Opinion

Apabila Ahmad Idham mengkritik pengkritik filem Melayu

Screenshot status akaunTwitter milik Ahmad Idham yang menggesa pengkritik filem mempunyai ilmu sebelum mengkritik. - Gambar Twitter. Screenshot status akaunTwitter milik Ahmad Idham yang menggesa pengkritik filem mempunyai ilmu sebelum mengkritik. - Gambar Twitter. Sepanjang minggu raya ini, saya banyak menghabiskan masa menziarahi rakan-rakan di rumah mereka.

Ketika menziarah, saya “tertonton” drama-drama atau filem Melayu kerana pada masa inilah musim stesen televisyen menyiarkan drama atau filem Melayu dengan lebih kerap berbanding sebelumnya.

Untuk manusia yang tidak memiliki televisyen seperti saya, pengalaman menonton filem Melayu zaman ini, bagi saya tidak ubah seperti satu penyeksaan zahir dan batin saya. Nak ketawa pun salah, nak menangis pun salah. Nak marah pun salah.

Lalu, semasa saya sedang dalam perjalanan menuju ke rumah sahabat untuk beraya, saya terbaca tweet daripada pengarah dan produser filem serta drama TV Melayu, Ahmad Idham.

Menurutnya dalam tweet itu, "wahai tin-tin kosong yang mentah, kalau nak bicara filem biarlah berilmu, masuk belajar dulu di universiti. Barulah kelas macam otai pengkritik yang sedia ada ni".

Bagi saya, tidak salah menyuruh orang belajar ilmu filem, atau masuk universiti.

Cuma bagi saya, apakah semua orang perlu masuk universiti dan belajar ilmu perfileman untuk mengkritik dan menonton filem?

Sebagai orang yang berkecimpung dalam bidang kreatif seperti seni ini, hasil kerja saya tidak sunyi daripada kritikan.

Pada awalnya saya juga bersikap defensif dan menghentam mereka yang mengkritik hasil kerja saya.

Sehinggalah pada akhirnya saya bermuhasabah diri dan menyedari itu bukanlah satu sikap yang baik dalam menghasilkan kerja seni.

Pada akhirnya saya berasa satu-satunya cara untuk terus maju dalam bidang seni ini ialah menerima kritikan dengan terbuka.

Saya akui tidak pernah menonton filem atau drama yang diarah oleh Ahmad Idham, atau filem yang mana dia menjadi produser.

Antara memori yang saya ingat tentang Ahmad Idham ialah drama Spanar Jaya sekitar lewat 90an di mana Wardina Saffiyah masih belum pakai tudung dan jadi "born again Muslim" yang suka marah-marah dalam Twitter.

Jadi, saya rasa saya tidak boleh sangatlah untuk bercakap tentang pandangan saya terhadap filemnya, apa lagi untuk mengkritik.

Cuma saya nak cakap satu perkara, iaitu mengenai saat-saat saya menemui “hidayah” untuk sedar dan insaf bahawa karya saya ini bukan hak milik eksklusif saya, sebaliknya milik semua orang.

Orang ada hak untuk mengkritik, memberi pandangan atau “membakulsampahkan” karya saya, kerana hasil kerja saya dicetak dan dijual kepada orang ramai.

Bersikap defensif bukanlah sikap yang baik untuk menjadi seorang penggiat seni.

Tapi itu satu hal. Satu lagi hal ialah tentang kenyataan "kena masuk universiti untuk kritik filem".

Semasa saya masih naif dan baru bergiat dalam bidang penulisan, ada seorang pengkritik buku bernama Maryam Lee mengkritik buku saya.

Pada mulanya saya buat tak “pot”, tapi makin lama saya rasa dia sudah melampau dan bermulalah drama bersiri dalam Twitter antara dia dan saya.

Saya berkata "kalau anda nak kritik penulis anda perlu jadi penulis dulu."

Pada akhirnya saya fikir, kalau semua jadi penulis, siapa nak jadi pembaca?

Lama-lama saya fikir ada kebenarannya daripada apa yang dikatakannya.

Disebabkan itu saya mengambil keputusan bermuhasabah diri dan menyedari langkah mengkritik pengkritik saya adalah langkah yang tidak patut saya buat.

Berbalik pada isu, kalau kita mengiakan tweet Ahmad Idham itu, apakah patut untuk saya mula memohon untuk masuk universiti dalam bidang perfileman, kalau saya nak menonton filem? Saya rasa itu kenyataan yang sangat naif dan tidak patut.

Lagipun, jika benar kata Ahmad Idham tu, kenapa ada sahaja pengarah filem yang hebat tapi tak pernah belajar di universiti dalam bidang perfileman?

Saya tidak perlu sebut nama-nama besar dalam perfileman dari luar negara, cukuplah kalau saya sebut satu nama yang cukup ikonik dalam bidang perfileman di negara ini.

Allahyarham Tan Sri P Ramlee merupakan seorang pelakon, pemuzik, dan pengarah filem Melayu cukup tersohor, tidak pernah pun masuk universiti. Tapi filemnya yang begitu ikonik serta hasil kerjanya merentasi sepanjang zaman. Ini bukti anda tidak perlu jadi seorang pelajar perfileman untuk menjadi pengarah hebat.

Lagipun kalau benar semua pelakon, pengarah atau produser filem dan drama TV negara kita ini merupakan produk universiti, kenapa drama TV dan filem Melayu ini begitu hambar?

Saya tak kata semua filem Melayu yang wujud pasca P Ramlee ini teruk, saya rasa saya ada juga menonton filem atau drama TV Melayu yang saya rasa sangat hebat.

Dari Jemapoh ke Manchester arahan Hishamuddin Rais misalnya, menerima pengiktirafan antarabangsa. Begitu juga dengan filem Bunohan, yang ditayangkan dalam festival filem di Kanada. Saya tak kata semua graduan atau pelajar universiti dalam bidang perfileman di negara ini teruk.

Saya percaya ada di kalangan mereka, ada yang betul-betul hebat, cuma karya mereka tidak diketengahkan atau tidak diberi perhatian sama ada peminat mahupun para cukong perfileman.

Cuma, apabila orang mengkritik, wajarlah kita untuk menilai semula hasil kerja kita, supaya kita dapat buat yang lebih baik daripada sebelumnya.

Cuma harapan saya kepada Ahmad Idham supaya dia mula bermuhasabah diri dan menerima kritikan dengan hati terbuka.

Di kesempatan ini juga, sempena hari raya Aidilfitri ini, saya ingin memohon maaf sekiranya terkasar bahasa atau bersikap defensif dengan pengkritik buku novel saya, terutama Maryam Lee yang sebenarnya menyedarkan yang saya bukanlah hebat mana.

Saya harap mungkin satu hari Ahmad Idham, akan terbuka hatinya untuk berlapang dada dengan pengkritiknya.

Saya juga berharap Ahmad Idham maju jaya dalam kariernya, dan untuk menjadi maju jaya, antara perkara yang paling penting ialah menerima kritikan dengan terbuka. – 2 Ogos, 2014.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments