Opinion

Bosan dengan politik Malaysia yang macam drama sabun

Dahulu saya selalu membaca di akhbar dan portal berita, sama ada tempatan atau antarabangsa, bagi mengikuti berita terkini dalam negara.

Dalam mengikuti berita setiap hari, ada sahaja drama sabun yang membuatkan rakyat seperti saya ini sama ada beristighfar, menepuk dahi, atau sekadar menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

Dalam kesakitan ekonomi yang makin parah, dan dalam ancaman keselamatan kerana peningkatan jenayah di kawasan pinggir bandar, politikus hanya mahu bertelagah demi kuasa dan harta.

Dan dalam setiap hari berita sebegini berhari-hari berlaku, rakyat menunggu bilakah masanya semua ini akan berakhir.

Sejak pilihan raya 2008, drama sabun politik negara ini tidak pernah berakhir.

Bermula dari tsunami politik, kemudian menjatuhkan Tun Abdullah Ahmad Badawi, kemudian munculnya NGO seperti Perkasa, Isma, dan ditambah pula dengan pembangkang juga ada NGO mereka sendiri, dan selama hampir tujuh tahun, drama sabun ini tidak pernah tamat.

Hendak salahkan pembangkang, sudah memang tugas mereka mengkritik kerajaan. Hendak salahkan kerajaan – memang besarkan ego mereka sahajalah, sebab mereka merasa mereka tidak pernah buat silap walaupun banyak perkara yang membuatkan rakyat semua hanya mampu geleng kepala dan urut dada.

Kita mahu kerajaan yang peka dengan rakyat, bukan kerajaan yang berdelusi dan menutup telinga sambil menjerit "La La La" bila ada rakyat yang menegur.

Dan kita mahu pembangkang yang menjadi cermin kepada kerajaan untuk melihat mana silap dan salah yang hendak diperbetulkan, bukan hanya sekadar mahu mengejar untuk menjadi kerajaan.

Dengan sesama ahli parti kerajaan bergaduh, dan sesama pembangkang juga bergaduh, politik di negara ini macam sinetron, macam drama koboi, macam drama sabun.

Ringgit terus jatuh, koruptor bermaharajalela, penjilat terus menjilat, penindas terus menindas, politikus bergaduh tak tentu hala, pemimpin terus berdelusi, rakyat terus kecewa melihat harapan sebuah negara kini makin hancur.

Dan sesetengah rakyat pula, tidak peduli dan hanya memikirkan flavor vape apa yang mahu dicuba, tudung apa yang mahu dicuba dalam pembelian online di Facebook, dan drama apa yang disiarkan di televisyen minggu ini.

Inilah dia, negara dunia ketiga, yang menuju ke kancah pergelutan politik yang akan terus memiskinkan, membodohkan, dan menakutkan rakyat. – 22 Ogos, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments