Opinion

Apa perasaannya bila tokoh yang disanjungi tipu kita?

Semasa saya sedang menonton drama bersiri House of Cards, saya fahami satu perkara: dalam politik, semua adalah binatang buas yang bersarang di bangunan Dewan Rakyat, dan semua sama ada akan membaham, atau menyusun strategi untuk tidak dibaham.

Ahli politik peduli apa, asalkan dia boleh naik dan dia terselamat.

Lalu saya terfikir tentang satu peristiwa yang berlaku baru-baru ini.

Sekumpulan orang, daripada pembangkang, aktivis dan ahli Umno yang memberontak dengan Najib Razak, berhimpun dan menyatakan pendirian untuk menggulingkan Najib Razak.

Kalau diperhatikan tweet atau status Facebook, atau tulisan kolum saya selama 2 tahun saya menulis di sini, tulisan saya tidak pernah senang dengan Najib Razak.

Beginilah, saya mulakan cerita. Pada satu petang Sabtu pada 2001, saya ke konsert gig underground untuk berpesta ria.

Maklumlah, tingkatan 5 masa tu. Beban belajar untuk lulus SPM dilepaskan habis-habisan dalam gig underground.

Saya jumpa dia ini, bercakap di khalayak anak muda yang ke konsert gig, tentang betapa teruknya Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad.

Sudah tentulah saya terkejut. Tujuh belas tahun saya hidup, belum pernah saya dengar ada orang berani kutuk perdana menteri Malaysia.

Kecuali pembangkang sebelum ini yang berapa entah kerat, kemudian masa Reformasi 1998 mereka yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berani.

Tetapi siapa lelaki ini? Selidik punya selidik, lelaki ini mempunyai sejarah yang panjang.

Dia manusia ketiga paling cool yang saya pernah kenal pada masa itu, selain Tom Morello dari Rage Against The Machine, dan Che Guevara, revolusi Argentina yang bersama-sama komrad pada Revolusi Cuba.

Saya tidak pernah berpeluang untuk berbual dengan dia, tetapi saya ikuti tulisannya dalam laman web anti-establishment yang cool dan chic lagi trendy.

Zaman blog bermula kencang pertengahan dan lewat 2000-an, dan dia kini seorang blogger. Setiap Rabu dia ada artikel yang cukup bagus tentang apa itu kapitalisme, apa itu politik, serta sengkang pada huruf "t" dan titik pada huruf "i" Mahathir Mohamad yang menurutnya semua temberang.

Saya mengakui, dia idola saya, selain Thom Yorke, Kevin Spacey, dan Chuck Palahniuk.

Dia memberi ilham, idea dan pengaruh besar saya dalam gaya tulisan atau fikiran, serta saya suka mendengar pandangannya.

Mungkin dia tak sedar, tapi saya anggap dia mentor saya.

Setiap sengkang pada huruf "t" dan titik pada huruf "i" dia, saya kagum.

Tapi apa yang berlaku pada hari itu agak menghibakan saya, mungkin dia pernah mengalami perasaan yang sama bila idolanya, Kassim Ahmad bertukar haluan.

Saya buka laman web The Malaysian Insider (yang masa itu serupa macam saya nak buka laman Pornhub, nak kena pakai VPN semua), dan saya nampak gambarnya duduk di belakang Dr Mahathir yang sedang membentangkan Deklarasi Rakyat.

Saya terkejut, seperti seolah-olah mendapat tahu kekasih sedang curang, atau seperti mendapat tahu gadis yang sedang saya crush rupanya sudah jadi tunangan orang.

Saya ingin sekali mengajukan soalan ini kepada dia: kenapa?

Saya faham dalam hidup ini penuh kesukaran, mencari rezeki di kota batu dan besi ini perlu berebut-rebut.

Selepas saya tenang, saya pun sedar, nak hidup memang macam tu. Kadang-kadang kita terpaksa buang maruah kita untuk terus hidup.

Dia menulis satu artikel panjang dalam blognya tentang kenapa dia perlu berdiri di belakang lelaki yang pernah mencampaknya dalam penjara.

Dia juga mengaitkan perbuatannya dengan apa yang dilakukan PKM semasa zaman Jepun dan bercerita tentang realpolitik.

Ya, saya juga mulai faham tentang perkataan realpolitik – terima kasih kepada Francis Underwood, saya faham, realpolitik ini ialah binatang.

Kita semua binatang. Kita mencipta konsep "manusia itu lain daripada binatang" kerana kita mahu merasakan diri kita lebih mulia daripada binatang lain.

Walhal kita sama saja, binatang.

Tak apalah, semua orang pun cari makan.

Mungkin lepas ini, agak mencabar juga saya nak percaya sengkang pada huruf t dan titik pada huruf i daripadanya.

Tak apalah, saya tetap hormat dia. Saya tetap pandang tinggi padanya.

Novel saya "Rokok Nan Sebatang", mengisahkan tentang roadtrip anak muda, adalah pengaruh besar daripada filem indienya yang dia buat pada pertengahan 1990-an.

Dalam filem itu ada dialog berbunyi, "dunia ini milik anak muda..

Ya, mungkin saya dah mula susah nak percaya sengkang huruf "t" dan titik huruf "i" nya, tapi dialog itu, yang itu, saya tetap percaya.

Mungkin dia sudah tua, dan tidak lagi muda, seperti dirinya, pada zaman Universiti Malaya. – 12 Mac, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments