Minggu lalu, Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak membentangkan Bajet (Belanjawan) 2016, dengan harapan untuk memulihkan semula ekonomi negara serta memacu pertumbuhan ekonomi untuk negara mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Najib juga berkata kerajaan akan menambah unit rumah dalam belanjawannya sebagai usaha menangani masalah harga rumah yang semakin meningkat dan tidak mampu untuk dibeli generasi muda yang baru saja bekerja.
Tetapi pembinaan rumah baru ini terletak di tempat yang tidak strategik kerana tempat strategik semuanya sudah dibolot pemaju untuk membina rumah golongan menengah atas dan lebih tinggi.
Antara kawasan strategik yang sudah dirembat pemaju ialah flat Kampung Kerinchi yang kini digentrifikasikan menjadi Bangsar South.
Flat Abdullah Hukum kini digentrifikasikan menjadi KL Eco City.
Serta banyak lagi pembangunan sebegini yang tidak membawa manfaat kepada rakyat terbanyak, sebaliknya hanya memikirkan keuntungan mereka yang melabur dalam hartanah dan rumah yang dibina hanya untuk tujuan pelaburan.
Rumah adalah keperluan asas seseorang manusia. Dan apabila untuk mendapatkan rumah menjadi satu masalah, kerana harganya tidak setimpal dengan pendapatan, maka satu alternatif yang terpaksa dilakukan generasi millennials hari ini ialah menyewa rumah.
Kebanyakan mereka yang baru bergraduasi mendapat pendapatan mereka apabila mula kerja ialah daripada RM1,600 hingga RM2,000.
Pendapatan sebegitu tidak akan mampu untuk memiliki rumah kerana ia tidak selari dengan inflasi di negara ini, di samping harga sewa yang turut naik kerana kenaikan harga semua benda.
Dan untuk memiliki rumah sejauh Rawang atau Nilai juga semakin sukar kerana harga tanah di situ juga sudah meningkat naik.
Selain itu, syarat pemilik rumah yang menyewakan rumah untuk menyediakan deposit 2+1 atau 3+1 sangat membebankan penyewa rumah.
Kalau harga sewa rumah RM800, untuk sewa bulan pertama, penyewa terpaksa mencari wang sebanyak RM2,400, sudah pasti itu menjadi beban yang berat.
Generasi ibu dan ayah kami, generasi babyboomers, mampu memiliki sebuah rumah teres yang elok, dan kalau menyewa rumah pun, kosnya tidak terlalu membebankan.
Tetapi generasi millennials seperti saya, tidak mampu untuk memiliki rumah flat sekalipun, dan menyewa pun terpaksa berkongsi dan bersempit-sempit.
Sedangkan di perut kota itu pada waktu malamnya lengang, kosong dan tidak bermaya kerana tidak ada orang tinggal di dalam kota, sebaliknya hanya rumah orang kaya yang sebenarnya tidak ada orang pun.
Setiap kali tuan rumah mahukan kembali rumah mereka, mungkin untuk dijual, kami penyewa rumah terpaksa mencari lagi rumah, membayar deposit kembali, dan harga di tempat lain tidak selaras dan terpaksa sekali lagi mengikat perut untuk deposit.
Pemaju hartanah dan perumahan tidak berminat untuk membina rumah kos rendah di perut kota, kerana mereka lebih berminat dengan pelaburan dan keuntungan, bukannya keperluan rakyat yang sangat terdesak.
Akibat sikap mereka yang tamak, serta sifat kerajaan tidak ambil peduli, atau tidak serius tentang isu ini, menyebabkan kami, generasi millennials – tidak berumah, tidak bertanah, tidak berharta.
Kami tidak berpeluang untuk memiliki hartanah seperti ibu bapa kami kerana sikap tamak syarikat pemaju rumah.
Kalau syarikat pemaju perumahan berterusan bersikap begini, saya tidak sabar-sabar menantikan harga rumah akan jadi 'bubble bust' – semua hartanah akan runtuh harganya dan harga kembali turun.
Tapi kalau turun pun, mungkin pada masa itu, kami masih tidak mampu membeli rumah kerana pendapatan yang masih rendah, lalu mewujudkan lebih ramai lagi masyarakat di negara ini, tidak berumah, tidak bertanah, dan tidak berharta seperti kami. – 31 Oktober, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments