22 MAC — Tajdid adalah satu perkataan Arab yang bermaksud menjadikan sesuatu itu baru tanpa membuang keasliannya. Dari sudut istilah fiqhnya ia bermakna mengembalikan makna Islam dalam bentuknya yang asal mengikut keperluan semasa dengan berpandukan kepada prinsip-prinsip dari Al Quran dan Sunnah. Jadi konsep Tajdid adalah intipati Islam dan dari sudut mesej luarannya adalah sebagai satu tanda yang menggambarkan sifat kontemporari Islam. Dengan mafhum sedemikian bolehlah kita menyatakan bahawa ruang tajdid adalah peluang untuk mencipta pembaharuan dalam semua lapangan hidup yang terdedah dengan faktor zaman antaranya ialah politik, sosial dan ekonomi. Manakala semua sifat kontemporari adalah terdedah kepada penyesuaian zaman, prinsip aqidah, ibadah dan akhlaq tidak berubah dan kekal sampai bila-bila. Saya ingin memetik dari tulisan Prof Datuk Bakar Osman dalam artikelnya “Islam and the Challenge of Diversity and Pluralism” bahawa “the idea of tajdid is perhaps the most intrinsic to the Islamic tradition, and at the same time the most explicit in conveying the idea of the necessity of periodic changes to the understanding of religion in the light of permanence.”
Perbahasan saya di Parlimen hari ini banyak menyentuh tentang perlunya negara kepada tajdid demokrasi memandangkan isu hubungan antara agama dan etnik tidak menunjukkan tanda-tanda kemajuan walaupun ada perkembangan. Permusuhan dan eksploitasi isu agama berleluasa di kalangan ahli politik tanpa mereka memperdulikan kesannya kepada hubungan antara agama dan etnik yang agak rapuh di negara ini. Begitu juga peranan media yang tidak membantu untuk memperbaiki keadaan malah bersedia “dilacurkan” untuk menambahkan kebencian antara agama. Pemberitaan Utusan Malaysia yang membawa tajuk besar muka depan “Kristian Agama Resmi” pada tahun lalu adalah contoh peranan media yang tidak konstruktif kepada memupuk hubungan. Ia jelas mempunyai motif politik sempit untuk menyerang DAP dengan menggunakan isu agama. Akhirnya isu ini telah menimbulkan kemarahan yang asasnya hanyalah satu berita palsu yang tidak ada buktinya. Saya mempersoalkan apakah ini satu gambaran masadepan hubungan antara agama di Malaysia?
Suasana rapuh ini sebenarnya adalah satu kelompongan yang berlaku atas sikap rakyat Malaysia yang belum bersedia untuk bercakap tentang hubungan anatara agama secara terbuka. Alasan ini adalah satu peluang untuk pihak tertentu menunggang isu agama mengikut keinginan dan kehendak selera politik masing-masing. Saya mencadangkan dengan semangat Tajdid yang dianjurkan oleh Islam supaya intipati demokrasi itu diberi makna dengan menerima kepelbagaian bagi melanggani multi-ethnic dan multi-agama dengan lebih effektif. Ini sedikit pun tidak bercanggah dengan Islam kerana prinsip syura dengan makna sebuah institusi dapat memenuhi kehendak sedemikian.
Atas semangat Tajdid juga, saya menegaskan bahawa parti saya iaitu Parti Islam Se Malaysia (PAS) telah kekal hingga hari ini dengan mengolah prinsip perjuangannya tanpa menggadaikannya mengikut keperluan semasa. Dari Negara Islam kepada Negara Kebajikan adalah satu dinamika semangat Tajdid, malangnya bagi sesetengah orang dianggap sebagai menggadaikan perjuangan. Kepada mereka saya menyarankan memahami Fiqh Tajdid supaya jangan “melalak” di Parlimen mendakwa PAS hilang arah perjuangannya tetapi sebenarnya mereka dah hilang kewarasan kerana gagal memahami keperluan Tajdid.
Ucapan saya diganggu oleh Kulim Bandar Baru, saya tidak tahu apa yang dicelahnya kerana suaranya umpama orang yang hilang arah dan tidak terpandu hujahnya. Sudahlah celahannya itu mengganggu ucapan saya, fakta yang diucapkan tidak berbutir tapi suaranya lebih kepada seorang histeria yang panas dibaca ayat-ayat Al Quran kepadanya melalak tanpa dia mengetahui apa-apa. Saya meneruskan ucapan dengan menyentuh tentang budaya Wasathiyah. Saya hanya mempersoalkan, apakah makna wasathiyah atau kesederhanaan apabila PM dan Isterinya berbelanja boros dan mewah. Saya mohon penjelasan nanti dari Menteri penjelasan bil harijadi PM berjumlah RM79k, bagaimana belanja majlis pertunangan anak PM RM400k dan beli-belah Isteri PM dengan bil RM350k? Perbelanjaan lawatan PM ke Khazastan sebanyak RM1 juta untuk dua hari? Malulah kepada kemurniaan Wasathiyah yang merupakan initipati ajaran Islam.
Saya tidak tahu adakah ini ucapan terakhir kami ahli Parlimen ataukah kami mempunyai satu lagi peluang pada sidang Julai nanti. Apapun, itu terpulanglah kepada PM Wasathiyah untuk menentukan persoalan ini.
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments