Pada minggu lalu, Muktamar PAS kali ke-61 berlangsung dengan menyaksikan golongan pro Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menang besar dalam pemilihan parti tersebut.
Kemenangan terbesar golongan yang dikenali sebagai pro ulama ini juga membuat satu resolusi mengatakan akan memutuskan hubungan mereka dengan DAP, tetapi kekal dalam Pakatan Rakyat (PR).
Ini macam sudah bercerai tapi masih hendak duduk serumah tidur sekatil.
Saya melihat hubungan “menage-a-trois” antara ketiga-tiga parti dalam PR ini sangat unik, memutuskan hubungan tetapi masih dalam satu kumpulan.
Beberapa ahli PAS yang tidak sebulu dengan golongan pro-ulama ini, seperti Mohamad Sabu, melepaskan jawatan sebagai seorang ahli lembaga pengarah di Perbadanan Air Pulau Pinang.
Pulau Pinang kini ditadbir oleh kerajaan yang diterajui oleh parti DAP, yang dipimpin sendiri oleh setiausaha agung parti itu sendiri, Lim Guan Eng.
Jika benarlah, begitu bencinya ahli PAS terhadap DAP, yang terus tegas dengan pendirian menolak undang-undang hudud, kenapa tidak reti-reti hendak letak jawatan secara terhormat?
Jika benar, resolusi memutuskan hubungan dengan DAP ini kerana parti DAP menolak dasar undang-undang hudud, kenapa demi lillahita'ala tak nak lepaskan jawatan?
Takkan hanya Mat Sabu sahaja yang berani buat macam tu?
Ada lebih 1,000 ahli PAS memegang jawatan dalam “payroll” kerajaan negeri Pulau Pinang.
Setakat ini, hanya 15 ahli jawatankuasa kampung tertentu mengemukakan surat peletakan jawatan mereka.
Kenapa yang lain tak nak lepaskan jawatan? Sebab seronok dapat kerusi empuk, pejabat mempunyai penyaman udara sambil main Facebook, hujung bulan dapat gaji, elaun itu dan ini?
Memanglah bukan DAP memiliki Pulau Pinang, tapi rakyat Pulau Pinang memilih PR sebagai pentadbir negeri tersebut, dengan DAP sebagai pemegang kerusi terbanyak.
Dalam kerajaan negeri yang ditadbir PAS sekarang ini, Kelantan, saya nak tanya, ada tak orang DAP pegang apa-apa jawatan dalam pentadbiran negeri?
Kalau ada, sepatutnya ahli itu melepaskan jawatannya sebagai satu bukti pendirian dalam berpolitik.
Kenapa bila main isu hudud sikit, semua jadi hilang akal, jadi gila, kemudian bila fikir bab pangkat, tak pula berfikir macam tu?
Macam ni ke parti Islam nak dijadikan sebagai contoh dalam berpolitik? – 13 Jun, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Comments
Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments