Opinion

Hisap ‘vape’ juga perlu ada etika

Ketika saya di Bandung, Indonesia - untuk mencari perbezaan utama antara orang Malaysia dan orang Indonesia sebenarnya sangat mudah. Selain loghat dan lenggok bahasa, perkara yang boleh dilihat ialah orang Malaysia kini lebih melayan 'vape' daripada rokok.

Ketika saya sedang menemani kawan saya yang sedang mencari tasbih batu gunung berapi di Pasar Baru, dan ketika saya sedang menukar wang ringgit saya ke rupiah (yang semakin sedikit nilai yang saya dapat, tapi itu cerita lain), saya melihat penduduk tempatan menghisap rokok dalam bangunan.

Dalam pengalaman hidup saya, saya fikir saya cuma pernah hisap rokok dalam bangunan Umno pada Persidangan Agung Umno, yang saya fikir sebenarnya agak janggal kerana sudah lama peraturan larangan untuk menghisap rokok dalam bangunan awam.

Itu pun selepas saya melihat orang di keliling saya, pada ketika itu semuanya menghisap rokok beramai-ramai, jadi saya fikir, hmm, tak apa lah.

Mungkin bangunan tersebut milik parti Umno jadi jika Umno tidak ada masalah tentang orang menghisap rokok dalam bangunannya, terserah pada parti tersebutlah. Itu bangunan mereka.

Tetapi ketika saya di Bandung, orang ramai masih boleh menghisap rokok di shopping mall seperti zaman saya kecil tahun 1990-an dulu sebelum diharamkan tak berapa lama selepas itu.

Tiba-tiba, ada seorang dari Malaysia, yang saya cam dari Malaysia kerana 'accent'nya - dan yang paling penting, sambil menghisap 'vape' - berkata, "ish diorang ni, tak boleh hisap rokok dalam bangunan, bahaya ni".

Sambil menghembus asap 'vape' berkepul-kepul ke arah orang ramai.

Sebenarnya saya tidak kisah jika ada kawan saya yang menghisap 'vape' - kerana walaupun bagi saya menghisap 'vape' ini daripada segi machonya kurang (maafkan saya, saya kanak-kanak 1990-an di mana iklan rokok masih ada dan Marlboro Man adalah ikon) dan saya lebih menggemari rokok, tapi saya fikir menghisap 'vape' juga perlu ada etika.

Saya kadang-kadang merasa undang-undang tentang larangan rokok ini sangat berat sebelah, di mana perokok di Malaysia tidak dibenarkan merokok dalam shopping mall atau bangunan (kecuali bangunan Umno, mungkin) tetapi orang boleh hisap vape dalam shopping mall dan menjadi 'naga' sesuka hati tanpa memikirkan asap 'vape' itu juga mengganggu orang ramai.

Kalau perokok boleh berjalan keluar dan bakar rokok di luar bangunan, kenapa para 'vapers' tak boleh?

Kenapa nak show off douchebaggery dan perangai sombong anda untuk menghisap 'vape' dalam bangunan seolah-olah anda merasakan itu tidak bersalah?

Saya pernah juga tegur beberapa orang 'vapers' apabila dia menghisap 'vape' dalam bangunan ini dan seperti orang Malaysia di Pasar Baru Bandung itu mereka berkata "rokok bahaya kerana mengundang kebakaran" dan tidak seperti 'vape'.

Ini bukan soal kebakaran, ini soal mengganggu. Kalau soal kebakaran jadi perkara utama, dah lama restoran dalam bangunan shopping mall tak dibenarkan kerana risiko kebakaran.

Sama ada anda nak ikut fad vape ini, atau kekal dengan rokok seperti saya, itu terserah. Tetapi kalau perokok tak boleh hisap rokok dalam bangunan, saya fikir sudah tiba masanya juga penghisap 'vape' juga diharamkan daripada menghisap 'vape' dalam bangunan.

Hisap 'vape' juga perlu etika, bro. – 15 Ogos, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments