Opinion

Di Malaysia, logik bukan jadi satu hujah

Saya membaca berita-berita mengenai Laporan Ketua Audit Negara hampir setiap tahun sejak tsunami politik berlaku pada 2008, dan setiap kali saya membaca laporan-laporan tersebut, ada sahaja perbelanjaan tahap tidak munasabah berlaku.

Laporan Ketua Audit Negara tahun ini melaporkan projek 1Bestarinet yang bernilai ‎RM663 juta mempunyai tahap penggunaan sangat rendah.

Laporan itu men‎yatakan penyambungan Internet ke 4,176 tapak pengguna lewat disiapkan, antara 12 ke 439 hari daripada tempoh pelaksanaan ditetapkan. Tambahan, tiada lanjutan masa dilakukan dan kontraktor tidak dikenakan denda lewat sejumlah RM2.4 juta.

Dan menurut satu lagi laporan berita, akibat kelewatan itu, kegagalan YTL Communications Sdn Bhd (YTLC) menyediakan perkhidmatan 1BestariNet kepada 10,000 sekolah hanya dikenakan denda RM2.4 juta tetapi syarikat berkenaan menjana hampir RM50 juta setahun akibat kecuaian kontrak.

Laporan Ketua Audit Negara juga melaporkan banyak lagi kejanggalan yang saya rasa ramai sudah tahu.

Tetapi seperti tahun-tahun yang sudah, laporan yang tebal setebal-tebalnya ini akhirnya dilupakan dan diabaikan oleh rakyat, dan berkata, "ah, dah biasa".

Begitu juga dengan kenyataan Hishamuddin Hussein yang berkata "kalau Umno tak teruk, kenapa Malaysia dilantik sebagai kerusi [tidak] tetap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)".

Apa kaitannya Umno dengan Malaysia menjawat kerusi tidak tetap PBB?

Barangkali Hishamuddin tidak tahu negara seperti Burundi, Burkina Faso atau El Salvador juga pernah menjawat kerusi "barua Amerika" ini?

Atau apakah sebenarnya di negara ini, kita berhujah dengan tidak menggunakan logik?

Hujah-hujah ahli politik sejak akhir-akhir ini untuk menegakkan sesuatu atau menyalahkan sesuatu tidak masuk akal langsung.

Tetapi ia tidak berakhir sekadar ke ahli politik.

Baru-baru ini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhujah salah satu punca kemalangan yang berlaku di negara ini ialah kerana nombor plat tidak standard.

Saya pasti kalau kecuaian pemandu, keadaan jalan raya atau masalah kereta punca kemalangan, tapi saya tak pasti bagaimana nombor plat ini boleh menjadi punca.

Dan kalau benarlah hujah mereka, kenapa JPJ sendiri tidak keluarkan nombor plat agar semua menjadi standard – seperti negara lain?

Di Malaysia, logik akal tidak lagi jadi satu hujah, sebaliknya "kuntau" dan "auta" diteruskan untuk terus menipu orang awam.

Mereka yang menjawat jawatan awam ini, sudah-sudahlah. Rakyat bukannya bodoh lagi.

Itu belum lagi cerita lubang dubur yang dah bertahun-tahun didengar rakyat. Dah jelak dah. – 15 November, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments