Opinion

Adakah ‘tweet’ anda mampu halang keganasan, kekejaman?

Macam-macam berlaku pada tahun ini, sedar tak sedar kita sudah menghampiri penghujung 2015.

Bermacam-macam perkara, bermacam-macam peristiwa, kejadian, semuanya kita – orang yang memiliki alat kuasa bernama smartphone – kita rakamkan, kita luahkan, kita share, kita retweet, dan ada masa, kita block.

Baru-baru ini, Paris dibom. Kecoh satu dunia bahawa ibu kota Perancis yang dipropagandakan kapitalis sebagai ibu kota cinta – diletupkan di kelab malam dan di Stadium Stade de France.

Lalu bermacam-macam jenis orang lalu lalang dalam “timeline” Twitter dan Facebook saya.

Ada yang bersolidariti dengan menukar gambar Facebook dengan warna bendera Perancis, ada yang mempersoalkan kenapa tidak ada bendera Palestin dan tidak juga yang keliru hashtag #PrayForParis itu untuk ibu kota Perancis itu, atau Paris Hilton, personaliti TV yang popular dekad lalu.

Saya tergelak seketika melihat di antara mereka ini saling berperang dalam media sosial, seolah-olah seperti mereka sedang berebut pakaian yang dijual secara lelong dalam jualan gudang.

Ada yang kata di sana termakan dakyah Freemason dan Rothchilds sebab hanya peduli tentang Paris dan bukan Palestin, ada yang kata di situ tidak prihatin terhadap isu dunia semasa.

Penatnya dunia macam ni.

Dalam satu hal, saya bersimpati kepada keluarga dan sahabat handai penduduk Paris yang terkorban dalam tragedi itu.

Dan dalam satu hal juga, saya juga bersimpati dengan mereka yang terkorban dalam perang menentang keganasan ciptaan pentadbiran George W Bush seperti di Afghanistan, Iraq, Somalia, Syria, Libya, Lebanon, Chechnya, Sudan Selatan dan Darfur.

Tetapi kalau setiap hari saya hendak mengenang semua bentuk tragedi di dunia ini, berapa kali saya harus tukar gambar di media sosial saya?

Golongan pejuang Islam sering kata bangsa yang paling lama terseksa dalam perang ialah orang Palestin, tidak, ada satu perang antara puak-puak yang tak pernah berhenti di tengah Afrika, sejak zaman penjajahan British, sampai sekarang tidak pernah aman.

Jadi berapa kalilah agaknya saya perlu tweet, atau update status di Facebook untuk menunjukkan betapa prihatinnya saya terhadap masalah dunia ini?

Tragedi berada di mana-mana, di depan mata kita pun ada. Setiap hari ada saja lelaki yang menitiskan keringat menjual DVD haram, atau menjual goreng pisang, yang sedang diugut parang, atau dirogol dan dijual anaknya untuk membayar hutang.

Setiap hari ada saja imigran yang diugut anggota RELA yang berbekalkan uniform dan kad kuasa kerana tidak memiliki permit kerja.

Setiap hari ada saja yang ketakutan kerana tempat tidurnya iaitu sebuah bangku batu di tepi Jalan Raja Laut, kerana pegawai penguat kuasa bandar raya sedang melakukan operasi menghalau golongan gelandangan di kota.

Setiap hari ada saja kanak-kanak yang diculik dan didera secara fizikal, mental dan seksual kerana kerakusan sesetengah orang.

Berapa banyak tragedi saya hendak karangkan dalam media sosial saya setiap hari?

Tetapi, kalau saya karangkan semua tragedi tersebut dalam tweet atau status Facebook, apakah ia akan mengubah apa-apa?

Berapa banyak anda tweet atau status Facebook anda, tidak akan mengubah apa-apa kecuali satu kelegaan dalam hati merasakan diri sudah berbuat sesuatu kepada dunia.

Hello! Satu retweet ke, 10 retweet ke, 1,000 retweet pun yang anda tweet tentang betapa jahatnya militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis), Amerika Syarikat atau Israel, apakah mereka akan berhenti?

Apakah dengan kuasa tweet anda, anda akan berjaya menghentikan Isis, dan Isis pun letak senjata dan siram pokok bunga?

Apakah dengan kuasa share gambar bayi kepala pecah di Gaza mampu menginsafkan Israel dari terus menggasak penduduk Palestin, dan Israel terus berkecimpung dalam bidang membuat labu sayong?

Sebaliknya ia cuma satu kelegaan daripada penyesalan hidup dalam kealpaan konsumerisme – maka untuk melepaskan penyesalan itu, kita luahkan dalam bentuk maya.

Isis atau Israel atau semua pihak yang sedang berperang ini tidak akan peduli berapa  banyak retweet anda lah. Buktinya, Bajet 2016 pada minggu ini diluluskan oleh Kabinet walaupun ramai orang dalam Twitter dan Facebook maki hamun dengan bajet kali ini.

"Who controls the past, controls the future" (Siapa yang mengawal masa lalu, akan mengawal masa depan), itu kata George Orwell dalam bukunya bertajuk “Nineteen Eighty-four”, yang dikarangnya pada 1948.

Hari ini saya kata, "who controls the media, controls the mind and soul of human beings" (Siapa yang mengawal media, dia yang akan mengawal minda dan jiwa manusia).

Siapa control media ya? Err, Freemason? Illuminati?

Siapa pun lah yang kawal media ini – dia memang hendak kamu semua hamba rakyat – untuk bergaduh, berdebat dan menjadi “keyboard warrior” terhadap sesuatu isu di media sosial, sebab anda semua dah lalai dengan apa yang dinamakan dunia maya ini.

Saya? Saya cuma tulis puisi cinta terhadap seseorang, dan cuma “like” video kucing. Saya ini seorang yang mengabaikan, pasal dunia? – 21 November, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments