam Parlimen yang bersifat berterusan diperlukan untuk apa sahaja dasar yang hendak diperkenalkan supaya demokrasi secara berpartipitasi dapat dijalankan. Begitulah sinergi antara masalah negara dan sistem Parlimen yang efektif mampu membawa negara kita satu langkah lagi ke hadapan.

Sebab itu sepanjang saya menghadiri sesi Dewan Rakyat yang berakhir pada 3 Oktober lalu, saya sentiasa tertanya-tanya:  Ke manakah kita? – 11 Oktober, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments