Opinion

Gempa bumi Sabah bukti Malaysia tidak bebas gempa bumi

Semalam, gempa bumi berukuran 6 skala Richter melanda Sabah, dan mengakibatkan infrastruktur di negeri itu habis mengalami keretakan.

Gempa bumi sedalam 40km itu berpusat di 14km utara Ranau, 67km timur Kota Kinabalu dan 229km timur laut Bandar Seri Begawan, Brunei.

Laporan awal Jabatan Meteorologi Malaysia menyatakan gempa bumi itu berukuran 5.9 skala Richter 16km barat daya Ranau pada 7.17 pagi.

Selain Kota Kinabalu, gegaran turut dirasakan di bahagian utara daerah Kudat dan Kota Marudu, malah di daerah sejauh Beaufort di selatan Sabah.

Selama ini, semasa saya belajar Alam dan Manusia (atau Geografi) di sekolah, buku-buku teks di sekolah berkata kedudukan Malaysia bebas daripada ancaman gempa berbanding negara jiran lain seperti di Indonesia atau Filipina.

Tetapi apa yang berlaku hari ini membuktikan ia adalah sebaliknya.

Keadaan plat tertonik bumi sentiasa berubah dan tidak mustahil bagi negara seperti Malaysia mungkin satu hari nanti mengalami gempa bumi yang mengakibatkan kemusnahan besar.

Malangnya ramai di kalangan rakyat Malaysia tidak menyedari ancaman gempa ini akan berlaku di negara kita, sama ada di sebelah Borneo atau Semenanjung.

Saya pernah terbaca sebuah artikel mengatakan ada di kawasan sekitar Banjaran Titiwangsa, ada berlaku kejadian gempa yang walaupun skalanya kecil, sekitar 2 atau 3 skala Richter.

Kawasan tersebut mengikut faham saya, adalah di sekitar kawasan dari Bukit Tinggi di Bentong, Pahang sehingga di kawasan bukit di sekitar Taman Melawati.

Sering kali kita merasakan ancaman gempa ini tidak mungkin berlaku di negara kita berbanding dengan jiran kita.

Tetapi jika ia berlaku, apakah yang kita perlu lakukan? Kita tidak ada modul bagaimana untuk menyelamatkan diri sekiranya gempa berlaku di tempat kita, seperti di Taiwan atau di Jepun.

Tambahan pula ramai rakyat masih leka kerana pelajaran di sekolah mengatakan Malaysia sebuah negara bebas gempa.

Sudah tiba masanya untuk seluruh rakyat sedar yang negara ini juga tidak terkecuali daripada ancaman gempa.

Dan jika kita tidak lagi menjadi negara bebas gempa, apa yang kita perlu lakukan bagi meminimumkan kematian serta kemusnahan disebabkan gempa bumi?

Sejak Tsunami Lautan Hindi 2004 kita seharusnya belajar daripada kehancuran yang lalu.

Dan hanya menerima kata-kata imam dan ustaz kononnya gempa bumi ini disebabkan perempuan memakai jeans tidak membantu, sebaliknya pemahaman kita terhadap sains, bukan sahaja dapat memahami kejadian alam ini, serta dapat kita bersedia sekiranya kejadian gempa ini berlaku pada masa hadapan. – 6 Jun, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments