Opinion

Kes Anwar dan ertinya buat kita

10 Februari ini Mahkamah Persekutuan akan memberikan keputusannya terhadap kes fitnah kedua ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hanya Tuhan mengetahui adakah ini penutup kepada penderitaan yang dilalui Anwar sejak fitnah pertama 17 tahun lalu.

Kami mahu Anwar bebas. Ini melangkaui sentimen parti mahupun politik, tetapi berasaskan keadilan (dengan huruf yang kecil). Seperti kes pertama, kes kedua ini dipenuhi bukti beliau tidak bersalah, sementara bukti yang menjadi sandaran pendakwaan pula bercanggah dan tidak berasas. Acap kali kita rasa hendak tergelak dengan kecelaruan kes pendakwaan, tetapi ini bukan lawak jenaka - ini melibatkan sekurang-kurangnya 5 tahun kebebasan Anwar.

Ketempangan sistem kehakiman kita memberi kesan bukan saja kepada Anwar, mahupun kepada pimpinan Pakatan Rakyat (PR) dan pembangkang, tetapi juga kepada aktivis masyarakat malah rakyat Malaysia yang biasa yang mengharapkan keadilan. Sebagaimana kata Anwar beliau yakin dibebaskan sekiranya mahkamah adil dan saksama. Dan mahkamah yang adil dan saksama adalah harapan seluruh rakyat Malaysia.

Lebih dari itu, kita terbelenggu dengan krisis negara yang amat kronik sejak krisis berkembar ekonomi dan pemecatan Anwar pada hujung dekad 1990-an lalu. Pemimpin Umno-BN serta NGO-NGO mereka yang terdesak memainkan sentimen kaum dan agama saban hari. Namun Akta Hasutan dan undang-undang lapuk lain digunakan ke atas pimpinan PR dan aktivis masyarakat.

Kejatuhan harga minyak yang menyaksikan harga pendapatan utama negara susut secara drastik serta pengenalan cukai GST pada tahun ini akan memberi kesan negatif terhadap ekonomi negara. Elit politik dan ekonomi terus rakus sebagaimana disaksikan dengan skandal 1MDB yang menyaksikan rakyat menanggung beban hutang semakin menggunung.

Atas sebab itu slogan Rakyat Hakim Negara diguna pakai – rakyat mahu suara menentukan hala tuju negara yang sudah jauh tersasar. Bila sistem politik dan ekonomi sudah terpisah jauh dengan rakyat, rakyat akan memberontak sebagaimana kita lihat di Eropah hari ini dengan kebangkitan parti-parti kecil sebelum ini khususnya yang disaksikan dengan kemenangan Syriza di Greece.

PR harus kembali merapatkan safnya. Kita tidak boleh lagi melihat kepentingan parti-parti kita terpisah daripada kepentingan rakyat yang ramai – kita punya tanggungjawab kepada suara 51% rakyat Malaysia yang mahu pentadbiran baru menggantikan rejim Umno-BN.

Ini merupakan keinginan anak muda, malah barisan pimpinan muda PR sebagai terakam dalam sebuah forum minggu lepas yang saya hadiri bersama ketua Pemuda PAS Pusat dan ketua Pemuda Sosialis DAP. Kita bersama untuk mengembalikan keyakinan rakyat bagi Malaysia yang bebas dan adil.

Justeru, kita harus berdepan dengan isu yang wujud di antara kita dan mencari penyelesaiannya. Hakikatnya, PAS, PKR dan DAP memerlukan satu sama lain untuk berjaya.

Dengan kes Anwar membayangi kita, ini masa untuk bekerja keras, bukan mencari alasan atau membuat penangguhan. Mari kita mencari wawasan bersama untuk negara kita dan berusaha memenangi semula negara kita. – 9 Februari, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments