Opinion

GST akan memusnahkan syarikat kecil dan sederhana

Bermula hari Rabu ini, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan mula dilaksanakan di negara ini.

Setelah sekian lama pihak kerajaan berkempen tentang pelaksanaan cukai ini, akhirnya ia akan dilaksanakan.

Kata mereka, cukai ini dilaksanakan di negara maju, dan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju, cukai ini perlu dilaksanakan.

Walaupun sudah empat tahun saya mendengar hantu jembalang bernama GST ini dikhabarkan di media perdana, namun saya akui saya tidak faham dengan cukai ini.

Jadi, saya mula membaca tentang pelaksanaan cukai GST ini di negara-negara yang sudah melaksanakannya seperti Norway, Singapura, negara-negara Kesatuan Eropah, Australia dan sebagainya.

Sekali dengar, nampak macam adil. Gaji banyak, bayar pun banyak. Gaji sikit, bayar pun sikit. 

Malah, menurut Abu Bakar Omar dalam iklan GST tu pun kata, lebih banyak harga akan turun kerana GST ini akan menggantikan cukai SST, yang meliputi 10% cukai barangan dan 6% cukai perkhidmatan.

Kata mereka, dengan GST, kita tidak perlu bayar lagi cukai SST yang jauh lebih tinggi.

Dan syarikat boleh meminta semula wang cukai untuk dikembalikan dari cukai tersebut, menyebabkan keuntungan lebih banyak lagi, kata mereka.

Tetapi, bagaimana pula dengan rakyat biasa? Bagaimana pula dengan peniaga kecil?

Macam mana pula dengan kenaikan harga pengangkutan seperti bas dan teksi yang mendadak kenaikannya seperti diumum Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tempoh hari? Abu Bakar Omar tipu kita dalam iklan GST tu ke?

Selalu saya dengar, makanan seperti beras, ikan, ayam dan sebagainya, tidak dikenakan GST.

Tetapi, barangan seperti plastik, pembungkus, pinggan mangkuk, sabun basuh dan sebagainya dikenakan GST.

Kalau saya ini membuka sebuah restoran, bila saya menaikkan harga barang, orang akan tuduh saya tidak bertanggungjawab dan mengambil kesempatan ke atas cukai GST yang dilaksanakan ini.

Tapi, macam mana saya nak berniaga di restoran kalau barangan seperti sabun basuh, plastik pembungkus, pinggan mangkuk dikenakan GST, sedangkan saya perlu berniaga dalam harga pada zaman tanpa GST?

Takkan saya nak hidangkan makanan tanpa pinggan mangkuk? Takkan saya tak perlu membasuh pinggan mangkuk saya?

Kebanyakan kuntau dan auta iklan GST ini tidak menyebut faktor ini. Mereka tidak menyebut bahawa setiap lapisan proses untuk menghasilkan barangan itu dikenakan cukai GST.

Hendak menghasilkan sabun misalnya, pihak pengilang mula-mula sudah kena GST. Pengilang hasilkan barang dan jualkan pada pemborong. Pemborong pun dah kena GST. Pemborong jual kepada peruncit. Peruncit pun kena GST. Peruncit jual kepada pengguna, pengguna kena GST.

Kalau setiap lapisan proses dari bahan mentah hingga ke tangan pengguna dikenakan GST, macam mana pula boleh kata harga barang akan turun?

Di negara maju yang sering disebut untuk menjual hujah kebaikan GST ini, mereka mempunyai banyak lagi cukai - terutamanya kepada golongan kaya atau super-rich, yang dipanggil super-rich tax (cukai untuk orang super-kaya yang memiliki harta berbillion-billion).

Mereka juga ada capital gain tax (atau cukai keuntungan kapital), iaitu cukai yang dikenakan ke atas keuntungan syarikat besar.

Kerajaan juga seringkali memotong kadar cukai korporat yang menggalakkan para korporat untuk terus membuat untung besar.

Tetapi jika hanya pihak korporat dan syarikat besar sahaja yang dipotong-potong cukainya, bagaimana dengan pihak rakyat dan syarikat kecil?

Syarikat kecil dan sederhana adalah syarikat yang paling terkesan dengan cukai ini. Kedai Runcit Ah Keong takkan mungkin dapat bersaing harga dengan Tesco. Restoran Nasi Padang Rose Kampung Baru tak mungkin dapat bersaing harga dengan KFC dan McDonalds.

Apakah dasar melaksanakan GST ini adalah niat kerajaan hari ini untuk menarik seberapa banyak cukong kapitalis besar untuk datang ke sini, dan dalam masa sama tidak terfikir ianya akan menjejaskan syarikat-syarikat kecil di negara ini?

Saya tidak mempunyai masalah jika pelaksanaan GST itu dilaksanakan seperti negara-negara maju. Tapi kalau dalam keadaan sekarang, di mana saya ada lagi banyak perkara untuk tidak percaya dengan kerajaan hari ini berbanding percaya, banyak maklumat disembunyi, dikuntau, diauta dan dibelit-belitkan, macam mana nak percaya? – 28 Mac, 2015.

*Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments