APRIL 9 — Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai sudah membuat keputusan.
Masing-masing mengekalkan parti yang menang di sana — Keadilan, PAS dan BN — dengan majoriti yang lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.
Sebelum 8 Mac 2008, pilihan raya kecil umumnya merupakan sebuah pertandingan yang dimenangi BN. Hanya sekali-sekala pembangkang dapat meraih kemenangan — antaranya di Johor Baharu pada 1988, Arau 1998 dan Lunas 2001.
Sebab-sebabnya jelas — pada pilihan raya kecil seluruh jentera BN dan kerajaan boleh menumpukan usaha mereka di kawasan tersebut.
Jalan-jalan boleh dibina, jutaan ringgit boleh diberikan kepada sekolah, masalah-masalah yang selama ini tak dipedulikan boleh diselesaikan dengan sekelip mata.
Tetapi berikutan 8 Mac 2008, senarionya berubah. Di Permatang Pauh, Keadilan menang dengan majoriti lebih besar dan di Kuala Terengganu, PAS merampas kerusi Umno. Waktu itu yang dipersalahkan ialah kepimpinan lemah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Apatah lagi, Tun Dr Mahathir Mohamad masih mengkritik Pak Lah bertalu-talu.
Kali ini situasinya berbeza. Bukan sahaja Pakatan Rakyat menghadapi tiga pilihan raya kecil serentak (Keadilan sahaja bertarung di Kedah dan Sarawak, sedangkan BN menampilkan tiga parti berbeza untuk setiap kawasan) tetapi “mood” Umno sudah pulih apabila naiknya Datuk Seri Najib Razak dengan slogan “Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Semangat BN berkobar-kobar dengan bebasnya dua tahanan ISA Hindraf ditambah pula kembalinya Mahathir ke Umno. Tanpa membuang masa, Mahathir terus berkempen di Bukit Selambau dan Bukit Gantang.
Alhamdulillah, keputusan di kedua-dua baik untuk Pakatan Rakyat, dengan majoriti lebih besar. Penyokong Umno mendakwa PAS menang dengan undi bukan Melayu, tetapi mereka juga harus sedar di sebalik retorik kaum yang mereka dendangkan, tarikannya untuk pengundi Melayu sudah sampai ke tahap maksimanya. Masih wujud bilangan pengundi Melayu yang ramai yang memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat — seperti mana diakui Mahathir, mustahil untuk Keadilan menang di Bukit Selambau dan PAS di Bukit Gantang dengan pengundi bukan Melayu semata-mata.
Sedangkan, dahulu kekuatan BN dan Umno ialah kebolehan memenangi kerusi-kerusi campuran. PAS cuma boleh menang di kerusi-kerusi Melayu di Utara dan Pantai Timur, sementara DAP pula cuma boleh menang di kerusi-kerusi Cina.
Kerusi-kerusi campuran ini merupakan kubu kuat BN, di mana parti-parti pembangkang tidak boleh bermimpikan untuk menang. Bukit Selambau dan Bukit Gantang tidak boleh ditembusi sehinggalah 8 Mac 2008.
Malah, selepas gelombang Reformasi meletus, kerusi-kerusi Melayu dikurangkan, digantikan dengan kerusi-kerusi campuran memandangkan Umno pimpinan Mahathir begitu takutkan pengundi Melayu pada waktu itu. Wira-wira Melayu dalam Umno tidak berkata apa-apa pun pada waktu itu kerana melihatkan ini cara menjaga masa depan politik mereka.
Penyokong-penyokong Umno juga harus akur, bilangan ahli Parlimen Melayu meningkat dari 123 kepada 130 pada Pilihan Raya Umum ke-12, cuma mereka kini lebih ramai dari PAS dan Keadilan.
Hakikatnya, di dalam negara majmuk seperti Malaysia, hanya politik yang bercorak inklusif mampu mendapat tempat di majoriti rakyat. Sentimen yang ditunjukkan Umno menggambarkan “1Malaysia” itu cuma satu lagi langkah “branding”.
Tetapi juga kita harus tawadduk, mengenalpasti apakah cabaran yang masih wujud bagi Pakatan Rakyat, bukan sahaja di Sarawak tetapi di sebalik kemenangan kita di Semenanjung Malaysia.
Di Sarawak, kelebihan yang ada pada BN pada pilihan raya kecil sebelum ini masih kukuh. Situasi ni sama dengan kawasan luar bandar Melayu di mana maklumat alternatif masih kurang. Pakatan Rakyat harus mencari jalan untuk menang di kawasan-kawasan ini, yang menjadi tempat di mana Umno dan BN bertahan selepas gelombang perubahan 8 Mac 2008.
Jelas dari hari pertama beliau menjadi PM, Najib mencuba dasar “triangulation” iaitu untuk mengangkat politik era Najib mengatasi kedudukan tradisi BN dan Pakatan Rakyat dengan melangkaui kedua-duanya. Maka Najib cuba memperlihatkan beberapa perubahan termasuk pembebasan tahanan ISA, langkah mengkaji semula ISA dan menamatkan penggantungan Suara Keadilan dan Harakah.
Dengan ini, Najib cuba mengambil beberapa isu diperjuangkan Pakatan Rakyat untuk dijadikan isu-isu BN juga.
Adalah menarik untuk diperhatikan sejauh mana Najib akan mempunyai keazaman politik meneruskan langkah ini dengan bayang-bayang Mahathir dan tekanan dari akar umbi Umno. Atau adakah Najib akan terus mendendangkan perkara yang sedap didengar sedangkan institusi-institusi seperti mahkamah, media dan lain-lain lagi akan diperalatkan untuk meneruskan cengkaman mereka terhadap demokrasi di Malaysia?
Yang pastinya, Pakatan Rakyat harus meningkatkan kerjasama, melebarkan organisasi dan menyebarkan mesej kita dengan lebih meluas agar rakyat punyai keyakinan Pakatan Rakyat sebagai “government-in-waiting” dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
Itu tugas kita.
NIK NAZMI NIK AHMAD merupakan Adun Seri Setia, Selangor dan turut menjawat Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor serta Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia. Beliau menulis blog di www.niknazmi.com. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments