Opinion

Apa salahnya pekerja asing jadi tukang masak di gerai?

Sebagai seorang yang belum ada rumahtangga dan tinggal di bilik sewa, saya sering membeli makanan dari luar.

Apabila saya tiba di gerai, saya perhatikan biasanya makanan saya disediakan oleh pekerja asing, seperti dari Myanmar, Vietnam, atau Indonesia.

Dan mungkin kadang-kadang mereka ada melakukan kesilapan, tetapi biasalah, siapa-siapa pun ada buat silap.

Tetapi, dalam laporan The Malaysian Insider pada 12 Julai 2014 yang lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengharamkan pekerja asing dari bekerja sebagai tukang masak di gerai-gerai makanan.

Dan saya ingin bertanya kepadanya, apa salahnya pekerja asing bekerja di gerai?

Saya akui, saya banyak mendengar keluhan dari orang ramai tentang kualiti masakan yang semakin menurun kerana munculnya kebanyakan pekerja asing bekerja di gerai.

Tetapi saya merasakan cadangan dari Lim terlalu simplistik kerana hanya menuding kepada satu pihak – pekerja asing.

Mungkin di kalangan mereka ini belum cukup latihan – tetapi saya rasa jika mereka belajar memasak masakan tempatan dengan tekun – mungkin mereka dapat memasak dengan baik.

Tetapi, ada yang berkata, "lidah tempatan lebih mengetahui tentang masakan tempatan berbanding lidah dari orang luar".

Saya berpendapat, memakan, dan memasak, adalah dua perkara berbeza.

Belum tentu akan ada orang tempatan yang dapat memasak dengan baik.

Dan kebanyakan dari pemilik gerai ini merupakan mereka yang dari usia emas dan biasanya mereka mewarisi perniagaan mereka kepada anak-anak.

Bagaimana jika anak-anak mereka tidak berminat dengan perniagaan ini? Bagaimana pula jika anak-anak ini tidak mampu memasak dengan baik?

Lim, saya memuji perubahan yang berlangsung di Pulau Pinang, yang kini semakin cantik dan lebih bersih, dan pentadbiran Tuan yang lebih baik dari sebelumnya.

Tetapi maaf, saya tidak boleh bersetuju dengan ini.

Mungkin Lim ada terbaca atau terdengar laporan dari luar negara terutamanya Britain mengenai dasar dari sebuah parti ekstrem kanan – United Kingdom Independence Party (Ukip).

Dasar Ukip yang mahu pekerja imigran dari Eropah Timur seperti Romania dan Ukraine serta dari Afrika untuk keluar dari Britain, ditentang hebat oleh masyarakat kerana ia bersikap tidak ubah seperti Perkasa di sana.

Jadi, apakah menghalang imigran untuk menjadi tukang masak di gerai ini bunyinya lebih kurang macam sama?

Saya percaya, tugas memecahkan tembok perkauman ini bukan sahaja perlu di kalangan kaum Melayu, Cina dan India serta penduduk asal di Malaysia sejak merdeka sahaja.

Memecahkan tembok perkauman juga meliputi kaum-kaum imigran yang datang ke sini seperti dari Pakistan, Bangladesh, Vietnam, Myanmar atau yang lain-lain.

Jika kita benci prejudis sesama kaum, kita juga patut benci dengan sikap prejudis kepada imigran yang membanting tulang berusaha untuk meneruskan hidup di bumi orang.

Kalau mereka buat salah, hukum mereka.

Tetapi jika mereka bekerja dengan baik, serta mematuhi undang-undang, saya rasa ia tak patut untuk menghalang mereka dari bekerja. – 18 Julai, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments