Arwah teman wanita saya pernah berkata, "ada orang suka dengar benda yang menipu kerana kebenaran itu menyakitkan."
Pada mulanya saya tidak bersetuju dengan katanya, kerana siapa saja yang suka kena tipu.
Dia menjawab, "ada orang yang tidak boleh menerima kebenaran sehingga dia mahu perkara yang menipu itu menjadi kebenaran."
Semasa saya bekerja sebagai seorang wartawan, bos dan editor saya selalu berkata tugas wartawan ini adalah satu tugas yang suci dan mulia, kerana wartawan ialah mereka yang sanggup meredah bahaya (dari segi fizikal seperti perang dan bencana alam, ada yang hilang nyawa, dan dari penindasan seperti dipenjara, atau ditakut-takutkan pihak berkuasa).
Semalam, apa yang berlaku ialah bukti tugas suci dan mulia ini dihalang dan ditakut-takutkan pemegang kuasa yang mahu kebenaran ditutup.
Orang yang berkuasa itu menggunakan kuasa yang ada padanya sepenuh dan sekuat hati agar kebenaran itu dapat ditutup.
Soalan saya pada orang yang berkuasa itu, kenapa takut dengan wartawan yang sentiasa mencari kebenaran?
Di negara-negara yang pemerintahnya diktator dan kuku besi, wartawan sering dipenjara, akhbar atau portal laman web ditutup secara paksa, bahkan ada wartawan yang dibunuh.
Tetapi kebenaran tidak akan terpadam.
Dan saya, sebagai bekas wartawan, mengatakan saya berdiri dan menyokong The Malaysian Insider dalam mencari kebenaran.
Saya percaya, ramai pembaca The Malaysian Insider juga berpendirian seperti saya.
Kami semua ialah The Malaysian Insider, dan kami tidak akan takut dengan ugutan atau segala undang-undang karut yang mereka cipta untuk menutup kebenaran.
Kami tidak akan pernah tunduk pada sang penipu walau apa ugutan yang dihamburkan pada kami.
Kerana kami tidak mudah lalai dengan penipuan yang dicipta orang yang berkuasa ini untuk mereka terus berkuasa.
Kepada orang yang berkuasa itu, kamu boleh menipu di kaca televisyen siang dan malam, dan letakkan rancangan hiburan yang melalaikan dan membodohkan.
Kamu boleh letak apa saja kata kamu mahu kata dalam akhbar yang tak laku itu, atau terus membenarkan rakyat terus tengok cerita hantu – buatlah apa yang kamu suka.
Tapi kami yang cintakan kebenaran – sudah jelik dengan perangai kamu sejak sekian lama.
Salah seorang tokoh seni yang saya kagumi, Bertolt Brecht pernah berkata, "bukankah lebih mudah jika kerajaan bubarkan sahaja rakyat dan lantik sahaja rakyat yang baru?"
Kerana kerajaan tanpa mandat rakyat akan terus menindas demi kuasa mereka sedangkan kuasa yang mereka ada, datangnya dari kita – rakyat.
Kami semua ialah The Malaysian Insider – dan kami tidak takut dengan kuasa anda. Anda yang sedang takut dengan kami. – 27 Februari, 2016.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments