Opinion

Adakah Umno berani berubah?

MAC 27 — Dalam ucapan perasmian Pemuda, Wanita dan Puteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan pilihan Umno jelas, berubah atau rebah. Najib menyatakan beliau insaf bahawa generasi muda tidak menerima budaya politik Umno.

Persoalannya, adakah mesej ini datang dari hati? Kata-katanya manis, tetapi tanda-tandanya sebaliknya. Adakah beliau punya keazaman politik untuk memulakan perubahan dalam Umno?

Saya khuatir apa yang kita lihat ialah di sebalik pengisytiharan ini, Najib kelihatan masih cenderung mengambil jalan pintas untuk mengekang suara rakyat. Dengan membandingkan situasi hari ini dengan 1970, tahun di mana ayahandanya Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein mengambilalih kuasa, Najib membayangkan pemusatan kuasa dan penghakisan kebebasan rakyat.

Baru-baru ini saya bertemu seorang teman untuk minum kopi. Beliau nasihatkan saya, tulislah sebuah buku dan terbitkannya segera. “Masa kau tak panjang aku fikir. Naik sahaja Najib, mungkin akan muncul Operasi Lalang 2! Baik lontarkan gagasan kau sebelum terlambat.”

Minggu ini kita saksikan petandanya. Harakah dan Suara Keadilan digantung. Gas pemedih mata ditembak di ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Selambau. Polis bertekad menghalang ceramah Anwar di Bukit Gantang.

Beberapa insiden terbaru menandakan mesej jelas cuba dihantar — Pakatan Rakyat mencetuskan kekacauan: insiden di Pejabat MCA Sungai Petani, provokasi terhadap Karpal Singh, kekacauan di Kuala Kangsar selepas kejatuhan Kerajaan Negeri yang sah di Perak. Ini mungkin memberikan justifikasi untuk sekiranya satu tindakan besar-besaran akan diambil. Rakyat harusnya berwaspada terhadap “agent provocateur” yang mencari peluang mencetuskan huru-hara.

Jika benar telahan ini, maka terbuktilah tarikan kepada pimpinan baru Umno dan Najib untuk menyekat gelombang rakyat yang mahukan keterbukaan dan perubahan. Tarikannya jelas — dalam suasana kemelut ekonomi dan politik, itu merupakan jalan pintas untuk kembali mengawal keadaan. Apatah lagi bagi mereka yang bernostalgia tentang zaman Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun, kita harus sedar bahawa banyak kemelut yang kita hadapi hari ini akibat punah-ranahnya institusi yang kita warisi — sama ada institusi kehakiman, perkhidmatan awam dan media. Petualang terbesar yang bertanggungjawab merupakan Dr Mahathir. Beliau berusaha memusatkan kuasa kepada institusi Perdana Menteri dan melenyapkan prinsip pemisahan kuasa yang selama ini memastikan keluhuran Perlembagaan dipatuhi. Sistem yang Najib warisi jauh lebih rosak berbanding dengan apa yang wujud pada zaman ayahandanya.

Apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mewarisi pucuk kepimpinan negara, beliau memulakan proses penjenamaan semula pada tahun 2004, maka rakyat mendapat lebih ruang untuk bersuara dan berfikir. Tindakannya lebih bersopan. Beliau juga berani membebaskan Anwar.

Malangnya, Pak Lah tidak membina semula institusi-institusi tempang yang diwarisinya. Beliau mungkin tidak campurtangan sebagaimana Dr Mahathir, tetapi tindakan memperkasakan institusi juga tidak dilakukan. Beliau melantik Datuk Zaid Ibrahim bagi meperkenalkan reformasi dalam sistem kehakiman, tetapi Zaid gagal dan terpaksa meletak jawatan apabila kecewa melihat penentangan terhadap perubahan di dalam kabinet Pak Lah. BPR digantikan SPRM, tetapi di awal-awal lagi SPRM menunjukkan kegagalannya memberi imej sebagai badan bebas.

Maka kini, kita saksikan bibit-bibit bermulanya kembali ke zaman Dr Mahathir. Golongan jumud yang takutkan perubahan melonjak gembira melihat institusi-institusi kerajaan diperkakaskan dengan kasar bagi menyekat kemaraan politik rakyat. Golongan berkepentingan yang takut diketepikan ghairah memberi nasihat agar institusi PM kembali berkuasa.

Pun begitu, saya menyambut baik kenyataan Ketua Pemuda Umno yang baru, Khairy Jamaluddin dan juga rakan debat saya di TV, Datuk Puad Zarkashi yang mengkritik tindakan Umno menghalang media internet dari turut serta di dalam Perhimpunan Agung Tahunan Umno tahun ini. Saya berharap keberanian mereka tidak berakhir di situ dan dapat menentang sebarang langkah ke belakang yang diambil Umno.

Saya menaruh harapan jika rakyat terus berani menunjukkan keberanian untuk menolak dakyah lapuk pimpinan Umno ini, hasrat Umno akan gagal. Semangat yang ditunjukkan rakyat pada 8 Mac 2008 ketika mana keberanian rakyat mengejutkan bukan sahaja pimpinan Umno malah ahli nujum politik harus diperbaharui untuk menghadapi cabaran terbaru.

Kestabilan negara tidak lagi dicapai dengan politik adu-domba dan durjana. Kestabilan politik tidak boleh dicapai dengan pemusatan kuasa dan penafian hak rakyat. Pembangunan ekonomi tidak boleh dijamin dengan kerajaan yang takutkan rakyatnya.

Kali ini perjuangannya lebih getir, apatah lagi Umno sudah sedar bahawa rakyat mula menolak mereka. Tetapi dengan izin Allah s.w.t., sekiranya rakyat tidak gentar, tidak ada sebab kita tidak boleh menang sekali lagi dan menyelamatkan Malaysia yang kita cintai. Generasi mudalah memikul tanggungjawab terbesar bagi memastikan negara kita benar-benar berubah.

NIK NAZMI NIK AHMAD merupakan ADUN Seri Setia, Selangor dan turut menjawat Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor serta Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia. Beliau menulis blog di www.niknazmi.com. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments