Opinion

Dr Mahathir, sila tubuhkan parti baru

Saya tahu, sebahagian dari golongan pro Mahathir dalam Umno kecewa dengan pergolakan di Kedah dengan penggulingan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai menteri besar Kedah.

Dan saya faham, ramai juga pemerhati politik melihat perkara ini sebagai satu cara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk "membersihkan" partinya dari golongan pro Mahathir.

Najib cuba untuk meletakkan dirinya sebagai "Orde Baru" dalam Umno, sama seperti apa yang Tun Dr Mahathir Mohamad lakukan pada 1988 dahulu.

Tetapi, melihat pada situasi politik sekarang, saya fikir rakyat mungkin sudah ramai yang jelik dan bosan dengan politik bipolar di negara ini.

Rakyat sudah ramai jelik dengan pentadbiran Najib, yang baru saja mendapat anugerah "menteri kewangan paling teruk" oleh Finance Asia.

Rakyat juga sudah bosan dengan drama politik pembangkang yang sandiwaranya mengalahkan drama suamiku suamiku di hujung petang.

Rakyat juga sudah naik muntah dengan perebutan perhatian antara presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang dan Lim Kit Siang. Rakyat, terutamanya di Selangor, juga sudah menyampah dengan pentadbiran Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang tidak habis-habis asyik nak bina lebuhraya baru dan lebih banyak kawasan diteroka.

Rakyat juga, mengikut pemerhatian saya, ramai yang bernostalgia tentang betapa indahnya Malaysia ketika melalui zaman kemakmuran era awal 1990an di mana Malaysia mencapai pertumbuhan ekonomi yang pantas.

Pada ketika itu Malaysia dianggap sebagai antara negara Asia yang pantas membangun dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang pesat sekitar 7% setiap tahun, sebelum Krisis Ekonomi Asia melanda pada 1997.

Rakyat juga, secara terbuka atau tidak, merasakan Dr Mahathir adalah perdana menteri terbaik dalam sejarah.

Dan Dr Mahathir seolah-olah tidak mahu bersara dari arena politik walaupun sudah bersara menjadi perdana menteri 13 tahun yang lalu.

Jadi, saya ingin memberikan satu cadangan kepada Dr Mahathir.

Memandangkan anakanda Mukhriz sudah dianiaya sebegitu rupa, dan sasaran untuk menjadi negara maju sudah jauh tersasar, serta rakyat kini sudah jelik dengan kedua-dua Barisan Nasional (dan PAS) dan Pakatan Harapan, saya cadangkan agar Dr Mahathir menubuhkan sebuah parti baru sebagai satu alternatif kepada rakyat semua.

Saya cadangkan nama parti itu ialah Parti Wawasan 2020, kerana 2020 – iaitu sasaran kita untuk menjadi negara maju, tinggal kurang 4 tahun lagi.

Saya yakin kalaupun tak menang pilihan raya akan datang, saya yakin Parti Wawasan 2020 mampu menjadi pembangkang yang lebih baik dari Pakatan Harapan.

Soal logo, kita tak perlu risau. Kita ambil sahaja logo Wawasan 2020 yang satu masa dahulu saya lukis dan cat sebagai mural di sekolah.

Saya yakin, kalau Dr Mahathir bertanding sekali lagi, kalaupun dia tidak berjaya jadi perdana menteri sekali lagi, dia mampu jadi ketua pembangkang terbaik dalam sejarah.

Wow, jadi perdana menteri terbaik dan ketua pembangkang terbaik. Memang hebat.

Saya harap cadangan ini dapat dipertimbangkan memandangkan ramai orang-orang pro Mahathir dalam Umno sedang "dihapuskan secara sistematik" oleh rejim Najib dalam parti.

Saya harap ada orang pro Mahathir menyahut cadangan saya ini.

Bagaimanapun, bagi saya secara peribadi, Dr Mahathir bukanlah perdana menteri kegemaran saya. Saya lebih suka Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Saya juga berharap Abdullah akan menubuhkan Parti Islam Hadhari, saya sendiri akan menjadi Ketua Pemuda.

Entahlah, saya suka Pak Lah. Tapi, siapa-siapapun jadi Perdana Menteri, saya yakin dia akan jadi perdana menteri lebih baik daripada Najib. – 6 Februari, 2016.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments