Harga minyak naik lagi. Oh, seluruh rakyat gagak gempita menyerbu stesen minyak pada malam 1 Oktober untuk mengisi minyak RON95 dengan harga RM2.10 buat kali terakhir, sebelum ia naik 20 sen keesokan harinya.
Macamlah isi malam ini dapat bertahan selama berpuluh tahun.
Kadang-kadang saya fikir ia semacam satu konspirasi - mengumumkan harga minyak naik keesokan harinya - untuk mencipta panik. Ya, manusia masih mempunyai "herd mentality", menyebabkan semua kereta berpusu-pusu mengisi minyak macam esok tiada lagi minyak.
Sebagai seorang manusia yang lahir pada zaman kapitalis, dan petroleum sebagai bahan bakarnya, tidak dapat tidak, saya tidak dapat lari dari hakikat bahawa harga minyak akan sentiasa naik.
Tetapi, sikap menteri kita ini semacam "rilek je" bila harga minyak naik. Mungkin mereka betul-betul ingat yang kerajaan Malaysia benar-benar menanggung 3 bulan perbelanjaan setiap rakyat Malaysia dan mereka benar-benar ingat yang setiap rakyat Malaysia secara puratanya berpendapatan RM5,900 seperti laporan berita katakan.
Apabila harga minyak naik, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan boleh "selamba derk" berkata begini dalam laman sosial, Twitter:
"RON95 sebenar pasaran rm2.58 seliter. Harga di Msia rm2.30. Subsidi Kjaan 28 sen seliter. Diesel sebenar 2.52. Msia 2.20. Subsidi 32 sen. Tq."
Tak ada perasaan langsung. Seolah-olah rakyat kini sedang bermewah-mewahan dan sedang membakar duit untuk mengisi masa lapang.
Dan apabila kerajaan suka mengingatkan kepada rakyat tentang subsidi, saya membaca itu dengan ayat yang lebih mudah untuk saya fahami: "Hey, kerajaan dah bagi 28 sen seliter subsidi untuk petrol, 32 sen untuk diesel, kamu hamba rakyat jangan nak bising."
Seolah-olah 28 sen seliter untuk seluruh rakyat menggunakan petrol itu datang dari kocek dia.
Kadang-kadang, saya cuba nak tanya menteri-menteri ini, mereka tahu tak duit dari kerajaan ini datang dari rakyat?
Dan mereka tahu tak dalam keadaan ekonomi sekarang, rakyat sekarang tertekan dengan peningkatan harga barang dan perlu membayar pinjaman bank, kepada mereka yang teringat dengan hutang.
Saya cukup rimas dengan sikap kerajaan yang tak sudah-sudah menyuruh kita bersyukur. Sebab kerajaan, kita dapat subsidi petrol. Sebab kerajaan, ada pembangunan. Sebab kerajaan, ada jalan raya.
Kalau tak ikhlas nak bagi subsidi, cakap sahajalah tak nak bagi. 28 sen seliter untuk petrol dan 32 sen seliter untuk diesel dilihat membebankan kerajaan dalam memberi sesuatu pada rakyat.
Kita selalu dengar kerajaan ini menghabiskan duit pada benda yang bukan-bukan, macam bina stadium runtuhlah, beli kapal selam yang tak boleh menyelam, dan menyewa dua panda dari China dalam pada masa sama rakyat di bawah bergolok gadai untuk membayar sewa rumah.
Tetapi, apabila nak salurkan subsidi petrol pada rakyat, seolah-olah rugi sangat. Seolah-olah rakyat langsung tidak layak dapat apa-apa dari kerajaan.
Kadang-kadang saya fikir, untuk apa saya mengundi?
Kalau pilih yang ini, naikkan harga minyak tanpa perasaan. Kalau pilih yang itu, banyak sangat dramanya.
Mungkin kalau ada parti yang hendak turunkan harga minyak tanpa siri drama sinetron yang panjang, akan menarik saya untuk mengundi.
Sementara itu, pasrah sahajalah harga minyak dah naik. – 3 Oktober, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments