Opinion

Bila Universiti Malaysia Pahang sediakan SOP untuk melawan bomoh

Baru-baru ini, ranking dunia universiti terbaik dunia Times Higher Education sudah dikeluarkan, dengan sekali lagi penguasaan universiti dari negara maju dan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom, di samping negara seperti China, Australia, Singapura, Jepun dan lain-lain lagi.

Dan ranking bagi universiti di negara ini pula, paling tinggi ialah Universiti Malaya di tangga ke-151, Universiti Sains Malaysia di tangga 309, dan Universiti Putra Malaysia di tangga 376. http://www.theinsiderarchived.com/malaysia/article/yet-again-malaysian-varsities-not-among-worlds-top

Jadi, ini menjadikan kenyataan Menteri Pendidikan Kedua Idris Jusoh tentang sistem pendidikan di negara ini sebagai bertaraf dunia itu menjadi lawak jenaka, kecuali kalau menteri tersebut nak bandingkan universiti di negara ini dengan universiti di Zimbabwe atau di negara-negara yang baru nak membangun.

Tetapi saya bukanlah nak mengulas tentang kenyataan Idris Jusoh yang dah lama dah pun, ataupun kedudukan ranking universiti di negara kita kerana sudah ramai yang telah memperkatakannya.

Apa yang saya ingin tulis hari ini ialah bila ada universiti di negara ini, mahu membuat satu kajian serta mahu menjadikan undang-undang, hasil dari kajian mereka tentang bagaimana untuk menangani dan membanteras penggunaan ilmu sihir.

Dalam erti kata lain, universiti ini mahu mengkaji bagaimana untuk melawan bomoh.

Maaf jika guna perkataan kasar, tapi apa kejadahnya sebuah badan yang menggelar diri mereka sebagai universiti, nak mengkaji dan menyediakan SOP bagaimana untuk melawan bomoh?

Menurut pengerusi jawatankuasa berkenaan Dr Mahyuddin Ismail berkata, garis panduan itu melibatkan kajian dalam tempoh dua tahun bermula Februari 2013 hingga Februari 2015 melalui percambahan fikiran gabungan individu daripada pelbagai latar belakang seperti pengamal perubatan Islam, ahli agama, hakim dan pakar psikiatri. http://www.theinsiderarchived.com/bahasa/article/ump-sedia-sop-undang-undang-banteras-penggunaan-ilmu-sihir

Dan lebih teruk lagi, kajian ini memakan masa dua tahun dan memakan belanja sebanyak RM189,000 untuk memikirkan bagaimana sebuah universiti nak melawan bomoh.

Kalau RM189,000 itu dibahagi kepada 24 bulan atau 2 tahun tempoh kajian itu, sama dengan belanjanya RM7,875 sebulan.

Bagi saya, untuk membelanjakan RM7,875 sebulan untuk tujuan mengkaji bagaimana untuk menyekat penggunaan ilmu sihir, adalah satu perbelanjaan yang mengarut.

Jadi adakah ini satu cara untuk para akademik di negara ini untuk mendapat dana?

Selain dari mengkaji bomoh, universiti di negara kita juga terkenal dengan kegiatan suka susun kek lapis terpanjang, bendera Jalur Gemilang paling besar, dan donat paling banyak – kegiatan yang langsung tak memberi manfaat kepada kemajuan universiti tersebut.

Kalau macam ni berterusan, macam mana nak kata pendidikan di negara kita bertaraf dunia, kalau di peringkat Asia Tenggara pun kita dah termengah-mengah untuk bersaing?

Kita dah lama tertinggal jauh dengan universiti-universiti dari Singapura, dan sekarang kita sedang bersaing sengit dengan universiti-universiti di Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina.

Sikit hari lagi kalau kita sibuk nak kaji bomoh, susun kek lapis terpanjang atau berkawad kaki paling lama, sikit hari mereka pun akan tinggalkan kita.

Mungkin masa itu menteri pendidikan kita boleh kata, "sekurang-kurangnya Zimbabwe bawah kita lagi".

Senang sahaja untuk kita membanteras bomoh, iaitu sedarlah pendidikan sains mampu menangkis semua ini.

Tak perlu kuntau sana kuntau sini, tak perlu kajian dua tahun. Cukup dengan mendidik masyarakat dengan sains, dan memberi kebebasan akademik kepada universiti, barulah universiti itu mampu berjaya.

Kalau masyarakat itu dididik dengan ilmu sains, maka secara perlahan-lahan masyarakat itu boleh menolak ilmu pembomohan ini kerana ia tidak saintifik, dalam erti kata lain, mengarut.

Tak perlu nak buat roadtour untuk menerangkan orang ramai bahawa bomoh ini mengarut, sebab pihak universiti yang buat kerja macam ni pun buat kerja mengarut juga. – 21 Mac, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments