Pertama kali, saya ingin mengucapkan takziah kepada warga Republik Nepal, terutamanya mereka yang terlibat dalam kejadian gempa bumi yang melanda negara itu baru-baru ini.
Saya lihat ramai pekerja Nepal di sini, terutamanya yang bekerja sebagai buruh pengangkat barang, pengawal keselamatan dan pekerja kedai runcit, mereka agak sugul dan ada di kalangan mereka yang ahli keluarganya terbunuh atau kehilangan tempat tinggal.
Dan atas nama kemanusiaan, ramai di kalangan orang Malaysia membuat tabung kemanusiaan untuk memberi bantuan kepada negara yang mengalami bencana itu.
Malangnya, ada di kalangan orang-orang ini melacurkan nama kemanusiaan dengan menjaja modal air liur kononnya ini tabung untuk membantu orang yang dilanda kesusahan.
Tetapi, pada akhirnya, wang-wang kutipan derma itu disonglap demi kepentingan sendiri.
Dalam laporan The Malaysian Insider 29 April yang lalu, pekerja-pekerja Nepal telah membuat tabung kemanusiaan mereka sendiri kerana mereka sendiri tidak percaya kepada mereka yang membuat tabung kemanusiaan, kerana seringkali mereka telah ditipu.
Ini mengingatkan saya terhadap tulisan pertama saya di The Malaysian Insider, yang mengisahkan seorang yang menyamar buta di Jeti Raja Tun Uda Pulau Pinang yang meminta derma, dan apabila di seberang, dia memiliki kereta yang mahal.
Penipu yang kononnya orang yang susah meminta sedekah, pada akhirnya ia memungut kekayaan atas nama simpati.
Tetapi lelaki yang menyamar buta di jeti itu, itu adalah penipuan skala kecil.
Begitu juga dengan mereka yang meminta sedekah di restoran-restoran yang kadang-kadang datang berduyun-duyun untuk memungut wang dari simpati orang ramai untuk menjalankan sindiket ini.
Tetapi bagaimana pula dengan tabung kemanusiaan yang saya rasa berskala besar, tidak ada tindakan pula ke atas penyeleweng sebegini?
Berapa banyak lagi orang yang menjual dan melacurkan nama kemanusiaan ini demi kepentingan individu?
Saya mengucapkan “salute” dan tahniah kepada pekerja-pekerja Nepal ini kerana mereka telah mengambil inisiatif sendiri dan tidak berharap kepada tabung-tabung kemanusiaan yang sering kali kita dengar tapi tak tahu pula apa yang sampai kepada mangsa-mangsa tragedi besar. – 2 Mei, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments