Opinion

Rafizi Ramli dan agenda generasi reformasi

2 SEPT — Pengumuman rakan lama saya, Rafizi Ramli untuk bertanding jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat 2010 telah menarik pelbagai reaksi daripada teman-teman anggota Keadilan. 

Pelbagai tuduhan dilontarkan terhadap Rafizi. Pertama, bahawa beliau adalah orang baru. Apabila hujah ini disangkalkan memandangkan beliau terlibat dalam Reformasi sejak hari pertama dan merupakan Exco Pemuda Keadilan 2001-2003, timbul pula persoalan beliau adalan calon dari “atas” dan menidakkan peranan Reformis. Akhir sekali ramai pula membangkitkan mengapa beliau mengundur diri selepas 2003 dan kembali hanya pada 2009.

Soal Rafizi menidakkan peranan Reformis bagi saya tak pernah timbul. Pendirian Rafizi sejak menawarkan dirinya untuk pemilihan Ketua AMK adalah AMK sebagai sayap anak muda parti harus melebarkan sokongan bagi memastikan 4.6 juta pengundi muda menjadi kunci kemenangan Keadilan dan Pakatan Rakyat untuk sampai ke Putrajaya. 

Kata-kata beliau agar kita keluar dari “sentimentaliti melampau” mengundang kontroversi. Tetapi itu turut peringatan untuk dirinya juga, memandangkan Rafizi terlibat di demonstrasi jalanan sejak hari pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat. Malah sebelum pemecatan Anwar lagi Rafizi memainkan peranan sebagai Presiden Majlis Tertinggi Pelajar-Pelajar Malaysia di United Kingdom (UKEC) untuk menggiatkan hubungan dengan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Gabung Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS). 

Antara risalah terawal ketika Reformasi meletus, Suara Mahasiswa ditulis oleh beliau sendiri. 

Memang benar beliau kemudian terpaksa kembali ke Britain untuk menghabiskan pengajiannya. Pada waktu itulah saya ingat beliau mula menghubungi saya dan meminta saya menulis untuk laman Reformasi. Beliau menggerakkan Keadilan Antarabangsa Eropah serta Free Anwar Campaign bersama-sama Raja Petra Kamarudin serta memainkan peranan di dalam Pemuda Keadilan. Habis sahaja pengajiannya sebagai jurutera dan akauntan bertauliah, beliau pulang ke Malaysia menerusi Singapura memandangkan kepimpinan Pemuda Keadilan pada ketika itu mendapat maklumat bahawa beliau akan ditahan sekiranya memasuki melalui KLIA. Faris Musa (kini Timbalan Ketua AMK) lah yang membawa beliau pulang pada waktu itu. 

Perletakan jawatan beliau sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dan Exco Pemuda Keadilan pada 2003 juga dibuat di atas dasar prinsip. Waktu itu Ezam Md Noor sebagai Ketua Pemuda telah cuba memaksa Pemuda menerima kemasukan wanita ke dalam entiti baru AMK berikutan penggabungan dengan Parti Rakyat Malaysia. Apa yang dibangkitkan Rafizi ialah keputusan tersebut dibuat tanpa perbincangan dengan akar-umbi. Saya sendiri berbeza pendapat dengan beliau pada waktu itu apabila beliau bersama-sama Allahyarham Adlan Benan Omar bertemu saya memaklumkan keputusan tersebut. 

Namun beliau tidak seperti beberapa individu lain, termasuk Ketua AMK ketika itu yang akhirnya khianat pada perjuangan. Beliau meletak jawatan atas prinsip dan terus membantu rakan-rakan di dalam parti seperti Saiful Izham Ramli dan YB Nurul Izzah Anwar sekalipun menumpukan tumpuannya kepada kerjaya. Beliau tidak menjual maruahnya untuk menyerang parti. Malah kerjaya korporatnya yang cukup cemerlang pada usia begitu muda kini menjadi aset yang begitu berguna untuk Keadilan bagi memberikan perspektif berbeza berbanding dengan anak muda yang hampir sepenuh masa kerjayanya berada di dalam politik (termasuk saya sendiri). 

Lebih menarik lagi beliau turut menyumbang idea kepada Anwar dalam Debat Harga Minyak dengan Datuk Ahmad Shabery Cheek pada 2008 dahulu. Akhirnya pada 2009 Rafizi mengambil keputusan meninggalkan kerjaya korporatnya untuk bersama parti.

Namun kita juga jangan hanya memandang ke belakang. Benar, kita perlu menghargai permulaan perjuangan kita dan reformis-reformis yang berani. Tetapi usaha membanding-bandingkan sumbangan masing-masing (sama ada Shamsul Iskandar Md Akin, Chegu Bard mahupun Hasmi Hashim semua ada sumbangan berharga mereka) serta mengecilkan Reformasi hanya kepada penyertaan demonstrasi jalanan 1998 tidak membantu kita sampai ke Putrajaya. Dengan jalan dan latar kita yang belbagai, kita semua merupakan Generasi Reformasi. 

Majoriti generasi muda hari ini khususnya pengundi 21-30 tahun tidak turut serta dalam peristiwa Reformasi (berbeza dengan pengundi 31-40 tahun). Mereka terlalu muda. Saya sendiri tidak sempat ke jalanan tahun 1998-1999 memandangkan saya masih di asrama (berbeza dengan beberapa pelajar yang turut serta dan terhumban ke dalam lokap walaupun di sekolah menengah seperti staf saya Saifullah Zulkifli — Tingkatan 1, dan Allahyarham Salman Nasaruddin — Tingkatan 2). Cuba kita tanya mereka dan sudah tentu ramai yang cuma tahu sedikit tentang apa yang berlaku lebih sedekad lalu. 

Lawan dan rakan kita juga semakin kreatif dalam mendekati anak muda. Dahulu Pemuda Umno juga terperangkap dengan pandangan ke belakang (misalnya menghunus keris) tetapi hari ini mereka cuba keluar dari “comfort zone” mereka. Hakikatnya kita banyak tarikan untuk mendapat sokongan anak muda (gabungan Generasi Reformasi di jalanan, aktivis NGO mahupun di Parlimen dan DUN) namun setakat ini kita semua masih gagal menggemblengnya. Cabaran generasi Facebook dan Twitter juga berbeza dengan generasi muda sebelum ini, mereka lebih cenderung menjadi pengundi atas pagar dan bukannya pengundi tegar parti seperti generasi terdahulu. 

Apa yang Rafizi cuba tonjollkan ialah agar kita menilai agenda setiap calon Ketua AMK untuk memenangi setiap jalur anak muda yang ada pada hari ini: graduan muda yang tiada kerja, mat dan minah kilang yang bergelut dengan gaji rendah di kilang, malah mat rempit di jalanan. Inilah yang dinanti-nantikan anak muda yang mahu melihat Pakatan Rakyat menjadi kerajaan alternatif (government-in-waiting) bukannya pembangkang semata-mata. Menang atau kalah dalam pemilihan parti, audiens utama kita seharusnya rakyat umum yang akan mengundi di dalam PRU-13 nanti. 

Berikutan sentimen banding-beza antara calon akan dilihat sebagai ribut dalam cawan yang tak tertampung, yang akhirnya merugikan Keadilan untuk jangka masa panjang. Ini berpotensi untuk menjadikan rakyat khususnya generasi muda muak dan jelek untuk mendekati Keadilan. Fokus pemilihan ialah agenda pemerkasaan parti, bukan mengheret parti dalam kancah polemik banding-beza yang tiada kesudahan

Jangan kita jadikan pemilihan 2010 ini suatu pertandingan syok sendiri yang menjadi tidak relevan untuk golongan muda malah rakyat Malaysia secara umum. Sebaliknya hakikat Keadilan berani mengadakan pemilihan satu anggota satu undi adalah kekuatan kita untuk kita tonjolkan persaingan sesama saudara seperjuangan untuk memenangi hati pengundi muda menjelang PRU-13. 

* Nik Nazmi Nik Ahmad kini merupakan Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia. Beliau mula melibatkan diri dengan Keadilan pada usia 19 tahun pada tahun 2001 dan menyertai Keadilan Cabang Kelana Jaya pada tahun 2005. Beliau telah menulis buku Mendepani Zaman: Melayu untuk Abad ke-21 yang diterbitkan Marshall Cavendish pada tahun 2009 dan juga mempunyai blog di http://www.niknazmi.com. Tulisan ini dibuat di atas kapasiti peribadinya.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments