Opinion

Alkisah pengangkutan awam negara kita

Kenali Salim. Salim dari kecil hingga ke tua menggunakan pengangkutan awam untuk berulang alik di kawasan metropolitan Kuala Lumpur.

Dari zaman bas mini warna merah jambu, bas Sri Jaya, bas Cityliner, Intrakota, hingga ke zaman Rapid KL – dia terus menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

Apabila bertanya pada Salim, kenapa dia tidak membeli kereta, Salim hanya menjawab "tidak mampu". Boleh saja pinjam bank, dia jawab "cukuplah dengan hutang PTPTN, hutang itu dan hutang ini. Hutang kawan-kawan lagi. Saya tidak mahu banyak hutang."

Pada hari minggu, menurut Salim, dia pernah menunggu bas selama dua jam di Maluri untuk ke pusat bandar kerana mahu ke Dapur Jalanan untuk membantu dan berjumpa kawan.

Pada seorang yang akalnya waras, menunggu bas selama dua jam bermakna ia satu yang menyakitkan hati.

Tetapi, kalau hari minggu itu, mungkinlah, jalanraya sesak, orang ramai mahu ke kompleks membeli belah, untuk berdating atau membeli barang, mungkin bas sukar untuk ulang-alik. Salim faham. Dah 30 tahun dia membesar menggunakan pengangkutan awam di negara ini.

Kadang-kadang bila menaiki bas, bas penuh kronik kerana kekurangan bas. Pernah saja Salim hampir terjatuh keluar dari bas gara-gara pintu bas rosak dan berlaku tolak-menolak dalam bas.

Satu hari, ketika sedang membaca The Malaysian Insider, yang melaporkan dari Bernama, dia terbaca satu laporan tentang kajian dari Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tentang 71% pengguna pengangkutan awam di negara ini berpuas hati dengan perkhidmatan ini. 

Salim berfikir, apakah dia berpuas hati, atau dia berada dalam kelompok 29% yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan ini?

Bila masa survey ini dibuat? Bila masa pengguna pengangkutan awam tegar seperti Salim ini ditanya "apakah encik berpuas hati dengan perkhidmatan kami, encik?" semasa dia naik bas?

Lepas itu, ada pula kata, "Syukurlah kau tunggu bas 2 jam saja. Negara Zimbabwe jangankan 2 jam, bas pun tiada".

Oh, bersyukurlah Malaysia ini tak semundur Zimbabwe.

"Mana pulak si Syed Hamid Albar dapat angka 71% ini?" tanya Salim, geram.

Salim baca berita-berita lain. Ternyata berita-berita 'syok sendiri' dan berada di 'kayangan' ini memang suka dibuat oleh pentadbiran negara ini.

Ekonomi sedang krisis, tetapi cuba memberitahu rakyat "Everything is okay, don't worry".

Seperti Salim, saya cuba bertenang setiap kali "berita lawak" dari sumber-sumber kerajaan yang cuba menenangkan rakyat yang "masalah tidak berlaku, ia cuma diada-adakan pihak pembangkang" dan saya tahu kalau saya percaya berita ini, saya percaya saya sedang menipu diri.

Bila agaknya kerajaan, atau segala apa dalam isi dalamnya ini nak sedar yang sekarang kita ada masalah?

Bilalah agaknya masyarakat di negara ini hendak sedar yang semua ini tidak berdasarkan keadaan yang sebenar?

Kenapa asyik hendak membandingkan negara kita, Malaysia – dengan negara-negara mundur yang ekonominya sudah hancur? Bukankah perdana menteri kita pernah kata tentang ekonomi kita yang "our fundamental is strong" dan "kegawatan ekonomi kita akan pulih sekelip mata"?

Pada hari-hari akhir kejatuhan Kesatuan Soviet, rakyat di Moscow menonton berita yang melaporkan ekonomi Soviet makin pulih, tanaman gandum bertambah dan macam-macam lagi dongeng untuk menenangkan rakyat supaya jangan marah.

Sampai satu tahap, penipuan ini tidak dapat dibendung lagi dan rakyat bangkit menghumban rejim itu.

Bila agaknya kerajaan ini mahu sedar yang rakyat zaman sekarang ni makin ramai yang tidak mudah diperbodohkan?

Atau kita – rakyat terbawah ini, lebih rela kata "Ya aku tahu ini semua menipu tetapi apa boleh buat". Sampai bila? – 21 November, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments