Opinion

Apa yang rakyat (dan menteri) faham tentang GST?

Pada minggu lalu, perbentangan Bajet (atau perkataan saya lebih gemar, Belanjawan) 2015  dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam perbentangan belanjawan tersebut, ada juga disebut satu sistem percukaian baru yang akan dilaksanakan pada April 2015, iaitu Cukai Barangan Dan Perkhidmatan, atau dikenali sebagai GST.

Menurut propaganda daripada kerajaan, saya difahamkan GST ini perlu dilaksanakan dalam usaha kita untuk menjadi negara maju menjelang 2020, yang ramai rakyat sendiri mungkin sudah skeptik atau tidak ambik pot lagi.

Menurut propaganda kerajaan lagi, GST ini dilakukan oleh negara-negara maju untuk menambahkan lagi pendapatan kerajaan untuk disalurkan semula kepada rakyat melalui infrastruktur lebih baik dan menitikberatkan kesejahteraan serta kebajikan rakyat.

Sekali dengar, macam satu hasrat yang suci dan murni. Rakyat berkorban sedikit demi kebajikan seluruh rakyat dalam negara.

Tapi saya tertanya-tanya, adakah saya sendiri selaku rakyat Malaysia, faham dengan sistem percukaian ini?

Terus-terang, saya tak faham tentang percukaian ini serta apa yang berlaku kepada saya dan seluruh rakyat jelata menjelang April 2015.

Saya tidak mahu mengambil sikap sesetengah penyokong pembangkang yang asyik membangkang tanpa menerangkan kenapa mereka membantah sesuatu dasar.

Tetapi macam mana saya nak bersetuju ke atas dasar ini – kalau perkara ini pun saya tak faham?

Bagi rakyat yang berpendidikan tinggi atau belajar dalam bidang ekonomi atau percukaian, mungkin mereka faham "sup huruf" yang bernama GST ini.

Tetapi bagi ramai rakyat jelata – mereka mungkin tidak faham langsung, yang mereka ingat, mungkin harga barang akan naik lagi selepas kenaikan harga petrol.

Apabila tidak faham sesuatu isu, maka akan timbullah spekulasi. Bila timbul spekulasi, menteri kata rakyat tidak faham.

Tugas menerangkan dasar ini sepatutnya dilakukan oleh menteri terbabit tetapi saya lihat di kalangan menteri sendiri pun sebenarnya mungkin tidak faham GST, sebaliknya tak sudah-sudah menyuruh rakyat bersyukur.

Ramai rakyat sendiri pun tak faham tentang bagaimana ia akan dilaksanakan, barang-barang apa yang kena, dan paling penting – berapa banyak harga barangan yang akan naik selepas pelaksanaan ini.

Jika para menteri Kabinet dapat menerangkan GST ini dengan baik tanpa ada kuntau dan auta, saya rasa rakyat kebanyakan seperti saya akan faham dan jika ia dilaksanakan dengan betul, ia mampu membawa negara ini menjadi sebuah negara maju – saya akan sokong.

Tetapi melalui propaganda dan penerangan yang saya rasa kurang jelas, serta menteri tak habis-habis suruh kita bersyukur – saya rasa ramai yang merasakan ini sesuatu yang akan membebankan rakyat.

Belum lagi cerita kuntau dari sebelah sana yang menakut-nakutkan orang ramai tentang momok hantu jembalang bernama GST ini.

Jadi, soalan saya – adakah Malaysia ini sebenarnya sudah bersedia melaksanakan GST ini? Kalau tanya kerajaan, memanglah mereka kata kita sudah bersedia. Tapi kalau tanya rakyat, ramai yang kalut dan tak faham.

Dan soalan paling penting, selepas perlaksanaan GST ini – duit itu nanti disalurkan ke mana? Adakah perlaksanaan ini akan dilaksanakan dalam penuh ketelusan tanpa ada selindung?

Sepanjang sidang bahas Parlimen mengenai belanjawan kali ini, macam-macam benda saya dengar daripada mulut menteri.

Daripada cerita peniaga cendol, subsidi minyak mampu bina 40 universiti, menteri pakai iPhone 6 – tapi tak ada pun menteri yang mampu menerangkan dasar percukaian ini serta apa yang perlu dihadapi oleh rakyat menjelang April 2015.

Dan apabila semua cerita jadi berbelit, rakyat malas nak ambil tahu – tup-tup terus GST dilaksanakan. Tahu-tahu April 2015, macam-macam barang naik harga.

Sebab ramai rakyat Malaysia – terutamanya yang merokok – selalu ambil tahu hal belanjawan ini tentang satu benda sahaja: Harga rokok naik atau tidak.

Jargon-jargon dan sup huruf-huruf ini, ramai tidak faham.

Macam-mana nak faham, menteri pun cakap macam tak faham.

Bukan sahaja cakap macam tak faham, derita rakyat pun menteri tak faham. – 18 Oktober, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments