Opinion

Adakah perlumbaan senjata jawapannya?

21 JAN — Saya tertarik membaca rencana Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah dalam Utusan Malaysia, “Bertindak Sebelum Terlambat”. Rencana tersebut memetik kenyataan Lee Kuan Yew bahawa Singapura memerlukan pertahanan yang kuat bagi berhadapan dengan Malaysia dan Indonesia.

Ridhuan seterusnya membandingkan perbelanjaan pertahanan Singapura yang berjumlah RM35.5 bilion berbanding dengan perbelanjaan Malaysia sebanyak RM11.013 bilion pada tahun 2010. 

Ridhuan kesal kelemahan Malaysia dalam berurusan dengan Singapura dalam soal air dan memberi amaran tentang pengaruh republik tersebut di dalam Koridor Iskandar. Beliau mendakwa Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat begitu ghairah menyambut Kuan Yew dan mendakwa bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang berada di bawah pengaruh Singapura. 

Akhirnya, beliau mencadangkan agar keuntungan Petronas sebanyak RM50 bilion dibelanjakan dalam sektor pertahanan bagi menyaingi Singapura. 

Pada dasarnya, saya bersimpati dengan sentimen diluahkan oleh Ridhuan. Siapa tidak ingin melihat tanah tumpah darahnya maju dan berjaya berbanding degan negara lain? 

Kita tidak boleh memperlekehkan realiti bahawa Singapura mendahului kita dari sudut pertahanan dan pelbagai bidang lain. Hakikatnya, realiti ini bermula sejak mereka keluar dari Malaysia pada 1965 lagi dan berterusan hingga ke hari ini. Namun mereka mampu berbuat demikian kerana ekonomi mereka berkembang pesat, jauh meninggalkan Malaysia. 

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita antara Tanah Melayu dan Singapura berada pada kadar hampir sama pada 1960. Namun kini, KDNK per kapita Singapura hampir lima kali ganda berbanding Malaysia. Lebih mendukacitakan lagi, KDNK keseluruhan Singapura yang digunakan untuk mengukur saiz ekonomi sesebuah negara, mengatasi Malaysia pada 2010 buat pertama kalinya. KDNK Singapura adalah AS$210 bilion berbanding KDNK Malaysia, negara yang hampir 500 kali ganda lebih besar mencatat KDNK AS$205 bilion. 

Justeru, ketika Barisan Nasional (BN) berulang-ulang mendakwa mereka telah membawa pembangunan dan kemajuan kepada rakyat, realitinya ialah negara kita semakin ketinggalan berbanding negara-negara yang pernah berada pada tahap sama dengan kita seperti Korea Selatan, Taiwan dan Singapura. Ridhuan seharusnya bertanya kepada pimpinan BN yang mentadbir negara selama ini, bagaimana kita boleh mengalami nasib sebegini sedangkan kita dikurniakan dengan hasil mahsul yang melimpah ruah?

Cadangan Ridhuan untuk menggunakan RM50 bilion kekayaan Petronas untuk perbelanjaan pertahanan sekaligus mengatasi Singapura juga wajar dipertikai. Perbelanjaan pertahanan yang melampau juga akan menimbulkan masalah menerusi perlumbaan senjata serta mempunyai impak negatif kepada ekonomi negara.

Antara sebab kejatuhan rejim Komunis Soviet Union ialah apabila ekonomi Soviet semakin lesu, rejim pemerintah mengambil keputusan meneruskan perlumbaan senjata dengan Amerika Syarikat. Sudah semestinya mereka gagal bersaing dengan Amerika memandangkan ekonomi Amerika berkembang pesat ketika ekonomi Soviet makin hambar. 

Apatah lagi, dalam peningkatan perbelanjaan pertahanan negara sekalipun, masalah rasuah memastikan sebahagian besar perbelanjaan tersebut bukan dibelanjakan untuk meningkatkan pertahanan negara tetapi untuk memperkayakan kelompok kecil kroni-kroni yang rapat dengan pemerintah. Dalam perbelanjaan kira-kira RM7 bilion untuk kapal selam Scorpene yang dikaitkan dengan kes Altantuya dan pesawat Sukhoi, hampir RM1 bilion dibelanjakan untuk “komisyen”.

Masalah rasuah dalam pembelian senjata bukanlah masalah baru atau hanya timbul di negara kita, tetapi masalah ini sepatutnya dianggap sebagai pengkhianatan terbesar kepada negara memandangkan perbelanjaan untuk mempertahankan negara diselewengkan untuk mengisi kocek pihak kroni!

Ridhuan seharusnya sedar, apabila beliau membangkitkan kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyyah, bahawa punca kemerosotan empayar tersebut adalah ekonomi yang lesu, sistem pendidikan yang ketinggalan dan rasuah dalam sistem pemerintahan selain dari agenda musuh-musuh luar.

Saya khuatir negara kita akan ditewaskan oleh negara luar bukan kerana kalah dalam perlumbaan senjata tetapi akibat faktor-faktor sama yang menimpa Kerajaan Turki Uthmaniyyah dan keruntuhan peradaban-peradaban besar yang lain. 

Saya juga tidak faham kenapa Ridhuan menganggap Tuan Guru Nik Aziz ghairah menyambut Kuan Yew ke Malaysia. Permintaan untuk bertemu itu datang dari Kuan Yew, dan beliau bertemu dengan pemimpin Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Cuma yang luar biasa dan sepatutnya mendapat perhatian Ridhuan ialah buat pertama kalinya dalam sejarah negara Kuan Yew meminta bertemu dengan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansur secara empat mata. Kuan Yew tak pernah minta bertemu dengan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mahupun Tun Jeanne Abdullah. 

Saya juga berharap Ridhuan dapat membangkitkan tentang persoalan yang dibawa oleh Tun Dr Mahathir Mohammad bahawa bagaimana kira-kira 700 lori membawa pasir keluar dari Johor ke Singapura setiap hari.

Ketika media arus perdana menumpukan tentang masalah kecurian pasir di Selangor, tidak banyak diperkatakan tentang masalah di Johor yang membabitkan keselamatan negara dan kehilangan kira-kira RM40 juta sebulan hasil Kerajaan Negeri Johor. 

Saya tidak mempertikaikan perlunya Malaysia mempunyai pasukan tentera yang mantap dan mampu mempertahankan negara. Namun, dalam era moden ini, kekuatan tentera sahaja tidak semestinya menjamin keselamatan ataupun keutuhan sesebuah negara.

Pada hakikatnya, kekuatan sesebuah negara sebernarnya berada dalam kebebasan rakyatnya, perpaduan mereka dan keterbukaan mereka untuk menerima perubahan dalam arus dunia mahupun menyesuaikan diri mereka kepada kenyataan dunia global.

Saya berharap Ridhuan berhati-hati sebelum cuba memainkan sentimen tertentu dalam memenuhi agenda politiknya. Silap-silap, semakin banyak pekung pihak yang cuba dipertahankannya akan terbuka dalam usahanya tersebut. 

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments