Di hari yang penuh berjerebu ini, kerongkong saya terasa pahit dan saya rasa udara yang saya hela juga tidak menyihatkan, jadi saya menghabiskan masa dengan berada di katil, sambil menanti kesihatan kembali pulih.
Jadi sepanjang rawatan bagi memulihkan kesihatan diri ini, saya seboleh-boleh tidak mahu mendengar sebarang berita atau apa-apa tentang situasi politik, ekonomi dan sosial negara.
Mungkin sudah terlalu tepu, atau mungkin sudah terlalu bosan untuk saya ambil tahu.
Tetapi apabila membuka TV, saya terpandang, seorang profesor ternama bercakap di TV3, dan memberitahu orang ramai, bahawa ekonomi kita masih selamat dan tidak teruk.
Saya tidak dapat menahan diri daripada kegeraman ini. Jika profesor itu berada di depan saya, kalau saya tidak tumbuk mukanya, barangkali saya akan memaki hamun profesor itu. Apabila saya dalam keadaan tidak sihat, emosi saya tidak stabil.
Perdana Menteri Najib Razak pun menyusul, berkata ekonomi Malaysia hari ini lebih kukuh dari semasa zaman krisis ekonomi Asia 1997.
Saya fikir, selain tujuannya berkata begitu hanya barangkali untuk membandingkan zamannya dan zaman bekas perdana menteri yang kini lantang mengkritiknya, Tun Dr Mahathir Mohamad, tujuannya untuk menyedapkan hati rakyat yang kini semakin resah dengan prestasi ringgit di pasaran dunia.
Kalau katakan saya ini pelumba lari dan saya dapat nombor kedua corot, apakah patut saya kata "sekurang-kurangnya saya tak corot"?
"Saya masih lagi terbaik kerana ada seorang di belakang saya, walaupun ada 8 orang yang sudah jauh meninggalkan saya?"
Delusi-delusi ini sedang menghinggapi pemimpin dan profesor kangkung di menara gading, memberi pendapat bahawa krisis ekonomi yang kita sedang hadapi ini "tidak ada benda hendak dirisaukan".
Macam mana mereka ini jadi profesor di universiti di negara ini, saya pun tidak tahu.
Pada hujung minggu ini, satu perhimpunan besar – Bersih 4 akan berlangsung di ibu kota dan mereka merancang untuk berdemo selama 2 hari.
Wah, dua hari. Lebih sehari dari biasa. Lebih bertenaga daripada 3 Bersih sebelum ini.
Dalam sejarah demonstrasi yang dirancang ini, saya belum pernah lihat demonstrasi ini dapat mencapai matlamat, kecuali perubahan luaran sahaja.
Reformasi di Indonesia berminggu-minggu demonya untuk menjatuhkan Presiden Soeharto. Berjuta-juta rakyat Filipina turun ke jalanan untuk menjatuhkan Presiden Marcos.
Kalau berdasarkan tempoh masa dan jumlah orang yang akan turun ini sama lebih kurang macam 3 Bersih yang lepas, saya fikir, 18 kali Bersih pun belum tentu Najib akan turun.
Kita ada 2 pihak yang delusi. Pihak kerajaan yang berdelusi bahawa ekonomi kita masih baik, dan pihak pembangkang yang berdelusi bahawa mereka mampu menggulingkan Najib dengan cara yang sama.
Dan rakyat kemudiannya terus didendangkan dengan drama Melayu supaya terus berdelusi untuk jadi ketua pegawai eksekutif (CEO) atau jadi tengku-tengku macam dalam TV itu setiap hari.
Macam ini, saya pun hendak berdelusi untuk menjadi gitaris kumpulan The Strokes. – 29 Ogos, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments