Opinion

Adakah memanggil orang ‘bimbo’ itu seksis?

Seorang artis yang dahulunya pernah bercinta dengan seorang putera raja, terlibat dalam pertengkaran dalam Internet, hanya kerana salah faham.

Peminat kepada artis tersebut memberi komen "macam KimK" yang memberi maksud, gambar tersebut seperti seorang selebriti dari Amerika Syarikat, Kim Kardashian.

Apabila artis ini membaca komen ini dan salah faham, dia terus melantun dengan kemarahan dan menyerang semula peminatnya itu dan berkata "pakai je tudung tapi suka mencarut", saya paraphrase ayatnya.

Lalu segerombolan tentera tidak berbayar menyerang artis ini, mengkritik dan memaksa artis ini memohon maaf secara terbuka.

Terus ada yang mengeluarkan video temubualnya dulu yang menonjolkan kebodohan seperti dia tidak tahu "apa itu benua" dan haiwan mamalia terbesar atas darat.

Lalu orang ramai pun memanggilnya, bimbo.

Bimbo ini adalah gelaran untuk wanita cantik, tetapi mempunyai tahap pemikiran yang cetek atau tidak pandai dalam akademik.

Persoalan utama dalam topik ini adalah, apakah panggilan ini seksis, dan kita sebagai masyarakat yang mahukan keserataan gender pada abad ke-21, boleh sesuka hati memanggil orang, bimbo?

Saya mengajukan soalan ini tatkala buku novel saya, "Lelaki Eksistensial", pernah dituduh sebagai buku yang mempromosikan seksisme kerana menonjolkan seorang lelaki yang menggunakan segala yang ada dalam dirinya untuk memuaskan kehendaknya dengan mencari ramai wanita untuk memuaskan kehendaknya.

Sementara ya, saya akui watak lelaki itu agak seksis, tetapi pada penghujung buku tersebut ia jelas menonjolkan kelemahan lelaki tersebut dan pada akhirnya lelaki itu tunduk selepas hidupnya hancur.

Sama ada sedar atau tidak, penulis juga sebenarnya terperangkap dalam “political correctness” dan menceritakan cerita sebenar yang dunia ini memang seksis.

Tetapi jika kita hanya sekadar membiarkan itu berlaku tanpa menyedari itu adalah perkara yang buruk, kita tidak akan berubah menjadi sebuah masyarakat yang lebih baik.

Saya mendapat tahu gelaran untuk lelaki kacak tapi bodoh ialah himbo, tetapi gelaran ini tidak meluas jika dibandingkan dengan bimbo.

Bukanlah saya nak menyebelahi pihak dalam konflik internet ini, cuma saya sebagai seorang penulis novel dan pemerhati masyarakat ini sekadar mahu bertanya, apakah memanggil orang seperti artis itu bimbo, adalah seksis?

Bagaimana jika dia tidak cantik, bagaimana jika dia lelaki?

Dia cuma akan digelar bodoh, itu sahaja?

Tetapi kalau dia tidak cantik, ia akan dicaci maki bukan sahaja daripada segi kebodohannya, tetapi juga dimaki dari segi fizikalnya.

Adakah adil jika kita hamburkan kata-kata seperti "bimbo" hanya kerana dia cantik tapi bodoh?

Kerana seperti kawan Twitter saya Alicia Izharuddin berkata, "kebodohan itu tidak mengenal gender".

Dan saya, sebagai seorang lelaki, berjanji pada diri ini, akan terus belajar untuk memahami wanita.

Ada masa saya salah dan silap, tegurlah. Ada masa saya degil, biarkan saya berfikir dulu sehingga saya mengakui kesalahan saya.

Kerana wanita yang melahirkan saya, dan saya amat mengagumi wanita, kerana kekuatan yang mereka ada, kerana itulah saya bertanya soalan ini untuk saya terus belajar dari hari ke hari – tentang wanita. – 5 Disember, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments