Opinion

Tahrir Square sekali lagi?

11 DIS — Gelombang belum berakhir

Memang pelik apabila kita mengkaji sejarah revolusi rakyat kerana satu perkara yang pasti ialah peristiwa post-revolusi diwarnai dengan ketidakpastian dan ketidakstabilan. Walaupun revolusi rakyat itu sendiri disokong oleh semua pihak secara pastinya tetapi ia tidak bermakna semua pihak bersetuju cara mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh regim diktator sebelumnya. Oleh itu, sebelum sesuatu kebangkitan itu benar-benar berjumpa penghujungnya secara nisbi, gelombang demi gelombang akan melanda sesebuah kebangkitan rakyat. Seperti halnya di Mesir dan lain-lain negara Arab yang melalui revolusi rakyat,rantau ini dijangka akan terus bergolak mencari identiti barunya sehingga tujuan utama revolusi itu tercapai.

Urusan post-revolusi

Di Mesir gelombang selepas revolusi belum reda, ini adalah kerana kekosongan yang ditinggalkan selepas Mubarak masih bergelora dengan berbagai perkembangan baru. Malang bagi Mursi kerana ia menjadi Presiden pertama Mesir era selepas Mubarak. Saya berkata “malang” kerana sesiapa sahaja yang memegang jawatan tertinggi itu akan mengalami nasib yang sama seperti Mursi. Mursi terpaksa berhadapan dengan saki baki regim lama, isu perundangan yang belum selesai dan penentangan pembangkang yang mahukan habuannya dalam revolusi ini. Dari segi lain pula ialah memulihkan ekonomi dan memantapkan institusi sosial-budaya yang akan membentuk celupan masadepan Mesir. Dua dimensi ini akan membuat sesiapa sahaja yang menjadi pemimpin masa itu tertekan antara menyempurnakan kehendak revolusi dan memulihkan negara.

Keunikan revolusi Mesir

Uniknya revolusi di Mesir ialah kerana di sebalik mendatarnya seluruh segmen kebangkitan rakyat, secara menegaknya pula, menyaksikan hubungan yang agak longgar dari sudut siapakah pemimpinnya? siapakah yang menguasainya? dan siapakah yang menyusunnya? Apa yang dianggap sebagai satu protes biasa tiba-tiba menjadi luar biasa dari bilik kawalan yang longgar dan tidak tersusun. Kecanggihan teknologi jaringan media tidak memerlukan seorang pemimpin menguasainya kerana setiap seorang itu boleh jadi pemimpin melalui jaringannya. Walaupun demikian suasana longgar ini tidak menjadi masalah pada saat kebangkitan, bagaimana pula post-kebangkitan? Apakah suasana yang sama terpakai setelah Mubarak tumbang? Di sinilah persoalan pengisian setelah revolusi memerlukan struktur organisasi yang tersusun dan teras ideologi yang mantap bagi mengisi kekosongan yang ada. Tidak syak lagi pergerakan Ikhwan yang paling berstruktur dan pemikiran ideologinya yang paling berpengaruh berjaya mengisi kekosongan ini melalui Parti Keadilan dan Kebebasan yang dibentuk setelah tumbangnya regim Mubarak. Pada waktu yang sama, faktor kemunculan Ikhwan mengisi ruang revolusi  ini menyumbang juga kepada keraguan pemulihan yang cuba dibawa atas alasan apakah Ikhwan mewakili sepenuhnya hasrat kebangkitan rakyat tempoh hari ataukah ia berada di situ untuk memenuhi kehendak ideologi organisasinya semata-mata?

Antara konsesi dan ketegasan

Menuntut Kebebasan adalah merupakan lambang dan mercutanda utama revolusi rakyat di Mesir malah di kebanyakan kebangkitan dunia. Apa yang lebih mencabar ialah menginstitusikan kebebasan melalui pemulihan yang diperlukan. Walaupun cabaran pertama Mursi dalam menuntut imuniti dekri Presiden disambut dengan penentangan keras, Mursi bersedia membuat konsesi bagi mengendurkan keadaan. Tetapi dalam isu menyediakan draf perlembagaan baru untuk diluluskan oleh Parlimen, Presiden Mesir itu nampaknya berkeras untuk meneruskannya juga hasratnya walaupun isu ini terus menjadi alasan baru bagi pembangkang untuk memenuhi Medan Tahrir sekali lagi. Perlu difahamkan bahawa isu mengemukakan draf perlembagaan Mesir menjadi gelombang baru yang mewarnai post Mubarak melalui perdebatan politik dari sudut isi perlembagaan itu sendiri dan isu bagaimana perlembagaan itu dibentuk dan dikemukakan. Isu Dekri Presiden seolah-olah tenggelam dengan perdebatan hangat yang baru samada Mursi telah melakukan sesuatu mengikut aspirasi rakyat ataukah aspirasi kelompoknya semata-mata dengan mengemukakan draf perlembagaan baru.

Isi dan isu draf perlembagaan baru

Perlembagaan baru menjadi perbincangan dari sudut isi kandongan yang dikatakan mempunyai beberapa perkara yang membimbangkan bagi sesetengah kelompok seperti kedudukan syariah, hak asasi, hak wanita dan hak pekerja. Isu-isu ini masih berada dalam daerah sensitif pengkritiknya yang dilihat dari berbagai perspektif. Satu lagi yang menjadi pertikaian ialah cara bagaimana draf perlembagaan itu dibuat di mana bagi sesetengah pihak ia dibuat dalam suasana yang penuh dengan kontraversi walaupun draf perlembagaan itu amat diperlukan. Mereka mengatakan adalah lebih baik ia dibuat dalam keadaan politik yang lebih stabil. Apapun, isu draf perlembagaan yang dijangka akan diluluskan hujung bulan Disember di Parlimen nanti terpaksa dibuat referendum kepada rakyat untuk dijadikan dokumen penting keabsahan usaha pendemokrasian selanjutnya.

Institusi kehakiman

Semasa artikel ini ditulis, Al Jazeera melaporkan bahawa Kelab Para Hakim telah pun mengisytiharkan tamatnya pemboikotan ke atas Presiden Mursi tempoh hari dalam isu dekri Presiden. Para hakim malah bersetuju untuk membantu dan membimbing proses draf perlembagaan baru yang dicadangkan oleh Mursi. Dalam satu tindakan yang agak mengejutkan orang ramai, Kelab Para Hakim menegaskan bahawa Presiden Mursi telah pun membuat konsesi dalam permohonan kekebalan dekri Presiden dan adalah menjadi tanggungjawab mereka menurut pengerusinya supaya draf perlembagaan baru diberi keutamaan buat masa ini untuk kepentingan revolusi rakyat.

Mursi melepasi halangan

Buat masa ini pengistyharaan para hakim memberikan kemenangan awal Mursi untuk meyakinkan rakyat bahawa beliau tetap komited untuk menjayakan agenda revolusi. Sokongan para hakim sangat diperlukan oleh Presiden saat ini dan nampaknya dia telah memiliknya. Presiden hanya perlu meyakinkan pembangkang seperti El Baradaie dan penentangnya yang lain untuk membuktikan keikhlasan beliau dan partinya untuk melangkah setapak lagi bagi mengisi kemenangan rakyat. Jalan masadepan yang tidak menentu adalah cabaran utama Presiden Mursi yang tertekan supaya beliau meletakkan jawatan, namun persistensi Mursi menjayakan agenda draf perlembagaan baru Mesir menunjukkan beliau tidak mudah tunduk kepada tekanan-tekanan ini. Apa yang menarik seterusnya ialah persoalan yang bermain dalam pemikiran para analisis iaitu apa yang akan berlaku lagi kepada politik Mesir post-Mubarak selepas halangan awal ini berjaya dilalui oleh Mursi? Tidak ada siapa yang mengetahuinya buat masa ini.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments