Memetik kata seorang petani tembakau kolektif di Garut, Indonesia, semasa saya melawat ke sana, dia berkata: "Untuk membentuk sebuah perlawanan, itu gampang (mudah). Tapi untuk membentuk sebuah perjuangan, itu susah."
Pada minggu yang lalu, demonstrasi Bersih 4 berlangsung selama 2 hari di ibu kota. Melihat kesungguhan orang ramai yang hadir, terutamanya muka-muka baru yang baru turun ke jalan raya, serta mereka yang mula sedar kerajaan yang ada ini sudah bobrok, maka saya berfikir beberapa perkara.
Saya tidak turun ke Bersih 4. Ini kerana saya sendiri mempunyai banyak kerja untuk disiapkan, dan masa saya yang terluang adalah terlalu berharga untuk saya luangkan ke perkara yang saya fikir, sia-sia.
Beberapa wakil Bersih berkata, demo ini berjaya. Ada yang berani mengatakan seramai 200,000 orang turun ke jalan raya pada hari itu.
Mereka ni marah bila mereka dakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpakat dengan kerajaan menipu jumlah pengundi, marah bila mereka dakwa SPR berpakat dengan kerajaan tipu jumlah majoriti undi, tapi dengan beraninya menipu jumlah yang turun ke jalan raya.
200,000 ni dapat dari mana nombornya? Kira hantu, jin dan jembalang afrit?
Paling realistik nombor yang saya boleh beri, berdasarkan foto-foto mungkin sekitar 50,000 ke 60,000.
Saya percaya ini kerana apabila perlawanan akhir Piala Malaysia, jumlah yang hadir sekitar 80,000 ke 90,000 pun sudah padat seluruh kawasan persekitaran.
Saya lihat di foto-foto pun masih ada lagi kawasan lengang sepanjang demo ini berlangsung.
Kedua, pihak Bersih mendakwa, perhimpunan ini berjaya.
Mari kita imbas kembali apa tuntutan Bersih dalam perhimpunan kali ke-4 ini.
1. Bersihkan pilihan raya.
2. Kerajaan bersih.
3. Hak membantah.
4 Kukuhkan demokrasi berparlimen.
5 Selamatkan ekonomi Malaysia.
Jadi, apa yang berjaya? Pilihan raya negara ini sudah bersih lepas demo ini? Tidak. Kerajaan sudah bersih? Tidak. Hak membantah sudah ada? Tidak. Kalau tak, berapa ramai yang protes tentang polis menangkap peminat muzik di Rumah Api, Ampang, tapi tidak dipedulikan pihak berkuasa. Kawan saya juga ditahan reman 3 hari.
Demokrasi berparlimen kita sudah kukuh? Tak juga. Ekonomi Malaysia sudah selamat? Lagilah tidak. Jadi apa yang berjaya?
Kalau dakwaan pihak penganjur ini sebagai berjaya kerana jumlah yang sanggup beli baju kuning dan turun beramai-ramai ke jalan raya, macam ni samalah macam susun kek lapis bentuk Jalur Gemilang terpanjang macam kat universiti negara ni suka buat itu.
Apa yang berubahnya sistem ekoposial negara ini selepas demo baju kuning beramai-ramai ini?
Setakat semalaman tidur di tengah bandar, saya pun pernah 2 minggu tidur di jalanan. Ada kawan saya pernah 6 bulan tidur di jalanan. Ada yang seumur hidup tidur di jalanan.
Saya harap kritikan konstruktif ini dapat membuka mata mereka yang benar-benar mahukan perubahan di negara ini, dan bukannya mereka yang hanya nak berselfie bersama kawan-kawan berbaju kuning dan memuat naik di laman sosial. – 4 September, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments