Opinion

Ekstremis agama menyusup dalam jabatan kerajaan, mula mencabar Perlembagaan

Baru-baru ini, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengatakan bahawa undang-undang Islam tidak terikat dengan Perlembagaan Persekutuan, apabila berbahas mengenai isu pelantikan Victoria Jayaseele Martin untuk mewakili anak guam dalam mahkamah syariah.

Apabila hujah peguam MAIWP mengatakan bahawa undang-undang Islam lebih tinggi dari Perlembagaan Persekutuan, saya melihat kenyataan ini seolah-olah jabatan agama ini angkuh dan sombong dengan kuasanya, menolak apa yang telah tertulis dalam Perlembagaan Persekutuan.

Saya sering berjumpa dengan orang yang sebegini, orang yang secara sombong menolak undang-undang sekular yang lebih adil kepada semua warganegara, tidak mengira agama, bangsa dan bahasa pertuturan dengan alasan "al-Quran adalah Kalamullah (kata-kata Allah), barang siapa cuba menolaknya, bermakna menolak kata Allah".

Dalam konteks negara kita yang berbilang bangsa dan agama ini, saya percaya, bahawa setiap dari kita semua warganegara wajar diadili dan dibicarakan dengan satu jenis set undang-undang yang adil untuk semua.

Maka, apabila ada antara pegawai agama yang menolak Perlembagaan Persekutuan dan meletakkan undang-undang yang selain darinya lebih atas dari Perlembagaan, nampak sangat golongan ekstremis agama, yang mulai menyusup dalam jabatan kerajaan melalui jabatan agama, sudah semakin angkuh dengan kuasanya.

Isu ini menunjukkan manifestasi dari keangkuhan dan kesombongan mereka dengan kuasa yang mereka ada, dengan menggunakan hujah agama sebagai pelindungnya.

Dalam pada masa kita hidup harmoni antara berbilang kaum dan kepercayaan, ada pula manusia yang sombong dan mengatakan "kepercayaan mereka lebih tinggi dari orang lain", menyebabkan berlakunya permusuhan antara kaum.

Pada minggu ini juga, adalah ulang tahun ke-46 peristiwa berdarah tragedi 13 Mei 1969, yang berlaku kerana sentimen perkauman yang diapi-apikan oleh ahli politik pada ketika itu.

Persoalannya, adakah kita mahu peristiwa tragedi berdarah itu berulang lagi?

Kesombongan pegawai agama dalam jabatan kerajaan sudah mula terserlah. Seperti yang saya pernah tulis dalam artikel yang terdahulu, "Ekstremis agama jauh lebih bahaya berbanding komunis" kerana tiada siapa yang berani untuk melawan mereka.

Jika dibiarkan berterusan sebegini, saya tidak terkejut lagi 20, 30 tahun lagi, negara kita bakal menjadi negara bergolak antara agama seperti di Nigeria atau di kepulauan Maluku di Indonesia.

Kesombongan mereka dengan kuasa yang ada serta enggan menghormati sesama lain yang berlainan kepercayaan mungkin mencetuskan ketidakpuasan hati di kalangan warga, terutamanya yang minoriti.

Negara ini bukan milik orang Islam sahaja semata-mata, ia milik semua orang yang menghuni di dalamnya.

Tolong jangan gunakan agama sebagai alat dan manifestasi dari kesombongan diri.

Jika tidak dibendung orang ekstremis ini dari menyusup masuk dalam kerajaan dan menentukan dasar dan undang-undang, satu hari nanti ledakan ketidakpuasan hati ini akan meletus dan bakal mencetuskan pergolakan serius dalam negara ini. – 15 Mei, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments