Opinion

Adakah Melayu secara semulajadinya lemah?

JAN 2 — Saya baru sahaja pulang dari Houston, Texas selepas menghadiri Muktamar Tahunan Malaysian Islamic Study Group (MISG) sebagai penceramah jemputan. Pada mulanya, MISG menjemput Dr Asyraf Wajdi Dasuki, calon Parlimen Umno yang tewas di Tumpat pada pilihan raya umum lalu berserta YB Salehuddin Ayub, Ketua Pemuda Pas dan Ahli Parlimen Kubang Kerian berserta saya sebagai panel di dalam forum mengenai masa hadapan umat Islam dan Melayu di Malaysia. Malangnya, atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan kedua-dua mereka tidak dapat hadir dan saya digandingkan dengan wakil NGO untuk forum tersebut. Namun Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Idris Haron merasmikan Muktamar tahun ini.

MISG merupakan sebuah pertubuhan yang sudah bertapak sejak 1976 lagi ketika gelombang kebangkitan Islam mula berkembang di Malaysia dan seluruh dunia. Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dan mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Dr Mohammad Nur Manuty merupakan presiden pertama MISG. YB Dr Puad Zarkashi, Ahli Parlimen Umno dari Batu Pahat pula pernah aktif bersama MISG sewaktu beliau di Amerika dahulu.

Di dalam forum bersama wakil NGO, saya tekankan tiga aspek: pertama tradisi Islam di dalam menegakkan keadilan untuk semua sejak zaman Rasulullah s.a.w. Kedua, memelihara muafakat perlembagaan termasuk Islam sebagai Agama Persekutuan, Hak-Hak Keistimewaan Orang Melayu, Kedudukan Bahasa Melayu, Kedudukan Raja-Raja Melayu. Ketiga, bagi memartabatkan kaum Melayu di Malaysia kita mesti mengambil pendekatan baru yang menekankan memberi peluang untuk Melayu yang bersaing sama-rata dengan orang lain di samping memastikan golongan miskin yang majoriti besarnya Melayu dibantu secara langsung. Ini berbeza dengan tindakan afirmatif berasaskan kaum yang ada pada hari ini.

Namun apa yang benar-benar menarik perhatian saya ialah respons mahasiswa. Rata-rata pandangan mereka cukup berani. Apabila ada yang mengutarakan bahawa pandangan saya mungkin terlalu idealistik, dan jangan kita mudah mempercayai kaum lain, mahasiswa mempertikaikan pandangan tersebut. Ada pula yang membawa hujah bahawa Melayu ini secara semulajadinya lemah, dan di dalam persaingan terbuka kita pasti terpinggir.

Pandangan bahawa Melayu ini lemah sama ada secara genetik atau budaya ini bukanlah pandangan baru. Malah, Syed Hussein al-Attas di dalam “The Myth of the Lazy Natives” telah membuktikan bahawa idea ini mempunyai akar umbi di dalam propaganda penjajah bagi menjustifikasikan projek kolonialisasi mereka. Tun Dr Mahathir Mohamad memanjangkan pandangan ini menerusi “Dilema Melayu”, bahawa orang Melayu secara genetiknya lemah hasil keadaan Tanah Melayu yang kaya raya dengan hasil-mahsul bumi dan budaya mengahwini saudara-mara.

Pada masa yang sama, perspektif “Cultural Deficit” ini menjadi sandaran kerajaan Singapura pimpinan Lee Kuan Yew untuk meminggirkan kaum Melayu di Singapura, sebagaimana diulas secara mendalam oleh Lily Zubaidah Rahim dalam “The Singapore Dilemma”. Pendekatan ini sesuai dengan dasar elitis dan kepercayaan besarnya factor genetik dalam kecemerlangan manusia yang menjadi pegangan Kuan Yew.

Malah, ironisnya, pandangan inilah yang digunakan Umno bagi menyatakan kita tidak boleh mengubah dasar-dasar yang ada. Logik mereka, memandangkan Melayu ini semulajadinya lemah, maka sekiranya kita beralih kepada sistem yang tidak berasaskan kaum, maka sudah semestinya kaum lain akan mengatasi orang Melayu.

Tetapi pandangan saya berbeza. Sejarah menunjukkan orang Melayu pernah menjadi pedagang dan pelayar hebat. Kerajaan Negeri Melaka membuktikan kebolehan orang Melayu mentadbir sebuah pusat perdagangan utama dunia. Dengan datangnya penjajah, akhirnya orang Melayu dipisahkan dari sektor-sektor produktif ekonomi kapitalis penjajah seperti perladangan, perlombongan dan perniagaan. Syarikat-syarikat besar didominasi penjajah, perniagaan kecil dan sederhana serta perlombongan orang Cina sementara perladangan dan sektor-sektor professional orang India. Orang Melayu dikekalkan dalam pertanian tradisional dan jawatan rendah politik dan pentadbiran.

Justeru, ketika negara mencapai kemerdekaan, orang Melayu terpinggir dari ekonomi moden. Situasi ini menjadi semakin serius sehingga akhirnya memuncak dengan peristiwa 13 Mei 1969. Atas kesedaran bahawa keadaan tersebut tidak boleh dibiarkan berlarutan, kerajaan pada waktu itu di bawah pimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru.

Di dalam banyak sektor, DEB berjaya mengangkat martabat Melayu. Lahirnya MISG itu sendiri lantaran dasar kerajaan pada masa itu menghantar ramai pelajar khususnya Melayu ke luar negara. Kelas menengah Melayu yang ada pada hari ini berikutan pelaksanaan DEB.

Walaubagaimanapun, DEB itu sendiri dilihat sebagai satu dasar sementara bagi mengatasi kemelut yang melanda orang Melayu pada waktu itu. Allahyarham Tun Dr. Ismail Hussein, yang meninggal dunia sebagai Timbalan Perdana Menteri, menegaskan bahawa dasar ini merupakan program sementara.

Tidak dinafikan, aspek budaya memainkan peranan. Budaya sama ada mahukan kejayaan dengan cepat atau menekankan usaha. Budaya mementingkan pembelajaran ataupun tidak. Namun, saya merasakan budaya ini bukanlah sesuatu yang mutlak dan harus dinilai bersama elemen-elemen lain. Malah, apabila kita melahirkan pendekatan yang memanjakan sesuatu kaum, maka sudah semestinya budaya kaum tersebut tidak menekankan sifat berdikari.

Paradoks DEB ialah akibat kejayaannya sebelum ini, maka kini kesannya terhadap orang Melayu yang paling terpinggir semakin berkurangan. Sebelum adanya kelas menengah Melayu seperti hari ini, majoriti besar orang Melayu merupakan golongan miskin.

Tetapi hari ini, kerana DEB merupakan tindakan afirmatif berasaskan kaum, maka asalkan namanya Melayu atau Bumiputera, tidak dibezakan sama ada mereka itu kaya-raya atau papa-kedana. Lebih menyedihkan lagi, kelompok elit berkepentingan Umno menggunakan dasar ini untuk mengambil saham Bumiputera, membolot kontrak-kontrak lumayan dan mempertahankan amalan rasuah — semua di atas nama “kepentingan Melayu”.

Alhamdulillah, ramai mahasiswa yang bersetuju dengan pandangan saya bahawa pendekatan tindakan afirmatif tanpa mengira kaum — yang mana Melayu susah akan dibantu dan pada masa yang sama bukan Melayu yang susah juga akan dibantu sama — adalah dasar paling relevan untuk Malaysia hari ini. Serentak dengan itu, sudah semestinya Melayu yang sudah berjaya dibenarkan bersaing dengan rakyat Malaysia yang lain.

Yang paling menarik perhatian saya ialah apabila masyarakat professional Melayu di Amerika yang turut hadir membuktikan bagaimana mereka dapat berjaya di Amerika walaupun cuma pendatang di sana. Ada yang bekerja sebagai perunding teknologi maklumat, arkitek malah

memiliki firma teknologi di Lembah Silikon. Tidak dinafikan mungkin dalam satu peringkat kehidupan mereka, mereka menerima faedah DEB — mungkin kerja di syarikat berkaitan kerajaan atau menerima biasiswa — tetapi akhirnya mereka dapat berdikari. Itu semangat sebenar DEB.

Bukan memerangkap Melayu dalam mentaliti bahawa mereka perlu dibantu selama-lamanya. Jelas sekali, manusia itu lemah kerana latarbelakang sosio-ekonomi mereka, bukannya semulajadinya lemah. Allah s.w.t. tidak sekali-kali menjadikan mana-mana kaum itu lemah berbanding yang lain, melainkan keadaan persekitaran dan pembentukan budaya mereka yang menghalang mereka untuk maju ke hadapan.

NIK NAZMI NIK AHMAD merupakan ADUN Seri Setia, Selangor dan turut menjawat Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor serta Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia. Beliau menulis blog di www.niknazmi.com. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments