Opinion

Hari kemerdekaan dan gambar enam kepala bersongkok

Musim menyambut kemerdekaan di negara ini sudah bermula. Di corong radio atau di kaca televisyen, lagu-lagu patriotik sudah mula dinyanyikan.

Kempen mengibar Jalur Gemilang pun sudah bermula dan kempen dalam berita mengutuk Mat Sabu menyokong Mat Indera pejuang komunis pun dah bermula.

Tetapi, ada sesuatu yang tak kena dengan sambutan kemerdekaan ini – yang saya perasan perkara ini mula menular semenjak awal 2000-an, dan ia mula menular hingga ke sekarang.

Setiap kali musim menyambut kemerdekaan, bermulalah banner dan bunting atau billboard memaparkan gambar pemimpin, terutamanya gambar enam kepala bersongkok berderet-deret.

Gambar enam kepala bersongkok berderet-deret itu siapa lagi kalau bukan gambar kesemua enam Perdana Menteri Malaysia, dari Tunku Abdul Rahman, sehinggalah (Datuk Seri) Najib Razak.

Setiap kali saya nampak gambar ini, saya rasa marah, dan saya malas untuk menyambut hari kebangsaan.

Saya tak tahu dengan anda semua rasa tetapi saya merasakan sejak akhir-akhir ini, gejala "menyembah pemimpin" di musim kemerdekaan semakin menjadi-jadi.

Saya rasa perkara seperti "menyembah pemimpin" ini adalah biasa di negara dunia ketiga, tetapi setiap kali musim kemerdekaan – ritual ini dilihat semakin melampau-lampau.

Saya pernah ke Indonesia semasa hari kebangsaan mereka pada 17 Ogos, kira-kira hampir sepuluh tahun yang lalu.

Ya, ada lah gambar Sukarno selaku bapa kemerdekaan Indonesia, tak la banyak sangat, tetapi saya tidak pula nampak gambar Suharto, Habibie, Gus Dur atau Megawati berderet-deret seperti gambar-gambar Perdana Menteri berderet di Malaysia.

Secara tidak langsung, secara tidak sedar sebenarnya sambutan hari kebangsaan ini sudah bertukar menjadi "hari menyembah pemimpin-pemimpin Barisan Nasional".

Ini yang menyebabkan saya, dan mungkin kebanyakan orang – tidak berminat untuk menyambut hari kemerdekaan atau mengibarkan Jalur Gemilang.

Meletakkan gambar sebegini menyebabkan saya merasakan hari kemerdekaan 31 Ogos ini seolah-olah "hari menyokong kemenangan Umno dan Barisan Nasional" kerana hanya gambar pemimpin Umno sahaja yang dipaparkan, dan sekali sekala terselitlah dua gambar pemimpin Cina dan India, Tan Cheng Lock atau Tun Sambathan.

Sebagai seorang yang bukan penyokong Barisan Nasional, saya rasa bila pihak pengelola sambutan hari kebangsaan atau sekadar pemilik syarikat yang mahu membodek kerajaan meletakkan banner, bunting, poster, billboard atau iklan gambar pemimpin ini, saya rasa meluat.

Takkanlah hanya enam orang ini sahaja yang berjasa dalam kemerdekaan negara?

Di mana pejuang-pejuang lain seperti Burhanuddin al-Helmy, Pak Sako, atau yang lain-lain?

Atau adakah ini satu cara sistematik untuk menjadikan rakyat kita melupakan jasa orang lain dan mengatakan kononnya hanya Umno sahaja yang memperjuangkan kemerdekaan?

Seperti tahun-tahun yang sudah – saya memilih untuk tidak ambil pot tentang Hari Kebangsaan kerana bagi saya Hari Kebangsaan ini sudah dibajak oleh Umno dan Barisan Nasional.

Tetapi saya juga tidak ambil pot tentang Hari Kebangsaan ini sekiranya Pakatan Rakyat memerintah dan meletakkan deretan muka (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, (Datuk Seri Abdul) Hadi Awang atau Lim Kit Siang.

Kalau nak letak muka-muka di papan iklan untuk hari kebangsaan ini juga, letaklah gambar mereka yang mengharumkan nama negara.

Gambar ahli sukan yang menempa kejayaan di peringkat antarabangsa, atau gambar saintis yang mencipta atau menemui penemuan sains, atau tokoh perfileman yang membuat karya yang baik – tak boleh ke Hari Kebangsaan ini tidak disambut berdasarkan keahlian parti politik?

Tidak bolehkah Hari Kebangsaan ini disambut oleh rakyat Malaysia yang tak berminat untuk masuk mana-mana parti politik macam saya ni? – 23 Ogos, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments