1 OKT — Bishop betul
Perkataan Uskop jarang dipakai oleh orang Melayu mungkin kerana ia satu jawatan dalam hiraki instituisi gereja yang merupakan sesuatu yang asing bagi orang Melayu. Orang Melayu lebih mengenali istilah imam atau ustaz atau syeikh yang menggambarkan kedudukan seseorang yang berpengetahuan agama dalam Islam. Dalam Bahasa Inggeris perkataan uskop adalah bishop. Saya mengenali istilah bishop kerana ada jalan di Pulau Pinang yang diberi nama Bishop Street, begitu juga saya mengenali bishop kerana permainan chess yang salah satu dari bidaknya ialah “bishop”. Pada 22 September baru-baru ini saya bertemu dengan bishop yang betul, boleh bercakap dan memakai pakaian istiadat gereja malah fasih berbahasa Melayu dan punya perwatakan yang mesra. Namanya ialah Bishop Sebastian Francis bertanggungjawab kepada 70,000 umat Katolik melingkungi Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan.
Menyambung misi
Sejak 2010 misi saya adalah untuk membina jambatan semua kelompok di Malaysia termasuklah umat beragama yang berbagai. Salah satu dari usaha ini ialah melakukan lawatan ke gereja untuk mengadakan dialog dan berkenalan dengan kepimpinan agama mereka. Peluang isu kalimah Allah saya ambil untuk menjalankan misi penjelasan tentang sikap Islam dan sikap yang diambil oleh PAS sebagai sebuah parti Islam. Nama saya mula dikenali oleh kelompok gereja dan antara yang menjadi destanasi lawatan dialog saya yang besar ialah Gereja The Holy Spirit, iaitu Pusat Katolik di Pulau Pinang, St Anne di Bukit Mertajam, Church of Jesus di Sungai Petani, St Michael di Taiping dan Gereja SIB di Keningau, Sabah.
Apa wacana kami
Kami berdialog tentang kemuliaan kemanusian, umat beragama, hubungkait jalinan Ibrahimik dan isu-isu yang menyentuh sensitiviti aqidah umat Islam, hudud hingga kepada persoalan politik dan sikap PAS. Namun di sebalik wacana yang berat itu terselit satu mesej PAS yang mahukan hubungan lebih terhormat dan membawa kepada keamanan dan kerukunan hubungan. Cita-cita ini adalah berasaskan kepada latarbelakang provokasi pihak tertentu yang mahu mencetuskan ketegangan dan kebencian antara umat beragama. Azam menongkah arus supaya orang Melayu tidak termakan dengan api fitnah ini menguatkan langkah saya untukmelakukan sesuatu yang tidak pernah dibuat oleh orang Melayu mahupun PAS sendiri. Saya bersyukur kepada Allah kerana langkah ini diberkati apabila kesannya menggamit berbagai pihak untuk menyertai cita-cita kedamaian ini.
Kamu adalah wira
Wira adalah kelompok yang unik kerana mereka dapat mencapai status tersebut di atas keberanian mereka. Keberanian bukan sahaja bertempur di medan perang tetapi keberanian juga adalah apabila kita mampu menyatakan sikap kita dengan tegas walaupun manusia tidak menyukainya. Agama tidak pernah bertentangan dengan fitrah manusia dan salah satu fitrahnya ialah mencari kedamaian hubungan walaupun manusia kadang-kadang berperang atas nama agama masing-masing. Menegaskan sikap yang dianjurkan oleh agama ini iaitu kedamaian hubungan, kadang-kadang mendapat persepsi yang negatif dari penganut agama itu tersendiri, tidak terkecuali dari orang Melayu. Entah apa doktrin yang menguasai benak orang Melayu selama ini, sehinggakan ketaksuban ini dialas dengan kewajaran agama yang tidak pernah diajar pun oleh Nabi Muhammada s.a.w.
Wira-wira yang berjalan atas kesedaran fitrah ini membentuk sebuah kekuatan merentasi semua sempadan. Kristian,Islam dan Buddhist serta lain-lainnya berkongsi harapan di atas jambatan kedamaian ini lalu mereka bekerja dan berlumba-lumba mendapatkan habuan masing-masing demi matlamat mulia ini. Ketika itu fahaman agama sempit dan perkauman melulu menjadi kerdil di hadapan mereka. Mereka adalah wira, nama-nama mereka jarang diukir di dada akhbar kerana mereka tidak mahu nama, mereka hanya mahu harapan tercapai.
Agama berketerampilan
Uskop adalah peribadi yang mewakili agama Katolik mengikut hiraki yang ditentukan kelayakannya oleh pihak gereja. Dalam Islam kita tidak memiliki hiraki yang ketat melainkan seseorang yang bergelar ulamak perlu mempunyai latarbelakang pengajian agama yang kemudiannya menjadi rujukan masyarakat di mesjid ataupun institusi formal yang lain. Setelah itu terpulanglan pada ulamak-ulamak ini meningkatkan dirinya untuk bersaing dalam alam yang penuh komplikasi ini dari sudut kepelbagaian ilmu yang perlu dimilikinya.
Saya pernah menyebut tentang reformasi agama sebagai keperluan untuk membuktikan kebolehupayaan agama itu menjadi relefan pada tuntutan masa dan keadaan. Dalam Islam, konsep tajdid dan kewajarannya diperakui oleh syariat Islam sendiri. Saya yakin agama Kristian juga mempunyai nilai-nilai keterampilan ini untuk ia kekal menjadi relefan pada tuntutan semasa tanpa perlu menggadaikan prinsip dan doktrin asas pegangannya. Itu jugalah yang saya bicarakan dengan Tuan Uskop Sebastian tempoh hari kerana, tanpa reformasi agama yang terpandu usaha dialog tidak mungkin tercapai dan kita akan terkurung dalam kesepian.Saya juga mengatakan dalam sembang santai saya dengan Tuan Uskop bahawa bukan semua agama adalah sama, kerana jikalau semua agama adalah sama, saya tidak akan mewakili Islam dan dia pula tidak mungkin mewakili Katolik. Saya bukan penyeru kepada penyamarataan agama kerana ia mustahil malah menghina agama tertentu, saya hanya pencinta kedamaian dalam hubungan umat beragama. Ide ini disambut oleh Tuan Uskop pada hari saya bertemu dengan beliau, saya nampak keterampilan beliau untuk menjadi pemimpin kepada pengikut agamanya yang hidup dalam dunia yang serba serbi hari ini. Tidak cukup untuk mengatakan kita adalah dari agama tertentu hari ini tetapi adalah lebih berketerampilan jika kita menegaskan bahawa kita dari agama tertentu yang mampu hidup dan kekal relefan dalam zaman ini.
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments