NOV 7 — Kemenangan Barack Hussein Obama menandakan era baru politik Amerika. Jika di Malaysia gelombang perubahan melanda Mac , giliran Amerika pada bulan November. Krisis kewangan yang begitu serius dan Perang Iraq yang berpanjangan menjadikan Obama “favourite” dalam detik-detik akhir menjelang pilihan raya. Ini berbeza dengan Malaysia yang mana tidak ramai kecuali Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa individu lain sahaja yang begitu yakin Pilihan Raya Umum Ke-12 tersebut akan memperlihatkan BN kehilangan majoriti dua pertiga dan 5 negeri.
Tetapi seperti di Malaysia, Obama akan dibebani oleh harapan menggunung rakyat terhadap perubahan. Bagaimana beliau menangani harapan ini akan menentukan sama ada beliau dapat meninggalkan perubahan politik mendalam di Washington DC dan seluruh dunia. Cabaran ini bertambah rumit dengan keadaan gawat dunia hari ini. Sebagaimana pemimpin Pakatan Rakyat kini sedar, cabaran memenangi pilihan raya secara mengejut tidak sebesar menguruskan kemenangan tersebut dan mengimbangi harapan dan keinginan rakyat yang jamak.
Sheikh Hamza Yusuf, pengasas institut Zaytuna di Amerika Syarikat ketika berucap di persidangan Islamic Society of North America pada September lalu, menjelaskan dua sebab Obama wajar disokong berbanding John McCain: pertama Obama mengambil sikap anti-perang di Iraq dari awal, dan kedua beliau bertekad menutup Guantanamo Bay yang mana banyak tahanan termasuk dari Al-Qaeda diseksa.
Harapan saya secara peribadi kepada Obama akhirnya cumalah satu, walaupun saya tahu ianya hampir mustahil menjadi realiti. Jika saya dapat menghubunginya (pakailah Facebook, nasihat seorang rakan wartawan!) saya akan mencadangkan beliau membaca karya sarjana John Mearsheimer dan Stephen Walt, “Israel Lobby and US Foreign Policy”.
Buku tersebut mengisahkan bagaimana dasar pro-Zionis Amerika sebenarnya merugikan bukan sahaja Timur Tengah tetapi Amerika sendiri. Yang saya risaukan, bagi menghadapi kritikan dari golongan konservatif bahawa beliau sebenarnya seorang Muslim dan pro-Palestin, Obama akan menjadi lebih pro-Zionis daripada biasa. Kenyataannya sebelum ini memperlihatkan kecenderungan sedemikian.
Ketika pilihan raya umum Malaysia berlangsung Mac lepas, seorang wartawan antarabangsa menghubungi saya. Apabila memikirkan kempen saya di Seri Setia, di celah-celah flat-flat kos rendah Desa Mentari dan Lebuh Raya Damansara Puchong mendapat perhatian akhbar antarabangsa, saya terus bersemangat. Tetapi saya terkejut dengan cadangannya.
“Saya nak tampilkan awak sebagai Barack Obama Malaysia boleh?"
"Hah?" saya agak terkejut. "Janganlah. Saya bertanding kerusi DUN di Selangor. Dia bertanding Presiden Amerika Syarikat. Mana persamaannya?"
"Tak adalah, tapi anda sama-sama muda. Sama-sama mendendangkan agenda perubahan. Sama-sama menggunakan Internet secara meluas di dalam kempen."
Saya menolak permintaannya dengan sopan kerana ia langsung tidak masuk akal. Keesokan hari, saya membaca berita di tentang “Obama Malaysia” dengan gambar saya. Itu pelajaran penting tentang berurusan dengan kenakalan wartawan!
Saya mula mengikuti berita mengenai Obama pada pemilihan Presiden Amerika Syarikat tahun 2004, apabila Bush memenangi penggal keduanya. Waktu itu Parti Demokrat kelihatan kehilangan arah melawan arus Parti Republikan pimpinan Bush. Walaubagaimanapun, kemenangan Obama sebagai Senator antara sebilangan kecil berita baik untuk Demokrat. Namanya, Barack Hussein Obama, menarik saya terhadap berita tersebut dan ucapannya di Konvensyen Demokrat 2004 menarik perhatian media.
Apabila ura-ura beliau hendak bertanding Presiden Amerika Syarikat mula timbul, sekali lagi saya teruja. Saya membeli buku-buku “Dreams from My Father” dan “Audacity of Hope” yang dikarangnya. Saya melihat beliau mempunyai potensi besar untuk menyatukan Amerika yang sering digamit perang budaya atau “cultural wars” antara golongan liberal dan yang konservatif. Kepelbagaian dunia tergambar di dalam Obama, memungkinkan beliau mempunyai pemahaman global yang lebih mendalam berbanding Bush. Tetapi saya tetap realis, merasakan Obama patut bertanding tahun 2012, bukan sekarang.
Tetapi harapan akhirnya menjadi kenyataan dengan kemenangan Obama. Adakah harapan saya untuk Obama menghadapi isu Palestin dengan kejujuran juga dapat menjadi kenyataan?
NIK NAZMI NIK AHMAD merupakan ADUN Seri Setia, Selangor dan turut menjawat Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor serta Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia. Beliau menulis blog di www.niknazmi.com. Pandangan ini merupakan pandangan peribadi.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments