OCT 24 — Bapa saya menyertai perkhidmatan kerajaan pada tahun 1958, selepas tamat belajar di Universiti Malaya (waktu itu di Singapura). Selepas tiga dekad dan melalui empat orang Perdana Menteri dari Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj hinggalah Tun Dr Mahathir Mohamad beliau bersara sebagai seorang pegawai kanan kerajaan. Apabila beliau bersara, Negara sedang melalui kemelut krisis kehakiman.
Sepanjang tempoh itu, bapa saya sering meluahkan bagaimana kakitangan kerajaan asalnya sebuah institusi yang cukup dihormati, bukan sahaja di negara kita malah di seluruh rantau Asean. Namun, ketika zaman Mahathir, kakitangan kerajaan semakin hilang kebebasan mereka dan ahli politik (khususnya Mahathir) menjadi semakin berpengaruh.
Selepas mengambil alih Kerajaan Negeri Selangor, saya menjadi bukan sahaja ADUN, tetapi juga Setiausaha Politik kepada Menteri Besar. Kini, saya dapat melihat sendiri secara dekat fenomena ini.
Pertama sekali, kita perlu mengucapkan penghargaan kita kepada majoriti besar kakitangan kerajaan yang dapat bekerjasama dengan baik dengan Pakatan Rakyat bagi membolehkan peralihan kuasa berlangsung walaupun ada masalah-masalah kecil.
Namun, apa yang tidak dapat dinafikan bagaimana institusi-institusi kerajaan di negeri Selangor, seperti di seluruh negara, tidak berada pada tahap memuaskan. Bermula dengan zaman Mahathir, parti politik mula mendominasi institusi-institusi kerajaan, dengan kuasa dipusatkan pada orang-orang politik. Menteri Besar akan menurunkan “pena sakti” di atas kertas-kertas cadangan projek pihak-pihak tertentu, dan jabatan-jabatan kerajaan akan melaksanakannya. Tiada “cost-benefit analysis”, pandangan-pandangan jabatan kerajaan tidak diendahkan dan prosedur-prosedur tidak dipatuhi. Pembahagian tugas antara ahli politik sebagai pembuat dasar dan kakitangan kerajaan sebagai pelaksana dasar sudah dicabuli.
Hasilnya, keputusan-keputusan tidak lagi dibuat untuk kebaikan rakyat dan negeri Selangor, tetapi untuk kepentingan ahli-ahli politik dan kroni-kroni mereka. Projek-projek dilaksanakan tidak semestinya kerana keperluan rakyat, tetapi untuk kepentingan politik. Kalau perlu pun projek tersebut, kosnya tidak kompetitif kerana dipilih bukan berasaskan kebolehan dan kos terendah.
Nasib baik, dalam musim pemilihan Umno tahun ini, mereka tidak lagi memegang tampuk Kerajaan Negeri Selangor. Kalau tidak, lebih banyaklah projek-projek yang akan dijalankan sebagai sebahagian daripada kempen merebut jawatan Umno memandangkan Selangor ini dilihat sebagai lubuk emas.
Ahli politik datang dan pergi, tetapi institusi kerajaan akan terus wujud. Institusi inilah yang akan memastikan Kerajaan Negeri berfungsi dengan baik untuk faedah rakyat Selangor. Institusi berfungsi sebagai “software” dalam pembangunan. Singapura, misalnya, membangun dengan pesat sehingga menjadi antara ekonomi terkaya di Asia dengan gabungan infrastruktur yang baik (hardware) dan institusi yang cemerlang.
Tetapi amalan BN hari ini menumpukan kepada “hardware” (kerana ada ruang memperkayakan kroni dan mengisi dana kempen) sedangkan “software” terabai. Penerima anugerah nobel ekonomi, Douglass North, menyifatkan pemerkasaan institusi sebagai kunci pembangunan ekonomi. Akibatnya, ekonomi Malaysia gagal bersaing dengan negara-negara seperti Korea, Taiwan dan Singapura yang dahulunya berada pada tahap sama dengan negara kita.
Pemerkasaan institusi akan membantu keputusan berasaskan kriteria, bukannya nafsu serakah ahli politik. Ia juga akan membebaskan potensi dan keupayaan kakitangan kerajaan bagi membangunkan negeri Selangor, bebas dari campurtangan orang politik. Sememangnya, reformasi ini memerlukan keazaman politik yang tinggi, memandangkan Pakatan Rakyat perlu mengawal nafsu untuk memusatkan kuasa kepada kita pula. Tetapi ini amatlah penting, sehingga akhirnya, kita akan lahirkan sistem yang tidak terlalu bergantung personaliti politik dan menjamin kepentingan rakyat terjaga.
Inilah cabaran terbesar Kerajaan Pakatan Rakyat. Sekiranya kita berjaya, kita akan wariskan Malaysia yang baik untuk anak-anak kita.
Nik Nazmi Nik Ahmad merupakan ADUN Seri Setia, Selangor dan turut menjawat Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor serta Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia. Beliau menulis blog di www.niknazmi.com. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments