Opinion

Hudud di Aceh: Siapa kata tiada paksaan beragama?

Seorang gadis memakai seluar jeans, dicat seluarnya dengan spray berwarna merah oleh seorang polis moral kerana melanggar kod etika pemakaian yang dibenarkan di Aceh. Seorang gadis memakai seluar jeans, dicat seluarnya dengan spray berwarna merah oleh seorang polis moral kerana melanggar kod etika pemakaian yang dibenarkan di Aceh. Beberapa bulan lalu, Dewan Perwakilan Rakyat Aceh meluluskan undang-undang hudud untuk dilaksanakan di provinsi autonomi itu, di mana ia merangkumi seluruh penduduk di wilayah tersebut, tidak kira sama ada penganut beragama Islam atau tidak.

Semenjak ia dijadikan undang-undang, ramai yang menjadi mangsa polis moral yang berkuasa untuk menjatuhkan hukum di provinsi itu.

Sebagai contoh, seorang gadis memakai seluar jeans, dicat seluarnya dengan spray berwarna merah oleh seorang polis moral kerana melanggar kod etika pemakaian yang dibenarkan.

Terdapat sesetengah golongan sangat menyokong undang-undang ini mengatakan dengan cara ini dapat membendung gejala moral daripada berleluasa.

Tetapi, golongan polis moral ini seolah-olah bermaharajalela melaksanakan hukuman seolah-olah undang-undang berada di tangan mereka.

Saya pernah membaca beberapa buah buku agama mengenai hudud, terutamanya tentang kesesuaian hukuman tersebut dilaksanakan dalam zaman pasca moden ini.

Saya tertarik dengan kenyataan mufti Mesir, yang mengatakan masyarakat sekarang ini masih belum lagi bersedia melaksanakan hukum ini.

Dalam memperkatakan perlaksanaan hudud, satu perkara asas mesti dimaklumi semua pihak iaitu, syariat Islam meletakkan beberapa syarat yang perlu ada sebelum sesebuah negara melaksanakan hudud.

Justeru, apabila dikatakan ‘suasana semasa tidak kondusif bagi perlaksanaan hudud’, ia bermakna syarat-syarat perlaksanaan hudud itu belum mencukupi. Masih ramai mangsa saksi palsu, serta penguatkuasa undang-undang pun sendiri belum tentu faham dengan undang-undang yang dilaksanakan itu.

Dan bagaimana pula dengan yang bukan beragama Islam? Kenapa mereka juga perlu patuh dengan undang-undang berlandaskan agama yang bukan mereka anuti? Apakah ini satu pemaksaan dalam beragama juga?

Dalam hal menghukum ini, selalu yang menjadi mangsa ialah golongan wanita. Tak pakai tudung, terus kena hukum. Pakai ketat sedikit, terus kena hukum.

Dan apabila berlakunya jenayah seperti rogol dan zina, selalu yang dipersalahkan ialah wanita.

Kenapa para agamawan ini sering melihat aurat wanita daripada rambut hingga ke hujung kaki ini sebagai punca jenayah rogol, dan bukan lelaki sendiri yang gagal mengawal syahwat mereka sendiri?

Sebab kebanyakan para agamawan ini lelaki. Justeru, apabila mereka memiliki kuasa, mereka akan gunakan untuk terus menindas kaum Hawa.

Dalam erti kata lain, "power corrupts". Mereka ini jika tidak mempunyai kuasa, mungkin menjadi ulama yang baik, tapi apabila memiliki kuasa, mereka sendiri mahu jadi Tuhan.

Jadi, siapa kata tiada paksaan dalam beragama, apabila orang-orang agamawan ini diberi kuasa melaksanakan undang-undang Tuhan, dan mereka sendiri mahu jadi Tuhan? – 13 Disember, 2014.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments